Selasa, 20 September 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Lakukan terbaik untuk negara

Posted: 20 Sep 2011 05:51 PM PDT

Nasional

NAJIB ketika ditemubual penyampai radio MIX fm, JD (kiri) dan Dilly di Astro, semalam.

NAJIB ketika ditemubual penyampai radio MIX fm, JD (kiri) dan Dilly di Astro, semalam.

Najib kongsi kisah kehidupan peribadi seharian dengan pendengar radio

KUALA LUMPUR: Dikejutkan dari tidur pada setiap subuh oleh penggera iPhone yang dikunci dengan lagu Karma Chameleon nyanyian kumpulan Culture Club yang cukup popular pada 1980-an adalah antara sisi menarik kehidupan Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang baru mengenali perkataan 'sempoi' melalui Tweeter, mengagumi kekuatan karakter bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela. Kehidupan dan maklumat itu dikongsinya bersama seluruh rakyat ketika ke udara menerusi tiga stesen radio bahasa Melayu serta bahasa Inggeris milik Astro, di Bukit Jalil, semalam.

Pada temuramah bersama stesen radio bahasa Inggeris MIX fm, Najib berkata, ketika ini siangnya lebih panjang dengan kelaziman bangun antara jam 6 hingga 6.30 pagi dan malamnya kian pendek yang menggambarkan beban tugas berat dipikul, bahkan ada orang tetap mahu bertemu ketika beliau berada di rumah.

Perdana Menteri tidak menafikan ada kala kepenatan dengan jadual harian yang amat padat tetapi berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk negara kerana menggalas amanah rakyat.

"Ia seperti menjadi CEO (ketua pegawai eksekutif) sebuah syarikat, cuma lebih besar sedikit (berseloroh). Bagaimanapun, anda (merujuk kepada keadaan dirinya) perlu menguruskan apa juga waktu yang ada. Anda memerlukan masa untuk diri, sebagai contoh bersenam dan menonton program kegemaran," katanya yang berazam memastikan masa depan cerah untuk generasi muda negara ketika menjawab soalan deejay Jason Desmond atau lebih dikenali sebagai JD dan Adila Shakir (Dilly) dalam rancangan All-New MIX Breakfast Show.
Beliau yang berpakaian kasual kemeja-T dan seluar berwarna biru dengan jaket biru gelap tiba seawal jam 7.30 pagi di konti serta disambut antaranya oleh Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks, Datuk Borhanuddin Osman; Pengurus Besar Rancangan, Yaacob Bakhtiar Abdullah atau lebih dikenali sebagai Jake Abdullah; dan Pengurus Rangkaian, Mohamed Raqeem Brian Abdullah.

Menjawab satu soalan sama ada beliau boleh keluar tanpa kawalan keselamatan rasmi, Najib berkata: "Pernah sekali saya cuba 'menyelinap keluar' tetapi seluruh Bukit Aman dimaklumkan, jadi saya terpaksa melupakan idea berkenaan. Saya perlu diiringi anggota keselamatan tetapi saya beritahu mereka supaya jangan terlalu menonjol."

Beliau meminati filem Gladiator dan A Few Good Men serta pelakon hebat Denzel Washington, Najib juga menggemari adunan muzik dihasilkan anaknya, Norashman yang disifatkan sebagai bagus dalam kreativiti itu malah memiliki kelengkapan dan sistem berkaitan di bilik sendiri, manakala Save The Last Dance For Me nyanyian Ben E King ialah antara lagu kegemaran.

Pada program itu, Najib memenangi kuiz Battle Of The Sexes, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM150 tetapi menghadiahkannya kepada pendengar yang juga pencabar beliau dalam segmen berkenaan, Yam Poh Ling.

Ketika sesi bersama stesen radio bahasa Inggeris hitz.fm pula, Najib menyerlahkan sisi 'sporting' beliau apabila menjayakan panggilan palsu 'Gotcha' terhadap Jake dengan membuat permintaan sebagai seorang ayah supaya Norashman menjadi deejay dalam rancangannya.

Jake yang tidak menyedari 'perangkap' berkenaan pada mulanya kelu kerana tidak sangka menerima panggilan Perdana Menteri, malah pada satu ketika seolah-olah tidak percaya sehingga bertanyakan nama anak Najib walaupun mengaku suara dalam talian mirip pemimpin negara itu.
Rakaman panggilan itu disiarkan pada sesi bersama deejay hitz.fm Morning Crew, Johan Fernandez (JJ) dan Tengku Ean Tengku Nasrun (Ean), yang turut disertai Jake.

Beliau juga singgah ke konti bahasa Melayu Era FM bersama deejay Aznil Nawawi (Pak Nil), Shah Reza Mohd Shah (Ray) dan Haniff Hamzah (Haniff) dalam rancangan Riuh Pagi Era.

Deejay teruja dihubungi PM

KUALA LUMPUR: Pengurus Besar Rancangan AMP Radio Networks, Yaacob Bakhtiar Abdullah menyifatkan pengalaman mendapat panggilan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk segmen 'Gotcha' dalam rancangan radio bahasa Inggeris hitz.fm Morning Crew, sebagai kenangan yang akan diingati seumur hidup.

Malah, ketika deejay Johan Fernandez atau JJ dan Tengku Ean Tengku Nasrun (Ean) menyatakan 'Gotcha!' kepada bos mereka selepas berjaya 'mengenakannya', beliau yang lebih dikenali sebagai Jake Abdullah mengaku berasa seronok dan teruja dihubungi Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks, Datuk Borhanuddin Osman dalam satu kenyataan pula menyifatkan Najib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia yang mesra.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

English Teacher Jr.

It is something nice after all. I am anavid online newspaper reader and i find it to be sincerely fun when i read through the 'sporting' PM in action. Wish u good luck in your career and life ahead. May God bless you ;)


3 murid dibenar ambil UPSR

Posted: 20 Sep 2011 05:46 PM PDT

Nasional

Muhyiddin kecewa guru besar sekat hak pelajar, arah ambil tindakan

DUNGUN: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak yang tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana dianggap lemah, dibenar menduduki peperiksaan itu dalam tempoh empat minggu lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil meluahkan dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid iaitu Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, setiap pelajar yang mendaftar mengambil peperiksaan awam, mesti diberi peluang menduduki peperiksaan itu. "Sama ada murid itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah, itu soal kedua. Hak dia untuk ambil peperiksaan tidak boleh disekat atau dihalang oleh pentadbir sekolah.

"Sebagai Menteri Pelajaran, ini kuasa saya mengikut Akta Pendidikan dengan membenarkan mereka menduduki UPSR. Saya juga sudah menerima laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa ini boleh dilakukan.

"Biasanya, ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid terbabit menduduki peperiksaan itu," katanya selepas majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Sura, di sini, semalam yang dihadiri lebih 15,000 penduduk setempat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Datuk Za'abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang selesai diduduki calon 15 September lalu.

Beliau turut mengingatkan pentadbir sekolah tidak terlalu ghairah mencapai kecemerlangan sekolah hingga bertindak di luar perkara sepatutnya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah terutama guru besarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober ini akan memberi perhatian kepada isu dihadapi rakyat termasuk mengurangkan kos hidup ketika ini.

"Wallahualam..apa yang terkandung dalam bajet itu, kita berharap akan menyentuh perkara yang dapat mengurangkan kos bebanan rakyat," katanya pada majlis dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Masyarakat dan Pegawai Kanan Kerajaan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin kebajikan rakyat, Najib yang juga Menteri Kewangan pasti mengambil kira semua aspek yang akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, selaras kematangan rakyat negara ini.

Katanya, walaupun akta itu dimansuhkan, semua pihak termasuk mereka yang ekstremis dan cuba mengganggu gugat keamanan dan keselamatan negara, tidak akan terlepas daripada lunas undang-undang negara.

'Cikgu kata saya tak pandai'

BINTANGOR: "Cikgu tidak benarkan saya ambil ujian kerana cikgu kata saya tak pandai. Setakat ini keputusan terbaik saya hanya C, sebab itulah saya dikurung," kata Idie Ganhyol, 12, seorang daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas atasan lemah.

Idie bersama dua rakannya, Edward Ujoh dan Richmend Mangi, dikurung dalam bilik pemulihan sekolah itu bagi menghalang mereka daripada menduduki UPSR kerana bimbang prestasi keseluruhan sekolah akan menurun.

Mereka dikurung mulai jam 8 pagi hingga tengah hari dua hari berturut-turut, pada 13 dan 14 September lalu.

Edward pula berkata, gurunya turut memaklumkan dia juga tidak boleh menduduki UPSR kerana terlalu lemah dalam pelajaran, sebelum mengurungnya bersama dua rakannya.

Sementara itu, ibu Edward, Molly Nilau, yang ditemui mengaku sangat marah dan sakit hati kerana anaknya diperlakukan sedemikian.

"Anak saya dilayan macam pencuri... penjenayah, sehingga dikurung sebegitu. Kami juga tidak pernah tarik balik laporan polis. Guru sekolah merayu kami tarik balik laporan... tapi kami enggan.

"Mereka juga kata kalau kami mahu teruskan juga kes itu sampai ke mahkamah, kami tak akan mampu bayar kos yang dikenakan," katanya ketika ditemui, semalam.

Bapa Idie, Ganyol Lubok berkata, guru sekolah terbabit sudah meminta maaf dan merayu supaya ibu bapa menarik balik laporan polis yang dibuat.

"Tapi saya jawab tidak... kami tidak akan tarik balik laporan polis yang dibuat. Guru terbabit sepatutnya merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu kalau tak mahu anak kami menduduki peperiksaan, bukannya mengurung mereka.

"Guru juga memberitahu mereka akan mengemukakan ujian percubaan anak kami sebagai ganti kepada peperiksaan UPSR," katanya yang sangat kecewa dengan tindakan guru sekolah itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan