Ahad, 3 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Fasha sanding bertiga

Posted: 02 Jun 2012 12:25 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fasha Sandha dan suaminya, Rizal Ashram Ramli, 36, akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi sebelah pihak keluarga perempuan di taman rekreasi Tasoh Lake Resort & Retreet di Perlis, petang ini.

Pasangan yang diijabkabulkan dalam majlis pernikahan secara tertutup di Hotel Crowne Plaza, di sini, pada 27 April lalu itu bagaimanapun menyerahkan segala persiapan dan persediaan untuk majlis resepsi ini kepada keluarga Fasha yang sejak awal inginkan mereka mengadakan majlis di kampung halamannya.


Menurut Fasha yang dihubungi semalam, keluarganya menjemput 800 tetamu saja di kalangan keluarga terdekat, sahabat rapat dan peminat dari kelab We Love Fasha Sandha yang terpilih.

Katanya, meskipun diadakan di kawasan taman rekreasi terbuka seperti ini, majlis ini tidak terbuka kepada semua kerana keluarganya inginkan kesederhanaan.


"Semuanya mama uruskan dan saya bersama suami hanya hadir. Memang ini yang mama inginkan sejak dulu lagi untuk meraikan hari bahagia bersama ahli keluarga di sana.


"Alhamdulillah, pejam celik sudah lebih sebulan kami mendirikan rumah tangga. Esok kami berdua akan sekali lagi diraikan dalam majlis di sebelah pihak keluarga saya pula.

"Saya dan suami sangat seronok untuk pulang ke kampung halaman," katanya yang tiba di Perlis bersama suami, awal pagi semalam.


Tiga minggu selepas bernikah, pasangan ini menerima berita gembira selepas Fasha disahkan mengandung.

Fasha berkata, majlis petang ini akan lebih bermakna kerana bukan hanya mereka berdua yang akan diraikan, sebaliknya kini bertiga bersama anak dalam kandungannya yang kini berusia tiga minggu lebih.


"Inilah hadiah paling istimewa buat kami berdua kerana kami akan turut meraikan perkhabaran gembira mengenai kandungan anak kami berdua. Justeru, perasaannya lebih seronok kerana kami akan bersanding bersama anak sulung.


"Rizal tidak membenarkan saya mengenakan kasut tumit tinggi kerana bimbang keselamatan dan keselesaan saya sepanjang majlis.


"Saya juga terpaksa menolak tawaran untuk membintangi watak utama sebagai Sarakit dalam drama bersiri, Dendam Sarakit tayangan TV3 kerana ada beberapa babak aksi seram bagi menjaga peringkat kandungan awal ini.


"Yang lebih penting adalah bertemu keluarga dan sahabat yang selama ini setia menjadi pembakar semangat buat kami berdua," katanya yang akan kembali ke set penggambaran drama Syawal Buat Elysa, Julai depan.


Pelakon yang kini popular menerusi drama Seindah Sakura ini akan mengenakan baju rekaan Rizman Ruzaini yang berkonsepkan moden tradisional.




Khidmat semula

Posted: 02 Jun 2012 12:24 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama pembantu rumah warga Indonesia mula dibawa masuk ke negara ini selepas kerajaan republik itu menarik balik secara rasmi pembekuan kemasukan pembantu ke negara ini pada 1 Disember, tahun lalu.

Kumpulan seramai 29 orang yang kebanyakannya dari Jawa Timur itu tiba di Malaysia Rabu lalu dan diserahkan kepada majikan masing-masing, semalam.


Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jeffrey Foo berkata, pembantu rumah terbabit memperoleh sijil kompetensi daripada program latihan selama dua bulan dikendalikan di negara republik itu, iaitu antara syarat wajib melayakkan mereka bekerja di Malaysia seperti termeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Kerajaan Malaysia dan Indonesia menandatangani MoU berkenaan pada Sidang Kemuncak Asean di Bali pada November tahun lalu selepas kerajaan Indonesia bersetuju menghantar semula pembantu rumah ke negara ini yang dibekukan sejak September 2009.


"Mereka diberi latihan membabitkan kerja rumah dan bersedia untuk bekerja di rumah majikan masing-masing. Ada antara mereka juga berpengalaman bekerja di Malaysia sebelum ini," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penyerahan pembantu rumah kepada majikan di Rumah Perlindungan Pusat Latihan 1 Papa, di sini, semalam.


Jeffrey berkata, kumpulan kedua pembantu rumah itu dijangka tiba di negara ini dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dalam MoU berkenaan, kedua-dua negara bersetuju menetapkan gaji pembantu rumah sebanyak RM700 sebulan, cuti sehari seminggu, gaji dibayar menerusi akaun bank pembantu rumah dan pasport disimpan sendiri.


MoU itu juga menetapkan setiap majikan perlu membayar sebanyak RM4,511 untuk mengambil seorang pembantu rumah warga Indonesia.

"Mereka berhak diberi cuti sehari seminggu dan ia bergantung kepada majikan untuk memilih hari cuti itu. Jika mereka diminta bekerja pada hari cuti, majikan perlu membayar sebanyak RM27 sehari untuk kerja lebih masa. Jika mereka tidak diberi cuti langsung, majikan perlu membayar gaji sebanyak RM808 sebulan," katanya.


Jeffrey berkata, pembantu rumah juga boleh menyimpan sendiri pasport mereka tetapi majikan turut dibolehkan menyimpan pasport pembantu rumah masing-masing atas faktor keselamatan.


Ditanya mengenai gaji minimum RM700 sebulan dengan hanya melakukan satu tugas khusus, Jeffrey berkata, ia hanya digembar-gemburkan dan banyak pihak salah faham.


"Perlu diingatkan, mereka hanya menjalani latihan untuk melakukan kerja rumah saja seperti memasak, membasuh dan mengemas, tetapi tidak sebagai pengasuh bayi atau penjagaan orang sakit.


"Majikan masih boleh meminta mereka menjadi pengasuh atau menjaga ibu bapa yang sakit, tetapi jangan salahkan mereka jika tidak boleh melakukan kerja itu dengan betul kerana mereka tidak dilatih untuk melakukan kerja sedemikian," katanya.


Sementara itu, pembantu rumah, Susianti Ngali, 42, ketika ditemui berkata, walaupun ada mendengar kes penderaan membabitkan pembantu rumah Indonesia di sini, dia percaya kebanyakan majikan di Malaysia ikhlas mengambil mereka bekerja.


"Memang takut bila mendengar cerita sebegitu, tetapi dengan adanya MoU di antara Malaysia dengan Indonesia, saya lebih yakin dan berani.


"Lagipun saya pernah bekerja di Malaysia pada 2002 hingga 2006 dan saya gembira di sini," katanya yang berasal dari Tulungagung, Jawa Timur.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan