Selasa, 5 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Usaha kerajaan selari pemantapan ekonomi

Posted: 05 Jun 2012 02:32 PM PDT

Nasional

NIK AZMAN membentangkan kertas kerja   pada Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ketujuh dan Sesi Plenari Majlis Profesor Negara (Kluster Ekonomi dan Pengurusan),  di Ipoh, semalam.

NIK AZMAN membentangkan kertas kerja pada Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ketujuh dan Sesi Plenari Majlis Profesor Negara (Kluster Ekonomi dan Pengurusan), di Ipoh, semalam.

Dakwaan tanggung hutang, bakal muflis tidak benar

IPOH: Malaysia berada pada landasan yang betul ke arah usaha pemantapan ekonomi negara walaupun terpaksa menghadapi saingan ekonomi global.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, berkata setiap usaha yang dijalankan kerajaan mempunyai kriteria yang membantu memantapkan ekonomi negara.

Apabila masyarakat antarabangsa melihat negara ini mempunyai perancangan, pelaksanaan dan laporan yang positif, ia menunjukkan komitmen yang baik untuk perkembangan ekonomi Malaysia. - Noor Azlan Ghazali, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara

"Bagi saya, usaha yang dijalankan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah lekang daripada menyampaikan kepada rakyat mengenai kerangka kerja, pelaksanaan dan laporan mengenai usaha kerajaan memperkukuh ekonomi negara.

"Apabila masyarakat antarabangsa melihat negara ini mempunyai perancangan, pelaksanaan dan laporan yang positif, ia menunjukkan komitmen yang baik untuk perkembangan ekonomi Malaysia," katanya pada sidang media selepas Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) Ketujuh dan Sesi Plenari Majlis Profesor Negara (Kluster Ekonomi dan Pengurusan) di sini, semalam.

Hadir sama Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nor Ghani Mohd Nor.

Noor Azlan yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM berkata, Malaysia antara negara yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik tetapi pada masa sama usaha berterusan perlu dilakukan, termasuk mengenal pasti sumber pertumbuhan ekonomi baru.
"Dakwaan negara kita berdepan bebanan hutang dan bakal muflis adalah tidak benar. Pelbagai agenda dan transformasi sudah dan akan dilaksanakan kerajaan.

"Cuma kita berdepan dengan sedikit ujian apabila pelaksanaan transformasi ekonomi itu terpaksa berdepan dengan krisis ekonomi global yang turut dihadapi seluruh dunia," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, penganjuran PERKEM kali ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 160 kertas kerja adalah yang paling banyak sepanjang penganjuran persidangan itu.

Persidangan tiga hari berakhir hari ini adalah acara tahunan anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM bertemakan 'Transformasi Ekonomi dan Sosial ke Arah Negara Maju'.

Persidangan disertai ahli akademik dan ahli profesional seperti penyelidik, pentadbir, pembuat dasar, kakitangan swasta dan kerajaan serta ahli perniagaan.

Noor Azlan turut dijemput sebagai ahli panel pembentangan kertas kerja 'Merealisasikan Transformasi Ekonomi: Isu dan Cabaran', dibantu tiga ahli panel lain, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Unit Perancang Ekonomi, Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Pegawai Operasi, Institut Darul Ridzuan, Dr Mazalan Kamis dan Naib Presiden Jabatan Penasihat Teknikal Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Reaz Abdullah, manakala sesi plenari dikendalikan Moderator dari Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof Dr Mansor Jusoh.


Sembilan peserta perdengar bacaan

Posted: 05 Jun 2012 02:29 PM PDT

Nasional

JOHOR BAHRU: Sembilan peserta memperdengarkan bacaan pada malam kedua Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55, di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, di sini, malam tadi.

Peserta berkenaan adalah qari Kedah, Mohd Fakhrulradhi Khamarudin, Mohd Fahmi Ashraf Razali (Perak), Wan Ahmad Tirmizi Wan Sulaiman (Melaka), Zul-Hasyimi Mohamed Yunus (Pahang) dan Tuan Mohd Hafas Ali (Terengganu).

Qariah pula membabitkan peserta Kedah, Marzian Mohd Deli, Sahrom Othman (Selangor), Cik Nur Faten Izzati Rablin (Sabah) dan qariah Sarawak, Roziah Ayup. Seramai 27 qari dan qariah menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55 kali ini yang berlangsung kelmarin hingga 8 Jun ini.

Perasmian tilawah malam kelmarin disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Johan qari dan qariah akan mewakili negara ke tilawah peringkat antarabangsa yang dijadualkan diadakan pada Julai depan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan