Selasa, 20 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


RM1.5j bina rumah pasang siap

Posted: 19 Sep 2011 04:07 PM PDT

Wilayah

MUHYIDDIN menandatangani batu asas projek pembinaan bangunan SJK (T) Ladang Batu Kawan, Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan di Batu Kawan.

MUHYIDDIN menandatangani batu asas projek pembinaan bangunan SJK (T) Ladang Batu Kawan, Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan di Batu Kawan.

Dana tambahan bina 64 kediaman untuk mangsa banjir Kampung Manggis

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukkan tambahan RM1.5 juta bagi pembinaan 64 rumah pasang siap untuk mangsa banjir Kampung Manggis yang dijangka siap sebelum Aidilfitri tahun depan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas meluangkan masa 15 minit melawat Tapak Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Manggis di sini, Sabtu lalu. Peruntukkan itu diberi melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hanya meluluskan RM4.8 juta untuk 48 pemohon yang memenuhi syarat.

Bagaimanapun, baki 16 permohonan lagi masih diteliti kerana pemohon mempunyai pendapatan isi rumah melebihi RM1,500 sebulan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memperuntukkan RM2 juta untuk melaksanakan pembersihan, pengukuran tapak dan penyediaan infrastruktur bermula minggu ini sebelum SPNB memulakan projek Mac 2012.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa projek berkenaan akan disiapkan mengikut jadual.
"Kita (Kerajaan Persekutuan) turut meluluskan peruntukkan RM1.5 juta bagi membolehkan 16 pemohon yang masih dalam proses memperoleh rumah kerana mereka juga mangsa banjir.

"Setiap rumah yang berharga RM75,000 mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu yang keluasan 1,000 kaki persegi," katanya.

Mereka yang berjaya mendapat rumah itu perlu membayar dua pertiga daripada kosnya kerana satu pertiga ditanggung oleh Kerajaan Pusat. Mereka hanya perlu membayar RM175 sebulan.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP) Kuala Tasik dan Kampung Manggis, Rahim Saad.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukkan RM6.3 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan bagi pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran membuat pengumuman itu ketika melawat sekolah itu, Sabtu lalu, sekali gus menyelesaikan masalah sekolah itu yang sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

"Perkara ini dikemukakan kepada saya sejak setahun lalu oleh Barisan Nasional (BN) negeri menerusi MIC dan pada peringkat awal saya luluskan peruntukan RM1.7 juta.

"Tapi peruntukan itu tidak mencukupi kerana bangunan ini memerlukan kemudahan tambahan seperti kelas dan lain-lain. Justeru peruntukkan tambahan sebanyak RM4.6 juta diluluskan menjadikan jumlah keseluruhan RM6.3 juta," katanya pada Majlis Peletakan Batu Asas Bangunan Baru SJKT Ladang Batu Kawan pada hari sama.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Perhubungan MIC negeri, Datuk PK Subbaiyah.


FELDA Kerteh dilanda ribut

Posted: 19 Sep 2011 04:06 PM PDT

Wilayah

ZAMILAH menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut dipukul ribut  di FELDA Kerteh, Dungun.

ZAMILAH menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut dipukul ribut di FELDA Kerteh, Dungun.

Lebih 100 rumah rosak, pokok besar tumbang merintangi jalan

DUNGUN: Lebih 100 rumah di tiga kawasan iaitu FELDA Kertih 4, 5 dan 6 mengalami kerosakan bumbung atap dan dinding akibat angin kencang dan hujan lebat dalam kejadian pada jam 4.30 petang, kelmarin.

Kejadian itu juga menyebabkan banyak pokok besar tumbang merintangi jalan sehingga penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk menebang pokok dan membuka semula laluan. Penduduk, Abu Bakar Ahmad, 55, berkata sejak lebih 20 tahun tinggal di kawasan FELDA itu, ini kali pertama penduduk dikejutkan dengan kejadian ribut.

"Ini kejadian kali pertama berlaku hingga merosakkan lebih 100 rumah penduduk dan saya bersyukur semua penduduk selamat," katanya.

Zamilah Awang Kecil, 48, berkata, serpihan atap yang pecah nyaris mencederakan dua cucunya yang ketika itu berada di ruang tamu bersama anak perempuannya, Norizan Jusoh, 30.

"Menyedari kejadian itu, saya mengambil cucu berusia lima dan tujuh tahun serta menyorok di bawah rumah sehingga ribut berhenti setengah jam kemudian.
"Mulanya, saya menyangkakan cuaca gelap hanya kerana hujan biasa sebelum tiba-tiba angin kuat bertiup sehingga menyebabkan tikar getah di ruang tamu terangkat," katanya.

Beliau berkata, lima minit selepas itu dia terdengar satu dentuman kuat di bumbung rumah dan apabila mendongak mendapati atap rumahnya tercabut menyebabkan serpihan atap asbestos pecah bertaburan dalam rumah.

"Saya yang ketakutan menyebut kalimah Allah sebelum melarikan dua cucu sambil menjerit meminta tolong anak dan menantu yang ketika itu sedang menahan sebuah kanopi di depan rumah daripada diterbangkan ribut," katanya.

Zamilah berkata, dia bersyukur kerana serpihan atap rumah yang pecah dan tajam tidak mengenai dua cucunya.

Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh ketika dihubungi berkata, pengurusan FELDA membuat bancian bagi menyalurkan peruntukan segera bagi membantu penduduk yang menjadi mangsa.

"Kita bersimpati dengan nasib penduduk dan berharap mereka bersabar sehingga bantuan diberikan kepada mereka," katanya menambah bantuan RM300 diberikan kepada 78 penduduk.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan