Ahad, 10 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


30,000 rakyat Johor berhimpun di istana ikrar taat setia kepada Sultan

Posted: 10 Jun 2012 02:54 AM PDT

Mutakhir

JOHOR BHARU: Kira-Kira 30,000 rakyat Johor pelbagai kaum dan agama berhimpun secara aman di pekarangan Istana Pasir Pelangi bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Mereka membawa pelbagai sepanduk dan mula berhimpun sejak 10 pagi tadi di Sangkar Kristal, Taman Pelangi sebelum berarak sejauh satu kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor pada jam 2 petang.

Sultan Johor turut berangkat ke Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor itu, yang dianjurkan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung). Suasana di pekarangan istana yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda tiba-tiba menjadi sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.

"Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," kata baginda sambil mengesatkan air mata dan laungan "Daulat Tuanku" rakyat yang menghadiri perhimpunan itu terus berkumandang.

Sultan Ibrahim yang berterima kasih kepada mereka yang menghadiri perhimpunan itu berkata adalah menjadi amanahnya sebagai Sultan Johor untuk menyayangi rakyat.

"Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada," katanya sambil mengingatkan seluruh rakyat negeri Johor, tanpa mengira kaum dan agama, supaya terus bersatu padu.
"Jika bersatu, kita akan kuat," titah baginda yang ditemani isteri, Raja Zarith Sofia dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris serta kerabat diraja Johor lain.

Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu. - BERNAMA


Juruarah Ekspedisi Daki Gunung Tapis maut dihempap dahan pokok

Posted: 10 Jun 2012 02:51 AM PDT

Mutakhir

KUANTAN: Seorang juruarah dalam Ekspedisi Mendaki Gunung Tapis dekat Sungai Lembing, yang disertai 25 pelajar dan pensyarah Kolej Komuniti Kuantan, maut dihempap dahan pokok awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, Mohammad Ngah, 55, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis Balai Polis Sungai Lembing berkata mangsa dan kumpulan ekspedisi itu memulakan perjalanan pukul 8 pagi semalam. "Dalam kejadian itu, satu dahan pokok tumbang dan menghempap kepala mangsa dan seorang lagi peserta, Mohammad Shah Mohd Rawi, 29, yang turut cedera," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mayat mangsa hanya dapat dikeluarkan dari kawasan hutan itu kira-kira 12 tengah hari tadi dengan menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

"Semua pelajar dan pensyarah kolej berkenaan bagaimanapun selamat," kata jurucakap itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan