Selasa, 20 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Jurulatih bola sepak Selangor letak jawatan

Posted: 20 Sep 2011 05:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: K Devan meletak jawatan sebagai jurulatih bola sepak Selangor berkuat kuasa semalam, berikutan aksi hambar Gergasi Merah Kuning itu sepanjang kempen tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Hamidin Amin yang dihubungi hari ini mengesahkan peletakan jawatan Devan itu.

Pemohonan Devan untuk meletak jawatan sebagai jurulatih itu diterima sebulat suara anggota jawatankuasa FAS yang mengadakan mesyuarat khas semalam, katanya.

Beliau berkata teraju utama pasukan itu kini diambil alih penolong jurulatih P Maniam.


Selangor gagal memenangi sebarang piala sepanjang tahun ini, selain berdepan kemungkinan tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia kali ini.


Selepas empat perlawanan peringkat kumpulan, skuad itu hanya mengumpul empat mata dan berada di tangga ketiga Kumpulan D selepas Kuala Lumpur dan T-Team.

Terbaru, Selangor tewas 1-2 pada T-Team dalam Kumpulan D Piala Malaysia Ahad lalu.

Devan menjadi jurulatih bola sepak Selangor dari Oktober 2008. Selangor di bawah kendalian Devan pernah merangkul Piala Liga Super pada 2010, Piala FA 2009 dan Piala Sultan Ahmad Shah pada 2009. - Bernama

Kumpulan pertama 47 pelajar Malaysia dari Syria tiba

Posted: 20 Sep 2011 05:08 AM PDT

SEPANG: Kumpulan pertama seramai 47 pelajar Malaysia yang menuntut di Syria selamat tiba di tanah air hari ini, menerusi usaha kerajaan membawa mereka keluar dari negara bergolak itu.

Mereka tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 3 petang dan disambut anggota keluarga masing-masing.

Menceritakan pengalamannya kepada warga media sejurus ketibaan, Mohd Affifudin Md Tahir, 22, berkata mereka sukar mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas transaksi pengeluaran wang di negara itu.

"Kami terpaksa meminta bantuan persatuan pelajar atau sesiapa sahaja pelajar yang keluar ke Lubnan atau Jordan untuk mengeluarkan wang daripada ATM.


"Semua pelajar menghadapi masalah untuk mengeluarkan duit. Jadi kami perlu berjimat cermat untuk bayar yuran universiti, sewa rumah dan makanan," kata pelajar tahun pertama Diploma Bahasa Arab dan Syariah di Maahad Dauli di Damsyik itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan