Jumaat, 8 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Najib dipuji senaraikan FELDA

Posted: 08 Jun 2012 05:10 PM PDT

Nasional

Pengarah syarikat industri makanan India anggap kejayaan luar biasa

MUMBAI: "Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) adalah satu kisah kejayaan luar biasa. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak perlu diucapkan tahniah atas ketabahan dan kesungguhan beliau dalam memacunya.

"FELDA melakukannya dalam tempoh 20 hingga 30 tahun berbanding penjajah yang perlu ambil 200 tahun untuk melakukannya," kata Dorab Mistry, Pengarah Godrej International Ltd, India, iaitu syarikat yang terbabit dalam pengeluaran pelbagai bahan asas makanan dan industri. Beliau berkata, kisah kejayaan FELDA yang luar biasa bukan saja dari segi pertanian, malah memperkasakan dan memakmurkan kawasan luar.

"Sudah tiba masanya kejayaan ini disenaraikan supaya orang lain boleh mengambil bahagian, terutama penanam sawit," katanya ketika ditemui pada Seminar dan Pameran Sawit Malaysia-India 2012 di sini, semalam.

Dorab berkata penyenaraian FELDA juga akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan untuk memberi respons kepada rejim cukai eksport minyak sawit mentah Indonesia.

Pada masa ini, Indonesia mengenakan duti eksport 19.5 peratus terhadap minyak sawit mentah, manakala duti eksport Malaysia 30 peratus selepas had bebas cukai sebanyak 3.6 juta tan, meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kurang kelebihan.
Dorab berkata harga saham FELDA akan menjadi kukuh ketika pengeluaran minyak sawit mentah merosot selepas pengeluaran yang lebih rendah biasanya menolak harga minyak sawit mentah.

Beliau berkata apabila pengeluaran dikurangkan, saham akan diterima dengan harga yang lebih kukuh apabila disenaraikan. – BERNAMA


PTPTN tarik balik penangguhan

Posted: 08 Jun 2012 05:09 PM PDT

Nasional

UNISEL rayu pembiayaan, akui tak sedia beri pendidikan percuma

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik balik penangguhan pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL) selepas menerima rayuan pengurusan universiti berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata surat rayuan kepada beliau itu antara lain memaklumkan UNISEL yang dimiliki kerajaan Selangor masih memerlukan PTPTN dan belum bersedia memperkenalkan pendidikan percuma untuk pelajarnya. "Selepas meneliti surat rayuan Naib Canselornya dan selain menimbang nasib pelajar, penangguhan pembiayaan ditarik balik," katanya semalam.

Mohamed Khaled juga menjelaskan penangguhan pembiayaan PTPTN hanya bersifat sementara kerana PTPTN memerlukan masa untuk mengkaji implikasi berhubung cadangan dan gesaan memperkenalkan pendidikan percuma.

Sebelum ini PTPTN menangguhkan sementara pinjaman kepada pelajar UNISEL selepas beranggapan universiti yang dimiliki Kerajaan Selangor seperti UNISEL dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bersedia serta komited untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar, sekali gus menolak pinjaman PTPTN.

Sementara itu Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohd Said, berkata penarikan balik dibuat selepas mengambil kira kesan terhadap pelajar yang terpaksa berdepan masalah kewangan jika gagal mendapatkan pinjaman.
"Saya menerima panggilan telefon daripada ibu bapa yang merayu pinjaman diteruskan kerana akan ada pelajar terpaksa menamatkan pengajian atau melakukan kerja sambilan kerana ketiadaan pembiayaan.

"Justeru, kami bersimpati nasib mereka dan mengambil keputusan untuk menarik balik penangguhan ini bagi membolehkan pelajar meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah kewangan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau juga berkata, tindakan itu memberi peluang kepada kerajaan pakatan pembangkang membuktikan kemampuan memberikan pendidikan percuma.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan