Isnin, 4 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Gempa bumi kuat gegar Selatan Jawa

Posted: 04 Jun 2012 06:58 AM PDT

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Selatan Jawa, Indonesia pada 7.18 malam ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa terletak 185 kilometer di barat daya Sukabumi, Indonesia dan 1,117 kilometer tenggara Johor Baharu.

Bagaimanapun, tidak ada ancaman tsunami dilaporkan.

Sementara itu, di JAKARTA, Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika Indonesia melaporkan beberapa kawasan termasuk Bandung, Tasikmalaya, Bogor dan Jakarta Selatan turut merasai gegaran gempa tersebut. - Bernama




Polis rampas dua pistol, satu bom tangan dari dua lelaki

Posted: 04 Jun 2012 04:37 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis merampas dua pucuk pistol jenis Tanfoglio 9mm buatan Itali dan Taurus 9mm serta sebiji bom tangan asli daripada dua lelaki dalam kes berasingan Sabtu lepas dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata pistol jenis Taurus dan bom tangan dirampas daripada seorang lelaki berumur 37 tahun yang ditemui terbaring dan dalam keadaan separuh sedar di tepi jalan raya di Taman Permata, Cheras kira-kira jam 6 pagi.

Mohan berkata turut ditemui dalam pistol tersebut adalah enam butir peluru manakala bom tangan itu ditemui tersorok 20 meter dari tempat suspek terbaring sejam kemudian.

"Mula-mula kita jumpa suspek terbaring bersama pistol, sebilah pisau panjang, pisau lipat serta sebuah motosikal yang kemungkinan digunakan untuk menyamun.


"Namun kira-kira sejam kemudian kita menjumpai bom tangan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.


Mohan berkata, polis akan menyiasat bom tangan itu buatan dari negara mana sesudah bom tersebut diletupkan.

"Kita juga akan menyiasat untuk apa beliau menyimpan bom dan pistol tersebut dan buat masa ini kita masih belum mendapat maklumat lengkap memandangkan lelaki itu masih dalam keadaan separuh sedar," katanya sambil menambah kemungkinan lelaki itu dilanggar atau terjatuh sendiri kerana beliau positif dadah dan alkohol.

Mohan berkata, bagi kes kedua sepucuk pistol jenis 'Tanfoglio', polis merampas pistol milik seorang pengawal peribadi berumur 37 tahun, kerana dipercayai disalahgunakan.

Dalam kejadian Sabtu lalu di sebuah kelab malam di Jalan Metro, Pudu kira-kira jam 10 malam, suspek bersama beberapa rakannya dikatakan bergaduh dengan sebuah kumpulan lain menyebabkan seorang cedera di kepala kerana dihentak dengan pistol tersebut.

"Semasa hendak melarikan diri, suspek melepaskan dua das tembakan tetapi tidak mengenai sesiapa," katanya sambil menambah terdapat 10 butir peluru dalam pistol tersebut.

Suspek bersama seorang rakannya kemudian membuat laporan polis keesokan harinya dan mendakwa terpaksa melepaskan tembakan kerana hendak melindungi majikannya, kata Mohan.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek mempunyai lesen 'Carry and Use' (C&U) yang mana membolehkan suspek menyimpan senjata api namun tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga Rabu ini. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan