Isnin, 19 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Botol arak bersepah di taman

Posted: 18 Sep 2011 04:51 PM PDT

Wilayah

KAWASAN perumahan Taman Impian, Jalan Sungai Lembing jadi  ‘port’ remaja minum arak dan menghidu gam.

KAWASAN perumahan Taman Impian, Jalan Sungai Lembing jadi 'port' remaja minum arak dan menghidu gam.

Beberapa kanak-kanak pernah cedera akibat terpijak serpihan kaca

KUANTAN: Taman kaca! Itulah nama yang selayaknya diberikan kepada taman permainan kanak-kanak di kawasan perumahan Taman Impian, Jalan Sungai Lembing apabila hampir keseluruhan taman itu dipenuhi serpihan kaca.

Lebih menjengkelkan dan memalukan, kaca itu adalah daripada serpihan botol arak yang sengaja dipecahkan remaja nakal yang melepak di situ setiap malam. Selain menghabiskan masa meneguk air minuman syaitan itu, remaja terbabit turut menghidu gam dan ada kumpulan mat rempit yang sengaja membunyikan enjin motosikal dengan kuat sehingga mengganggu penduduk dan orang ramai yang mengunjungi taman itu.

Tinjauan Edisi Timur mendapati banyak alat permainan dan bangku yang disediakan rosak angkara perbuatan remaja nakal terbabit.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 46, berkata sikap tidak bertanggungjawab remaja terbabit bukan sekadar mengotorkan kawasan taman permainan itu tetapi turut menimbulkan kesan buruk kepada kanak-kanak yang bermain di situ.

Beliau berkata, setiap malam kumpulan remaja daripada kampung berhampiran menjadikan kawasan itu sebagai medan berlumba motosikal, membuat bising, minum arak dan menghidu gam.
Katanya, kawasan taman itu agak gelap kerana lampu jalan dilindungi pokok menyebabkan semakin mudah melakukan perbuatan tidak bermoral itu tanpa menghiraukan sensitiviti penduduk.

"Mereka bukan sekadar minum arak, malah lebih teruk lagi memecahkan botol minuman dan mencampakkannya di kawasan padang permainan yang kerap dikunjungi kanak-kanak untuk bermain.

"Tempat ini berbahaya kerana jika tersalah jalan, mereka akan terpijak kaca yang sengaja dibaling remaja nakal ini," katanya ketika ditemui Berita Harian.
Penduduk yang mahu dikenali Suri, 34, berkata beberapa kanak-kanak pernah luka di telapak kaki kerana terpijak botol kaca berselerakan di situ.

"Rumah saya berhampiran taman dan setiap malam budak-budak nakal ini datang berkumpul, menyanyi dan membunyikan enjin motosikal dengan kuat tanpa menghiraukan penduduk sekeliling.

"Bagaimanapun, kami tidak berani menegur perbuatan mereka kerana bimbang mereka akan membalas dendam kerana kami ada anak kecil dan bimbang akan dicederakan," katanya.

Suri bagaimanapun kesal kerana pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang ditubuhkan di kawasan perumahan di situ enggan membuat rondaan atau mengambil tindakan terhadap masalah di taman permainan terbabit.

"Mereka enggan membuat rondaan di sini kerana mendakwa taman permainan itu bukan kawasan kawalan mereka," katanya.


Pak Ku kerah segala kudrat sara keluarga

Posted: 18 Sep 2011 04:50 PM PDT

Wilayah

PAK KU yang cacat kedua-dua belah tangan dan kaki sejak lahir bertugas sebagai Pembantu Tadbir JKR Kelantan.

PAK KU yang cacat kedua-dua belah tangan dan kaki sejak lahir bertugas sebagai Pembantu Tadbir JKR Kelantan.

KOTA BHARU: Meskipun dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan tangan, Tuan Man Tuan Wel, 50, dari Kampung Banggol Pak Esah dekat Pasir Puteh tidak menjadikan kekurangan itu halangan untuk mengerahkan kudrat menyara keluarga seperti orang lain.

Sentiasa berfikiran positif dan ceria. Itulah perwatakan Tuan Man atau lebih dikenali sebagai Pak Ku oleh kenalannya yang sudah berkhidmat di bahagian pentadbiran dan kewangan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Jalan Kuala Krai.

Pak Ku yang sudah berkhidmat dalam sektor awam sejak 1991 bermula sebagai kakitangan sambilan sebelum menjadi penjawat awam tetap dan berpencen pada 2002. Beliau melaksanakan setiap tugas diamanahkan dengan baik. Komitmen terhadap kerja membuatkan dirinya tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa memandu dari Pasir Puteh untuk bekerja.

Bapa kepada tiga anak iaitu Tuan Nur Qurratu Ainy Mardiah, 14; Tuan Nur Azim Qoyyum, 10; dan Tuan Nur Qasrina Amaniey Mardiah, 5, hasil perkahwinan bersama pembantu tadbir di Jabatan Akauntan Negara cawangan Kelantan, Robiah Abdullah, 41, juga meluahkan kesyukurannya apabila diterima berkhidmat dalam sektor awam dalam keadaannya demikian.

Pak Ku yang mempunyai lesen memandu kereta sejak 2004, memandu kereta Kancil yang diubah suai dengan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menghantar isterinya ke pejabat sebelum ke tempat kerjanya.

"Pejabat terletak di tingkat dua dan setiap hari saya naik dan turun untuk menyelesaikan pelbagai urusan. Saya sudah biasa dengan keadaan itu.
"Kerja saya menguruskan fail. , Tugas itu sesuai dengan kemampuan. Saya sedaya upaya melakukan tugas sama seperti orang lain," kata anak kedua daripada enam beradik dengan ketinggian 126 sentimeter.

Ditanya sama ada kemudahan disediakan kepada orang kelainan upaya (OKU) di tempat kerjanya, Pak Ku berkata, beliau tidak mempunyai masalah kerana mempunyai tempat meletak kenderaan sendiri khas untuk OKU.

Selain itu, beliau yang mempunyai kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkata, walaupun dilahirkan tanpa kedua belah tangan, dia dapat menulis dengan baik, sekali gus memudahkannya melakukan urusan kerjanya.

Pak Ku berkata, semua ahli keluarganya termasuk anak dan isterinya normal dan sempurna.

Selain itu, Pak Ku berkata, sama seperti keluarga lain, beliau juga akan meluangkan masa untuk bercuti ke tempat menarik bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Kalau nak pergi ke mana-mana, saya lebih gemar memandu kereta sendiri kerana lebih mudah. Malah, banyak tempat sudah saya lawati, termasuk Putrajaya, Cameron Highlands dan beberapa negeri lain. Saya tidak pernah menjadikan keadaan diri sebagai halangan untuk hidup gembira," katanya.

Bagi mengisi masa terluang, Pak Ku berkata, beliau turut aktif bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu sebagai ahli dalam Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSAN) sejak 2004.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan