Jumaat, 23 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penyokong Hindraf dipenjara 2 minggu, denda RM2,000

Posted: 23 Sep 2011 03:54 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dikenakan hukuman penjara dua minggu dan didenda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan haram anjuran Hindu Rights Action Force (Hindraf) empat tahun lalu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu hari ini terhadap M Murugan, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Beliau juga membenarkan permohonan pihak pembela untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan asal RM3,000 dikekalkan.

Murugan merupakan satu-satunya daripada 23 penyokong Hindraf yang tidak mengaku bersalah terlibat dalam perhimpunan itu ketika dia dihadapkan di mahkamah pada 28 November 2007 manakala 22 penyokong Hindraf yang lain mengaku bersalah dan membayar denda.


Mohamad Sekeri dalam penghakimannya berkata keterangan yang diberikan tertuduh dalam pembelaannya adalah bercanggah dan bersifat penafian semata-mata.


"Keterangan tertuduh yang menyatakan bahawa dia tidak mendengar apa-apa arahan daripada polis merupakan satu alasan yang tidak munasabah berikutan jarak polis dengan tertuduh hanya 20 meter sahaja.

"Selain itu, keterangan tertuduh yang menyatakan dia berada di atas penghadang jalan di KLCC juga tidak boleh diterima ini kerana berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan ke-19 dan 20 (polis) menyatakan bahawa tangkapan dibuat di atas jalan raya di tempat kejadian," katanya.

Murugan, didakwa berada dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang iaitu satu perhimpunan di tempat awam yang mana tiada lesen dikeluarkan di bawah Seksyen 27(2) Akta Polis 1967 (Akta 334).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Ampang dekat sini pada 7 pagi hingga 9 pagi, 25 Julai 2007.

Untuk kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM2,000 serta tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun. - Bernama

KPN minta orang ramai tidak buat spekulasi kes samun di KLIA

Posted: 23 Sep 2011 03:51 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes samun melibatkan tiga pegawai agensi penguatkuasa terhadap seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) baru-baru ini.

Polis harus diberi kepercayaan untuk menjalankan siasatan secara profesional berhubung kes itu, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan sesi 2010/2011 di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di sini hari ini.

Pada majlis itu, 19 graduan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 33 graduan Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan berjaya menamatkan pengajian.

Ismail berkata beliau yakin siasatan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah berhubung kes samun melibatkan jumlah US$300,000 pada 15 September itu akan menemui penemuan baru.


"Saya yakin Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah bagi tumpuan yang profesional ke atas siasatan ini dan saya yakin mereka akan menemui penemuan yang baik untuk melengkapkan siasatan.


"Ini perkara baru, bila ada siasatan kita akan teliti dan semasa kita siasat kita akan dapat benda-benda baru. Bila kita dapat benda baru kita perlu tindakan susulan," katanya.

Ketika ditanya mengenai dua lagi lelaki rakyat tempatan yang dicari pihak polis kerana dipercayai bersubahat dalam kes itu, Ismail berkata polis akan menahan sesiapa sahaja yang dipercayai terlibat. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan