Jumaat, 1 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis tahan lelaki warga Pakistan terlibat 51 kes tipu

Posted: 01 Jun 2012 05:43 AM PDT

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 36 tahun, dipercayai dalang sindiket yang terlibat dalam 51 kes penipuan melibatkan kerugian hampir RM500,000 di beberapa negeri di Semenanjung, sejak pertengahan tahun lepas.

Sebanyak 12 kes dilaporkan di negeri ini manakala 11 kes di Perak, Kuala Lumpur (14 kes) dan selebihnya di Selangor, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri dan JSJK Daerah Seberang Perai Utara, polis berjaya menjejaki lelaki terbabit dan menahannya di sebuah bank di Butterworth pada Rabu lepas.

"Ketika ditahan, suspek sedang mengeluarkan wang melalui mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan wang berkenaan dipercayai baru dimasukkan oleh mangsa terbarunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Polis telah menahan lima anggota sindiket tersebut terdiri daripada warga tempatan dalam tangkapan berasingan awal bulan lepas.- Bernama




Dua maut, dua parah kereta bertembung di Marang

Posted: 01 Jun 2012 04:30 AM PDT

MARANG: Dua maut manakala dua lagi parah apabila apabila kereta yang mereka naiki bertembung di Kilometer 23, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, hari ini.

Mereka yang maut ialah Minah Abdullah, 64, dari Dungun dan Mohammad Wahyuddin Yahya, 23, dari Kuala Terengganu, manakala yang cedera ialah anak dan cucu Minah iaitu Norzura A. Manan, 30, dan Muhammad Wafiy Zakwan Sabaruddin, 3.

Mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Kemalangan pada jam 12.20 tengah hari itu dikatakan berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Mohammad Wahyuddin gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkannya bertembung dengan kereta Honda Jazz yang dinaiki keluarga berkenaan.


Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahya ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan