Khamis, 22 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


3 lelaki Arab dijejaki bantu kes pecah rumah di Bangi

Posted: 22 Sep 2011 06:06 AM PDT

KAJANG: Tiga lelaki dipercayai berketurunan Arab yang terlibat dalam kes pecah rumah di Seksyen Lima, Bandar Baru Bangi di sini semalam, kini diburu polis selepas berjaya meloloskan diri selepas terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri.

Kenderaan yang dinaiki kesemua suspek dalam lingkungan 30-an itu melanggar sebatang pokok ketika cuba melarikan diri selepas dikejar jiran kawasan perumahan yang menyedari ada kegiatan pecah rumah berlaku di sebuah rumah teres.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata kejadian pada kira-kira 7.30 petang itu disedari oleh jiran mangsa apabila terdengar penggera keselamatan di rumah mangsa berbunyi ketika mangsa tiada di rumah.

"Rasa curiga dengan bunyi alarm itu, jirannya keluar ke rumah mangsa dan melihat kelibat tiga lelaki yang tidak dikenali di dalam rumah tersebut sebelum memaklumkan kepada jiran lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Menyedari kehadiran empat orang jiran yang cuba mengepung rumah mangsa, kesemua suspek bertindak melarikan diri melalui pintu belakang dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Pesona berwarna hitam. - Bernama

Polis buru 2 lelaki dipercayai subahat kes samun pengurup wang di KLIA

Posted: 22 Sep 2011 06:00 AM PDT

SHAH ALAM: Polis sedang mencari dua lelaki rakyat tempatan yang dipercayai bersubahat dengan tiga pegawai agensi penguatkuasa dalam kes samun terhadap seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata dua lelaki terbabit dipercayai membantu ketiga-tiga suspek berkenaan dalam kes samun wang tunai bernilai USD300,000 dalam kejadian 15 September lalu.

"Kami terima laporan daripada mangsa pada 16 September dan sehingga kini 15 individu dipanggil untuk direkodkan percakapan berhubung kes itu.

"Kami juga sedang mengesan di manakah kesemua suspek terbabit sembunyikan wang yang mereka samun serta rekod atau kemungkinan pembabitkan mereka dalam kes jenayah atau seumpamanya," katanya kepada pemberita yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.


Pada 19 September lalu, tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan ketika hadir di IPK Selangor di sini untuk memberi keterangan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan