Khamis, 7 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Zahid nafi rahsia tentera dijual

Posted: 07 Jun 2012 04:45 PM PDT

Nasional

Dakwaan maklumat spesifikasi Scorpene didedah kepada syarikat Perancis disiasat

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan ada maklumat ketenteraan dan rahsia pertahanan negara dijual kepada pihak asing.

Sambil menganggap dakwaan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata, pihaknya tidak menemui bukti berlaku penjualan maklumat spesifikasi kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada sebuah syarikat Perancis. "Tiada bukti menunjukkan kejadian ini berlaku. Bagaimanapun, saya beri jaminan kita akan siasat secara terperinci jika terbukti berlaku kegiatan itu kerana ini membabitkan keselamatan negara," katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Azmin Ali yang mendesak siasatan segera oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penjualan maklumat spesifikasi kapal selam itu kepada sebuah syarikat Perancis.

Azmin merujuk dakwaan Suara Anak Malaysia (SUARAM) mengenai penjualan dokumen sulit mengandungi butiran terperinci, termasuk penilaian kemampuan kapal selam itu pada harga RM142 juta oleh sebuah syarikat tempatan yang didaftarkan di Hong Kong.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung penjualan dokumen rahsia kepada syarikat luar seperti didakwa.
"Bagaimanapun, memang ada dikesan maklumat itu keluar (dari Malaysia) namun kita sedang memantau perkembangannya," katanya.

Ahmad Zahid turut menganggap tindakan pembangkang mendedahkan maklumat rahsia kerajaan dan pelbagai isu sensitif sebagai lumrah biasa untuk menagih perhatian rakyat.

"Dia (Azmin) sebelum ini mendakwa memiliki berkotak-kotak fail sulit kerajaan dan tunggu masa untuk mendedahkannya. Sudah bertahun-tahun berlalu, mana pergi semua fail itu? Kenapa sampai sekarang tidak dedahkan?" katanya.


BR1M banyak beri manfaat

Posted: 07 Jun 2012 04:43 PM PDT

Nasional

Bantuan fasa kedua ringan beban rakyat

KUALA LUMPUR: Cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua mendapat reaksi positif rakyat yang sememangnya memerlukan bantuan itu bagi meringankan beban kos sara hidup.

Mereka berpendapat, ia bakal memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah menghadapi kehidupan akibat bebanan kos sara hidup yang makin meningkat. Orang Kelainan Upaya (OKU), Jani Lajis, 71, berkata dalam keadaan sekarang, pemberian BR1M kali kedua amat diperlukan tambahan pula dengan keadaan fizikalnya yang uzur.

"Kehidupan di ibu kota amat memerlukan perbelanjaan tinggi dan bantuan yang diterima daripada pihak kebajikan kadang-kala tidak mencukupi untuk menampung kos seperti sewa rumah, keperluan harian, dan pembayaran bil.

"Justeru, bantuan itu memberi manfaat kepada saya yang tidak bekerja kerana keadaan fizikal dan kesihatan tidak mengizinkan berbuat demikian", katanya.

Peniaga kecil, Abdul Jali Sulaiman, 65, juga menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri itu kerana wang RM500 banyak membantu meringankan beban hidupnya.
"Wang yang diterima dulu banyak membantu saya membeli keperluan harian, di samping ubat isteri yang menghidapi angin ahmar. Jika dapat sekali lagi, wang itu akan digunakan untuk tujuan yang sama.

"Bantuan itu menunjukkan keprihatinan serta rasa tanggungjawab kerajaan terhadap golongan kurang berupaya dan bernasib baik meneruskan kehidupan seperti insan lain," katanya.

Sementara itu, Rabaya Osman, 65, pula berkata, BR1M kali kedua memberi harapan baru untuknya mendapat bantuan berkenaan selepas tidak menerima BR1M yang lalu.

"Kesedihan gagal mendapat BR1M yang lalu sedikit terubat apabila menerima berita kerajaan berkemungkinan akan memberinya lagi sekali. Saya berharap kali ini akan mendapatnya bagi membantu membiayai keperluan harian," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan