Khamis, 22 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Budak ditinggal nyaris rentung

Posted: 21 Sep 2011 04:47 PM PDT

Wilayah

API marak memusnahkan tiga  rumah di Kampung  Sepakat Masai.

API marak memusnahkan tiga rumah di Kampung Sepakat Masai.

Jiran selamatkan 2 kanak-kanak dalam rumah dikunci dari luar yang terbakar

PASIR GUDANG: Dua kanak-kanak nyaris terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka, selepas ditinggalkan dalam kediaman terbabit yang dikunci dari luar oleh ibu saudara yang keluar menghantar abang mereka ke sekolah dalam kejadian di Kampung Sepakat dekat Masai di sini, semalam.

Namun, Nurin Syerlina Norman, 6, dan adiknya Mohd Danial Adiff Norman, 4, bernasib baik apabila kejadian itu disedari seorang jiran yang pantas berusaha mengeluarkan mereka secara memecahkan pintu rumah berkenaan ketika api sedang marak, sebelum rumah berkenaan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari semalam. Ketika kejadian, dua beradik terbabit ditinggalkan seketika oleh ibu saudaranya, Hasanah Samhari, 30, yang menghantar abang mereka, Mohd Haikal Norman, 8, menunggu bas sekolah berhampiran rumah berkenaan. Hasanah berlari pulang, sejurus menyedari api sedang menjulang tinggi dari tempat menunggu bas terbabit.

Juruelektrik, Abu Bakar Abdul Rahman, 44, berkata ketika kejadian beliau sedang bersembang dengan rakan di rumah yang terletak berdekatan, sebelum dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan yang pada mulanya disangka bunyi kanak-kanak bermain bunga api.

"Saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila terdengar orang ramai menjerit meminta tolong ada rumah terbakar sebelum bergegas melihat keadaan.

Sampai di rumah mangsa, saya dapat lihat dua beradik berkenaan dalam rumah, Syerlina sedang menangis meminta tolong dan memanggil saya serta cuba keluar tetapi gagal, manakala adiknya Mohd Danial hanya diam kerana ketakutan.
"Tanpa berfikir panjang saya memecahkan pintu dan mencapai tangan dua beradik berkenaan dan segera keluar dari rumah, ketika itu hampir keseluruhan bahagian depan rumah sudah dijilat api," katanya.

Ibu mangsa, Noraini Samhari, berkata ketika kejadian beliau berada di tempat kerjanya dekat Pasir Gudang dan bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada jiran.

Katanya, sepanjang perjalanan dia hanya mampu berdoa dua anaknya yang ditinggalkan dalam jagaan ibu saudara mereka selamat dan tidak tercedera.

"Syukur kerana kedua-dua anak saya selamat. Bagi saya, mereka adalah segalanya berbanding harta benda, tidak lupa terima kasih pada jiran yang sanggup mengambil risiko menyelamatkan anak saya, " katanya.


Mangsa kebakaran tagih janji

Posted: 21 Sep 2011 04:46 PM PDT

Wilayah

RUMAH mangsa kebakaran belum dibaiki sejak kejadian Krismas tahun lalu.

RUMAH mangsa kebakaran belum dibaiki sejak kejadian Krismas tahun lalu.

9 keluarga Kampung Belacan minta kerajaan Pulau Pinang langsai bantuan

GEORGETOWN: Sembilan keluarga yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Belacan, Batu Feringgi di sini, pada hari Krismas tahun lalu, kecewa kerana belum menerima baki pembayaran bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri.

Mereka juga kebingungan kerana kerajaan negeri seolah-olah bersikap lepas tangan dengan meminta merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sedangkan sebelum ini Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Daerah Timur Laut berjanji untuk membantu. Mangsa kebakaran itu yang kebanyakannya berpendapatan rendah seperti pengayuh beca dan pekerja hotel, kini tidak tahu kepada siapa untuk mengadu kerana pemimpin politik daripada kerajaan negeri, tidak lagi menjenguk mereka.

Jurucakap keluarga berkenaan, Zuhan Khan Mohamed Ali, 41, berkata selepas kebakaran pada 25 Disember lalu, semua keluarga menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan pihak lain yang bersimpati berjumlah sekitar RM4,000.

Selepas itu, mereka tidak lagi menerima bantuan daripada mana-mana pihak termasuk untuk membina semula rumah di tapak asal. Semua keluarga yang terbabit dalam kejadian itu sudah membina semula rumah masing-masing.

Dua bulan selepas kejadian itu, mereka menerima surat daripada PDT Daerah Timur Laut bertarikh 8 Februari 2011 yang meminta salinan akaun bank dan kad pengenalan bagi membolehkan baki pembayaran bantuan menerusi Tabung Bencana disalurkan.
Surat ditandatangani Penghulu Parlimen Bukit Bendera 2, Wan Abdul Hamid Wan Abdul Rahim, memberi harapan kepada mangsa kebakaran bahawa mereka akan menerima bantuan tambahan, sekali gus dapat meringankan tanggungan masing-masing.

Namun, malangnya sehingga kini baki wang yang dijanjikan belum diterima dan penduduk tidak tahu bila mereka akan menerimanya.

"Saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Wan Abdul Hamid beberapa hari lalu yang meminta merujuk kepada MKN. Kami kebingungan kerana baki bayaran yang dijanjikan belum diterima dan kami tidak tahu kepada siapa untuk mengadu," katanya.

Zuhan yang mengusahakan rumah tetamu di pusat peranginan itu, berkata mangsa kebakaran hanya mengetahui mereka akan menerima baki bantuan daripada Tabung Bencana selepas membaca surat daripada Wan Abdul Hamid yang mewakili kerajaan negeri.

"Oleh kerana kerajaan negeri sudah berjanji untuk memberi bantuan, kami menagih janji... jangan hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati," katanya.

Sementara itu, Noli Yahaya, 53, bapa kepada lima anak, berkata dia amat kecewa kerana bantuan yang dijanjikan belum diterima walaupun sudah lebih sembilan bulan kebakaran yang memusnahkan rumahnya.

Noli yang bekerja sebagai pengayuh beca, berkata bantuan itu amat diperlukan bagi meringankan tanggungan keluarga kerana mereka memerlukan wang yang banyak untuk membina semula rumah yang terbakar.

"Kalau sudah berjanji, kena kotakan bukannya memberi pelbagai alasan," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan