Sabtu, 9 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


3 maut, 4 cedera dalam kemalangan

Posted:

3 maut, 4 cedera dalam kemalangan

3 maut, 4 cedera dalam kemalangan

09/06/2012 5:37pm

SETIU — Hasrat tujuh sekeluarga dari Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk melawat negeri ini sempena cuti sekolah berakhir dengan tragedi, apabila tiga daripada mereka maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan, di sini petang semalam.

Mereka yang maut ialah Abdul Razak Othman, 49, anaknya, Siti Suraya, 14 dan kakak Abdul Razak, Fathilah Othman, 53, manakala yang cedera isterinya, Siti Fauziah Mohamad Amin, 46, dua anak mereka Siti Raihana, 12 dan Mohamad Adam, 16, serta seorang lagi kakak Abdul Razak, Rosidah, 55.

Kesemua yang cedera kini dirawat di Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Rohaizat Abd. Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku di Km 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

Kemalangan berlaku pukul 5 petang ketika hujan lebat, apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dipandu Abdul Razak bergesel dengan sebuah Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

Rohaizat berkata, pemandu Toyota Hilux yang menghilangkan diri dari tempat kejadian telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah pukul 10 malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.— BERNAMA

Marah dikompaun: Pemandu trak penunda bertindak kasar

Posted:

Marah dikompaun: Pemandu trak penunda bertindak kasar

Marah dikompaun: Pemandu trak penunda bertindak kasar

09/06/2012 5:26pm

IPOH — Seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) nyaris maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah trak penunda di Jalan Raja Muda Aziz, di sini, hari ini.

Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasan MBI, Abdul Halim Saad berkata, anggota penguatkuasa terbabit bagaimanapun mengalami luka kecil selepas beliau sempat melompat dari motosikalnya yang remuk akibat rempuhan itu.

Dalam kejadian pukul 9.05 pagi itu, pemandu trak penunda berkenaan dikatakan marah berikutan kenderaannya itu yang diletak di luar petak parkir dikenakan kompaun oleh anggota penguatkuasa berkenaan.

Abdul Halim berkata, kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguatkuasa itu, pemandu berkenaan bertindak mencekak, menumbuk dan memaki hamun seorang lagi anggota penguatkuasa yang turut berada di tempat kejadian sebelum membaling tiket kompaun tersebut ke muka anggota penguatkuasa itu.

Beliau berkata, pemandu terbabit kemudian terus menghidupkan enjin trak penundanya lalu memandu merempuh dua buah motosikal milik MBI terus melarikan diri.

Abdul Halim berkata, kejadian tersebut yang kedua berlaku tahun ini dan pihaknya berharap orang ramai dapat mengawal kemarahan dan tidak melepaskan berang mereka kepada anggota penguatkuasa.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan kedua-dua anggota terbabit membuat laporan polis dan menyerah perkara tersebut kepada polis untuk menyiasat dan tindakan selanjutnya.— BERNAMA

Pendaki kecewa gagal tawan Gunung Everest

Posted:

Pendaki kecewa gagal tawan Gunung Everest

Pendaki kecewa gagal tawan Gunung Everest

09/06/2012 5:19pm

TAWAU — Pendaki Gunung Everest bagi Ekspedisi Gemilang Everest 2012 hari ini melahirkan rasa kecewa dan hampa apabila gagal menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Ketika menceritakan pengalamannya, Azlan Jumaan, 38, yang menyertai projek Ekspedisi Everest Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2012 itu berkata, ketika dalam perjalanan pendakian, anggota kumpulan dikhabarkan tentang penemuan berpuluh-puluh mayat daripada kalangan pendaki mahupun pemandu pendaki.

"Pendakian kami telah hampir ke kemuncak, iaitu kira-kira 300 meter sahaja lagi sampai kemuncak, tiba-tiba kami diarah turun.

"Kami dimaklumkan ada mayat di laluan pendakian itu telah bertahun-tahun di situ, tidak dibawa turun kerana faktor pembiayaan untuk membawa turun terlalu mahal," katanya selepas diperkenalkan kepada Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan pada majlis pelancaran Ekspo Pertanian di sini hari ini.

Azlan, yang berasal dari Tawau, merupakan anak pertama dari Sabah yang diberi peluang menyertai ekspedisi itu daripada kesemua enam anggota lain dari Sarawak, Melaka, Kedah, Pahang dan Kelantan.

Beliau berkata, ekspedisi yang bermula pada Mac lepas terpaksa dihentikan separuh jalan pada bulan lepas atas faktor keselamatan.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan