Khamis, 22 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kes Anwar: Dr McDonald nafi cuba keliru mahkamah

Posted: 22 Sep 2011 03:49 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Seorang ahli kimia dari Australia hari ini menafikan beliau berniat untuk mengelirukan mahkamah ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Brian McDonald berkata, beliau melakukan kesilapan dan sudah tersalah baca bukti yang dikemukakan ahli kimia, Dr Seah Lay Hong, kerana menyangka doktor itu membuat ujian asid fosfet (AP tests) pada palitan yang diambil daripada bahagian atas dan bawah rektum pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, sedangkan Dr Seah hanya melakukan ujian itu terhadap seluar dan seluar dalam Mohd Saiful.

"Saya tersilap baca bukti itu. Saya menyangka Dr Seah melakukan ujian AP terhadap palitan yang diambil daripada bahagian atas dan bawah rektum Mohd Saiful," katanya apabila menjawab soalan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar pada pemeriksaan balas sama ada beliau melakukan kesilapan tentang ujian AP yang dibuat Dr Seah. Saksi pembelaan keempat itu juga berkata sekiraya Dr Seah melakukan ujian AP terhadap palitan berkenaan, ia akan menghasilkan beberapa bukti perbandingan dalam bidang perubatan.

"Saya tidak berniat hendak mengelirukan mahkamah. Ini bukan isu ketidakjujuran. Perkara sebenarnya ialah saya tersilap baca bukti yang dikemukakan," katanya.

Dr McDonald memberi keterangan itu pada perbicaraan Anwar, 64, yang dituduh meliwat bekas pembantu beliau Mohd Saiful, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Menjawab soalan mengenai degradasi sampel, Dr McDonald berkata isu degradasi amat penting dalam kes berkenaan kerana hanya bukti itu yang menentukan kredibiliti sampel spermatozoa.
Merujuk kepada kes semasa (kes Anwar) apabila ahli kimia berkenaan boleh mengambil DNA 56 jam selepas kejadian liwat daripada dubur Mohd Saiful, Dr McDonald berkata beliau berpendapat ia adalah kes membabitkan tempoh paling lama yang pernah direkodkan dalam sejarah dunia sejak 40 tahun lalu.

Beliau berkata, 56 jam adalah tempoh paling lama yang pernah direkodkan dalam bidang DNA apabila sperma masih boleh diambil daripada dubur seseorang sebelum dibuat ujian yang menghasilkan hasil positif.

Dalam kes ini, sampel sperma diambil di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008 dan Dr Seah menerimanya kira-kira 56 jam kemudian.

Dalam keterangannya, Dr Seah mengesahkan spermatoza daripada sampel sperma yang diambil daripada dubur Mohd Saiful berada dalam keadaan baik.

Mengenai tulisan yang tersiar dalam jurnal perubatan pada 1997 bertajuk 'Sexual Assault and Semen Persistence' bahawa sperma boleh kekal di dalam rektum hingga selama 113 jam, Dr McDonald berkata kes itu amat jarang berlaku dan hanya 99 peratus boleh terjadi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan disambung pada 3 Oktober. - BERNAMA


Polis sahkan suspek cuba perkosa mangsa sebelum bunuh, bakar

Posted: 22 Sep 2011 03:45 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Polis mengesahkan suspek dalam kes bunuh dan bakar seorang remaja wanita di Jalan Bukit Belacan, Ampang, pada 5 September lalu cuba memperkosa mangsa selepas hajatnya untuk menyambung kembali hubungan percintaan mereka ditolak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan mendapati suspek berang selepas mangsa Nurul Awatif Syakir, 19, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah di Selayang enggan meneruskan hubungan mereka.

Beliau berkata, suspek dipercayai mengambil tindakan nekad membunuh mangsa sebaik permintaanya itu ditolak. "Laporan bedah siasat sudah diperoleh. Polis juga sudah mendapatkan perintah sambung reman sehingga 27 September ini sebelum mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Pada 5 September lalu, mangsa dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas keluar rumah pada 8.30 malam sehari sebelum itu.

Pengecaman mayat mangsa dilakukan anggota keluarga melalui cebisan baju kurung berwarna hijau serta sepasang anting-anting yang dipakai mangsa.

Pada 12 September, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di pusat pengajiannya yang terletak di Seri Iskandar, Perak bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan