Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kedegilan peniaga sukarkan kajian

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

Penjaja serta peniaga di Jalan Jonker Walk, Melaka terus berniaga di atas jalan raya walaupun kerajaan negeri ingin membuka laluan trafik untuk kenderaan di kawasan berkenaan.

JASIN 30 Jun - Kerajaan negeri akan mengenakan tindakan undang-undang sebagai langkah terakhir kepada peniaga atau mana-mana pihak yang masih berdegil dalam isu membenarkan jalan di sekitar Jonker Walk dibuka untuk laluan kenderaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Pembangunan Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, kerajaan negeri mengalami kesukaran untuk membuat kajian mengenai perkara itu disebabkan kedegilan peniaga dan campur tangan sesetengah pihak.

Menurutnya, kajian yang dilakukan bagi tempoh empat minggu itu adalah untuk memastikan sama ada laluan-laluan yang ditutup benar-benar menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekitar Jonker walk atau tidak.

"Sekali lagi saya tegaskan kepada peniaga bahawa aktiviti perniagaan di jalan-jalan sekitar kawasan itu masih boleh dilakukan di kaki-kaki lima, cuma jalan-jalan di sekitarnya perlu diberi ruang untuk membolehkan kenderaan melaluinya dan kajian mengenainya perlu dilakukan.

"Kita menghadapi kesulitan sejak semalam, mereka langsung tidak memberi ruang, jadi bagaimana kerajaan negeri nak buat kajian. Apabila keputusan kajian diperoleh kelak dan didapati jalan-jalan berkenaan tidak menyebabkan kesesakan, maka kita akan benarkan ia ditutup seperti biasa.

"Kerajaan negeri mengharapkan kerjasama daripada peniaga, jangan sampai kita gunakan undang-undang kerana biarlah tindakan undang-undang menjadi jalan terakhir diambil jika mereka masih berdegil, janganlah lakukan buat sesuatu yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis perasmian pejabat baharu Pusat Zakat Melaka cawangan Merlimau di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ghazale membidas tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeksploitasi isu pembukaan jalan di sekitar Jonker Walk dengan memainkan sentimen perkauman yang berbaur politik.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah berhasrat menutup sebarang aktiviti perniagaan di Jonker Walk seperti yang nyatakan oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan memperbesarkan isu tersebut.

Ghazale berkata, daripada kajian yang akan dilakukan itu, kerajaan negeri bercadang untuk membuat laluan berbumbung di kiri dan kanan jalan empat lorong di kawasan sekitar Jonker Walk bagi memudahkan aktiviti perniagaan dilakukan.

PZM sasar kutipan RM43.37 juta tahun ini

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Idris Haron (duduk, kiri) bertanyakan sesuatu kepada pegawai di Pusat Zakat Melaka cawangan Merlimau sambil diperhatikan oleh Ismail Hasim (berdiri dua dari kiri) selepas majlis perasmian pusat itu, kelmarin.

JASIN 30 Jun - Pusat Zakat Melaka (PZM) menyasarkan kutipan zakat harta sehingga RM43.37 juta dengan jumlah pembayar seramai 40,220 orang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kutipan memberangsangkan sebanyak RM40.22 juta melibatkan seramai 30,061 orang pembayar sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, perpindahan pusat zakat cawangan Merlimau di Taman Debunga di sini dijangka akan turut menyumbang kepada sasaran peningkatan itu.

"Kutipan zakat harta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu sehingga 26 Jun lalu oleh Pusat Zakat Merlimau adalah sebanyak RM480,717.50 berbanding hanya RM436,775.30 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Jumlah tersebut meningkat sebanyak 10.6 peratus atau RM43,942.20 dengan jumlah pembayar juga meningkat daripada 461 orang pada tahun lalu kepada 482 orang bagi tempoh tersebut tahun ini," katanya yang juga Ketua Menteri ketika berucap dan merasmikan bangunan baharu Pusat Zakat Merlimau di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar PZM, Ismail Hasim.

Idris berkata, sejumlah lebih RM500,000 diperuntukkan bagi urusan perpindahan itu melibatkan RM368,000 untuk kos belian bangunan dua tingkat itu dan RM140,370 bagi kos ubah suai.

Katanya, perpindahan lokasi Pusat Zakat Merlimau adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pembayar-pembayar zakat kerana kawasan itu terletak di kawasan perniagaan dan perhentian bas.

Aktiviti Rakan Muda terap nilai kemanusiaan kepada peserta

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Sebahagian daripada ahli Rakan Muda UUM Kedah bersama penduduk sebelum memulakan program gotong-royong program Rakan Muda Wawasan Desa Teroka Warisan Dunia di Kampung Seri Mendapat, Lembah Kesang, Merlimau, Melaka, semalam.

JASIN 30 Jun - Pengalaman menjalani kehidupan bersama masyarakat kampung selama empat hari bermula semalam menerusi program Bakti Siswa di Kampung Seri Mendapat, Lembah Kesang, Merlimau di sini pasti tidak akan dilupakan oleh 22 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah Program Sekretariat Rakan Muda UUM, Nurhidayah Ashyqin Mohd. Azman, 22, berkata, program tersebut merupakan program wajib universiti itu bagi membolehkan golongan pelajar mempelajari nilai kemanusiaan bersama masyarakat desa.

"Sebenarnya program ini telah dibuat di seluruh negeri namun inilah kali pertama kami berpeluang bertemu masyarakat desa di Melaka.

"Impak positif daripada program ini yang kami lihat ialah kami dapat sama-sama merasai bagaimana susah senang kehidupan masyarakat desa di sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Nurhidayah Ashyqin, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu termasuk gotong-royong, sukaneka dan malam kebudayaan bersama penduduk di kampung itu.

Turut diadakan ialah ceramah motivasi untuk pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan lawatan industri.

Katanya, majlis penutup program itu dijangka dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan