Khamis, 1 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Nicol kekal pemain nombor satu dunia

Posted: 01 Sep 2011 03:04 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, kekal sebagai pemain nombor satu dunia mengikut ranking Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) untuk bulan ke-62 berturut-turut sejak Ogos 2007.

Kejayaan sulung Terbuka Australia pada 16 Ogos lalu terus memperkukuhkan kedudukan Nicol sebagai pemain nombor satu dunia dalam senarai terkini yang dikeluarkan oleh WISPA.

Menurut laman web WISPA, www.wispa.net, Nicol mendahului kedudukan dengan mengumpul 300 mata selepas mendominasi tiga kejohanan siri dunia; Terbuka Cayman Island, Malaysia dan Australia. Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 28 tahun itu bukan saja menungguli ranking dunia Wispa tetapi juga kedudukan kejohanan siri dunia WISPA.

Sementara itu, Jenny Duncalf dari England terus dibayangi Nicol di ranking kedua dunia dengan 195 mata, diikuti pemain Australia Rachael Grinham dengan 105 mata.

Dalam pada itu, dua pemain utama negara, Low Wee Wern dan Delia Arnold mengekalkan kedudukan masing-masing di tangga ke-17 dan 23.

Barisan pelapis negara, Siti Munirah Jusoh memperbaiki kedudukan dua anak tangga kepada tempat ke-45, Pusphppa Devi (131), Rachael Arnold (155) dan Zulhijjah Azan berada pada kedudukan ke-184.
Tan Yan Xin dan Vanessa Raj berkongsi tempat ke-201 dengan dua pemain Singapura, manakala Kuan Choy Lin, Lim Yoke Wah, Nessrine Ariffin, Sue Ann Yong dan Celine Yeap terikat di tangga ke-273 dalam senarai WISPA. - BERNAMA


Pusat pelancongan sekitar Kuala Lumpur dipenuhi pengunjung

Posted: 01 Sep 2011 02:52 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Sempena cuti hari raya dan hari kemerdekaan, pusat pelancongan di sekitar bandar raya ini dipenuhi dengan pengunjung termasuk dari luar negeri.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Taman Burung, Zoo Negara dan sudah tentu Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

"Sukar untuk kami bersiar-siar semasa cuti umum di sini. Kami kena beratur untuk beberapa ketika untuk masuk ke dalam zoo dan ke mana saja kami pergi, keadaan sentiasa sibuk," kata pengunjung dari Australia, Mirjrat Linka, 70, kepada Bernama. Walaupun menghadapi sedikit kesukaran untuk mendapat tempat penginapan yang sesuai dan berkunjung ke Menara Berkembar Petronas, seorang lagi warga Australia, Margo Wallace, 72, berkata beliau gembira menghabiskan masa di Malaysia.

Katanya, beliau kagum dengan budaya Malaysia dan rakyatnya yang disifatkannya sebagai baik hati, mesra dan suka menolong orang.

Seorang pelajar Nigeria, Paul Edozie, 33, yang ditemui di Taman Burung, berkata tempat itu dipenuhi dengan pengunjung dan lebih sibuk daripada hujung minggu.

Beliau berkata, negara ini mempuyai banyak keistimewaan seperti rakyatnya yang berbilang kaum dan sentiasa mengalu-alukan masyarakat dari negara lain.
Dariya Kupriyanova, 28, dari Rusia turut teruja berada di negara ini.

"Ya, Malaysia adalah negara yang baik untuk dilawati terutama semasa musim perayaan yang membolehkan saya belajar lebih banyak mengenai kebudayaan orang lain," katanya.

Manuel Steper, 24, dari Jerman, berkata beliau teruja dengan semangat nasionalisme rakyat Malaysia.

"Kami dapati banyak bendera di sepanjang jalan, yang menunjukkan betapa rakyat Malaysia menghormati negara mereka," katanya ketika ditemui di KLCC.

Beliau juga teruja dengan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum yang sukar didapati di negara lain. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan