Jumaat, 23 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mahkamah tetapkan 11 Januari, bicara kes Guan Eng saman Utusan

Posted: 23 Sep 2011 03:16 AM PDT

Mutakhir

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 11 hingga 13 Januari 2012 sebagai tarikh sambung bicara kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyaman Utusan Melayu (M) Bhd berhubung satu artikel bertajuk "DEB: Guan Eng Tetap Berdegil" bertarikh 15 Mac 2008.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar keterangan Lim daripada kandang saksi berhubung tuntutan beliau terhadap Utusan Melayu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim selaku plaintif mendakwa kandungan artikel itu mengandungi perkataan berunsur fitnah dan berniat jahat kerana beliau menafikan mengeluarkan perkataan berkenaan semasa membuat sidang media itu. Selepas mendengar keterangan Lim, Nurmala menetapkan tiga hari untuk mendengar keterangan daripada saksi plaintif dan defendan.

Dalam prosiding itu, Lim diwakili peguam Jagdeep Singh Deo manakala Utusan Melayu yang dinamakan sebagai defendan, diwakili peguam Mohana Kumar. - BERNAMA


GERAKAN tolak pelaksanaan Hudud

Posted: 23 Sep 2011 03:06 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: GERAKAN akan menentang sebarang usaha untuk melaksanakan Hudud atau undang-undang teokratik kerana ia bertentangan dengan struktur asas persekutuan dan perlembagaan, kata timbalan presidennya, Datuk Chang Ko Youn.

"Kita adalah sebuah negara dengan majoritinya orang Islam tetapi dengan penduduk bukan Islam minoriti yang penting. Struktur asas perlembagaan kita memelihara kepelbagaian ini dan sebab itu kenapa undang-undang punitif adalah sekular dan terpakai kepada semua orang.

"Kita tidak boleh mempunyai satu undang-undang yang berbeza bagi setiap seksyen masyarakat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini. Dilaporkan, anggota pakatan pembangkang bertelagah berhubung pelaksanaan hukum Hudud.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bahawa hukum Hudud masih belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini sehingga keadaan negara amat kondusif bagi memastikan kemananan dan keadilan benar-benar wujud terlebih dulu. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan