Jumaat, 23 September 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


4 pendekatan gilap usahawan desa global

Posted: 22 Sep 2011 05:01 PM PDT

Nasional

NAJIB bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melihat akar tongkat ali ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2011,  di Putrajaya, semalam.

NAJIB bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melihat akar tongkat ali ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2011, di Putrajaya, semalam.

Dana permulaan RM50 juta laksana UKDinamik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengemukakan empat pendekatan dalam usaha menggilap bidang keusahawanan desa bagi mewujudkan kelompok usahawan mapan yang berdaya maju pada peringkat serantau dan global.

Perdana Menteri berkata, empat pendekatan itu ialah memperkenalkan idea baru yang lebih kreatif, menyuntik inovasi dalam perniagaan, penjenamaan yang lebih kuat serta terkenal dan penggunaan laman maya dalam mengembangkan pasaran produk khususnya internet dan laman sosial. Beliau berkata, pendekatan itu penting dalam mengharungi cabaran mewujudkan budaya keusahawanan di kalangan masyarakat kerana kejayaan dalam bidang itu pada masa ini, masih tidak sepenuhnya.

"Jika kita curahkan bantuan demi bantuan, tetapi tidak melihat kepada keberhasilannya, maka jelas kita (hanya) bertumpu kepada program dan output saja, tapi kita tak menilai sejauh mana keberhasilan itu dapat dicapai," katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Desa 2011 di sini, semalam.

Karnival itu dianjurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mulai semalam sehingga Ahad ini di Presint 2 di sini.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta menerusi MARA untuk digunakan bagi melaksanakan Program Usahawan Kecil Dinamik (UKDinamik) yang akan memanfaatkan kira-kira 10,000 usahawan desa.
Beliau berkata, antara pendekatan atau idea baru perlu dilakukan, ialah dengan membabitkan diri dalam bidang yang persaingan perniagaannya tidak begitu dahsyat sehingga menyebabkan pulangan kepada usahawan terlalu kecil.

Katanya, penawaran produk sama di sesuatu kawasan akan menyebabkan modal pusingan terbatas, sekali gus tidak menjadikan perniagaan itu kukuh dan besar.

Pada masa sama, katanya, usahawan juga digalakkan menggunakan dunia maya, terutama internet dan laman sosial untuk memasarkan produk masing-masing.

Katanya, kerajaan juga dalam proses melancarkan Program Transformasi Desa yang dimulakan dengan pembukaan sebuah pusat transformasi desa (RTC) di Gopeng, Perak dalam masa terdekat.


Pemansuhan ISA dijelaskan kepada rakyat: PM

Posted: 22 Sep 2011 05:00 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat akan diberikan penjelasan berhubung keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan digantikan dengan dua akta baru yang akan dibentangkan di Parlimen pada 3 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan rakyat memahami dengan jelas pelaksanaan program transformasi kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya janjikan dua tahun lalu bahawa ISA akan dipinda... bukan kerana tuntutan pembangkang.... dan kini saya tunaikan janji dengan memansuhkan ISA dan diganti dua akta baru. "Terperinci dan susulan (langkah) itu akan kita bentangkan supaya orang faham akan langkah yang diambil oleh kita," katanya berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Merdeka Raya anjuran Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Pada majlis dihadiri kira-kira 10,000 tetamu, Anugerah Wira Bukit Kepong disampaikan kepada waris 16 pejuang yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.

Najib berkata, semua pihak tidak perlu takut dengan perubahan kerana kepemimpinan UMNO, Perikatan dan BN adalah pemangkin dan ejen perubahan terbesar dalam sejarah negara.

Mengulas pengorbanan pasukan keselamatan termasuk dalam kejadian Bukit Kepong, Perdana Menteri berkata, jika pihak lain mengambil sikap menghina dan menidakkan pengorbanan mereka, UMNO dan BN akan terus membela maruah dan kebajikan mereka sebagai wira serta pejuang sejati nasionalis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan