Rabu, 21 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


'Tangkap remaja tak senonoh'

Posted: 20 Sep 2011 05:29 PM PDT

Wilayah

PASANGAN remaja asyik bercumbuan tanpa menyedari gelagat mereka  dirakam di Pantai Sura Tengah, Dungun.

PASANGAN remaja asyik bercumbuan tanpa menyedari gelagat mereka dirakam di Pantai Sura Tengah, Dungun.

Penduduk meluat tengok pasangan bercumbu di Pantai Sura Tengah

DUNGUN: Pantai Sura Tengah dekat sini dengan kawasan pasir memutih berlatarkan laut membiru dan hembusan bayu yang nyaman sepatutnya menjadi lokasi santai bersama keluarga.

Namun, anugerah alam semula jadi itu disalah guna pasangan kekasih gelap untuk memadu cinta terlarang, terutama di kawasan yang agak jauh serta terlindung daripada orang ramai. Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan pantai itu menjadi persinggahan pasangan remaja untuk melakukan maksiat, terutama waktu tengah hari kerana ketika itu kawasan pantai kurang pengunjung.

Walaupun Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Daerah kerap melakukan rondaan dan tangkapan di situ, masih ada segelintir remaja seperti tidak takut dengan undang-undang.

Pengunjung, Azmi Ariffin, 38, berkata kelakuan pasangan remaja itu amat memalukan dan menyakitkan mata orang ramai yang lalu di jalan tidak jauh dari pantai itu.

Katanya, dia pernah terserempak dengan pasangan remaja sedang berpelukan dan asyik bercumbuan tanpa segan silu pada waktu siang.
"Keadaan sungguh mengaibkan kerana kini orang sudah tidak lagi malu melakukan maksiat hingga turut dilihat oleh kanak-kanak," katanya ketika ditemui di pantai itu.

Azmi berkata, pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan pantai berkenaan bebas perlakuan maksiat.

Penduduk, Azman Mohd Noor, 46, berkata, walaupun kawasan itu menjadi tumpuan pihak berkuasa melakukan tangkapan, ia tidak menakutkan kumpulan pasangan melakukan maksiat yang bersilih ganti datang ke situ.

Katanya, penduduk yang tidak mahu turut menanggung dosa sudah beberapa kali memberi nasihat dan menegur secara baik terhadap pasangan kekasih gelap tetapi seperti tidak diendahkan, malah dalam beberapa keadaan penduduk pula yang dimarahi pasangan terbabit.

"Pasangan remaja yang melakukan perbuatan sumbang di situ perlu disedarkan dengan tindakan tegas daripada pihak berkuasa termasuk hukuman denda berat dan penjara selepas disabitkan kesalahan," kataya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang perlakuan maksiat.

Azman berkata, kedudukan tebing pasir tinggi amat sesuai kepada pasangan remaja melakukan maksiat kerana ia menghalang pandangan orang ramai yang melalui jalan Pantai Teluk lipat hingga ke Sura Hujung.

"Saya pernah turun ke kawasan berhampiran gigi air dan terserempak satu pasangan. Saya menasihati mereka supaya tidak melakukan perkara yang terkutuk itu. Mujurlah setakat ini belum ada tindak balas buruk daripada mereka.

"Perlakuan tidak senonoh ini perlu dihentikan kerana gejala buruk di pantai itu menjadi pencetus kepada perlakuan lebih berani pasangan kekasih gelap berkenaan termasuk seks bebas hingga menyebabkan gejala buang bayi," katanya.


OKU cedera ditumbuk perompak

Posted: 20 Sep 2011 05:28 PM PDT

Wilayah

MOHD RIDWAN menunjukkan bagaimana dia tersungkur selepas dibelasah perompak.

MOHD RIDWAN menunjukkan bagaimana dia tersungkur selepas dibelasah perompak.

Penjenayah acu parang rampas beg sandang, ragut rantai adik permpuan

KUALA LUMPUR: Bukan hanya diacukan parang, seorang lelaki kurang upaya (OKU) turut ditumbuk dan ditendang sekumpulan enam penjenayah bertopeng dalam kejadian rompakan di depan rumahnya di Jalan Marmar 2, Taman Melewar, di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Mohd Ridwan Razali, 28, yang juga adik ipar wartawan ekonomi Berita Harian, Mohd Zin Ali, sedang membantu kakak dan adiknya memunggah barang perniagaan ke dalam kereta di depan rumah, manakala ibu mangsa, Saadiah Karim, 57, berada di bilik tidur. Saadiah berkata, kejadian berlaku ketika beliau berbaring merehatkan diri selepas menunaikan solat Zohor sebelum terdengar suara seperti berlaku pergaduhan di depan rumah dan terus bergegas keluar.

"Saya terkejut melihat seorang lelaki sedang mengacukan parang pada leher Mohd Ridwan, manakala lima lagi sedang menunggu di luar rumah dengan motosikal.

"Dua lagi anak perempuan saya berlari masuk dalam rumah menyelamatkan diri, tetapi seorang daripada penjenayah itu berjaya merentap rantai leher yang dipakai anak saya itu," katanya.

Saadiah berkata, ketika itu juga, dua lagi penjenayah meluru ke arah mereka sambil mengacukan parang, menyebabkannya tergamam.
"Penjenayah itu mengugut mahu menetak saya anak beranak jika melawan sebelum meminta kami menyerahkan cincin dan gelang tangan yang dipakai.

"Pada masa sama, saya turut melihat Mohd Ridwan tersungkur di tepi longkang rumah dalam keadaan kesakitan akibat dibelasah," katanya.

Beliau berkata, beg sandang milik Mohd Ridwan yang mengandungi beberapa dokumen penting dan kunci kereta turut dirampas, menyebabkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM8,000.

"Walaupun kami selamat dan kejadian itu berlaku dalam masa lima minit, tetapi ia menyebabkan kami sekeluarga trauma," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Ridwan bersama kakak dan adiknya membuat laporan di Balai Polis Setapak sejurus selepas kejadian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan