Wilayah

AZIZAN (dua dari kiri) memeriksa 13 orang pendatang asing tanpa izin yang berjaya ditahan di Kuala Perlis.
13 lelaki warga Mynmar tertidur keletihan selepas masuk Malaysia KUALA PERLIS: Akibat terlalu nyenyak tidur kerana keletihan, sekumpulan 13 lelaki warga Myanmar langsung tidak menyedari rumah kosong yang menjadi persinggahan mereka di sini, diserbu pihak berkuasa pagi semalam.
Malah, semua warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu terpaksa dikejutkan pihak berkuasa daripada tidur sejurus rumah terbabit diserbu kira-kira jam 6 pagi. Kumpulan 13 pendatang tanpa izin (PATI) terbabit dikesan bersembunyi di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Titi Serong, dekat sini, selepas masing-masing menyusup masuk ke negara ini melalui pagar sempadan di Padang Besar.
Berdasarkan maklumat, semua warga asing berusia antara 10 dan 60 tahun itu dikatakan terlalu letih selepas melalui perjalanan jauh selama lebih lima hari dari kampung halaman mereka di Myanmar ke Pekan Siam yang bersempadan dengan Padang Besar, dekat sini.
Selepas berjaya masuk ke Malaysia dengan cara memotong pagar dawai di sempadan, mereka kemudian menyusup melalui ladang tebu di Chuping, sebelum dijemput tekong darat di jalan besar untuk dibawa ke destinasi.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman, berkata hasil maklumat mengesahkan semua warga asing itu mendapat bantuan sindiket untuk menyeberangi dua sempadan negara dari Myanmar ke Malaysia, sebelum dibawa ke destinasi di negara ini.
Malah, katanya, kumpulan terbabit turut mengaku membayar sehingga RM2,500 seorang kepada sindiket di Myanmar untuk membantu mereka masuk ke negara ini secara haram.
"Hasil siasatan mendapati semua 13 warga asing itu dijemput tekong darat menggunakan dua kereta. Mereka kemudian dibawa ke rumah kosong berkenaan untuk berehat, sementara menunggu masa dihantar ke destinasi ditetapkan," katanya di sini semalam.
Azizan berkata, ketika serbuan hanya 13 warga Myanmar terbabit dikesan berada di rumah berkenaan. Namun, pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, dipercayai tekong darat bersembunyi di dalam reban ayam di rumah terbabit.
Katanya, semua 13 warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah termasuk rakyat tempatan terbabit kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.
"Kita juga merampas dua kereta yang ditemui di rumah berkenaan, dipercayai digunakan untuk membawa warga asing terbabit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan