Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Percepat proses pembangunan

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Naharuddin Abdullah (kiri) menyampaikan taklimat kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Periok, Kampung Baru dalam Taklimat Khas Pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 30 Jun - Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan meneruskan usaha memberi penjelasan mengenai pembangunan Kampung Baru kepada pemilik dan pewaris tanah dengan turun padang ke enam buah lagi kampung terlibat selepas Ramadan ini.

Pengerusinya, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, usaha ini sebagai mempercepatkan lagi proses pembangunan Kampung Baru.

Menurutnya, pemilik dan waris tanah akan diberi taklimat mengenai pembangunan hartanah merangkumi aspek perancangan pembangunan dan penyelesaian isu tanah, skim insentif pembangunan yang bakal dinikmati serta inisiatif pembangunan semula Kampung Baru.

"Menerusi sesi tersebut diharap pemilik dan waris tanah yang hadir dapat benar-benar memahami perancangan perbadanan memajukan kawasan itu.

"Ini kerana masih ada antara pemilik dan pewaris tanah yang keliru dan kurang jelas mengenai usaha ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sesi Taklimat Kepada Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Periok, Kampung Baru,di sini hari ini.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif PPKB, Naharudin Abdullah serta kira-kira 400 pemilik tanah dan waris Kampung Periok.

Astaman menambah, pembanguan Kampung Baru adalah usaha kerajaan dengan matlamat memastikan pemilik tanah dan waris mendapat faedah optimum hasil daripada imej baharu setanding dengan kawasan sekitar yang sedia maju.

"Dengan suasana pembangunannya yang sesak dan tidak teratur menyebabkan kawasan ini mewujudkan persekitaran tidak kondusif," ujarnya.

Mengulas lanjut, Astaman berkata, kedudukan strategik Kampung Baru yang dikelilingi pembangunan mega berprofil tinggi seperti Menara Kuala Lumpur, KLCC dan Taman Tasik Titiwangsa menjadikan ia sangat berpotensi dalam menawarkan premis perniagaan serta ruang kediaman yang lebih komprehensif dan moden.

"Kampung Baru juga berpotensi menawarkan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memandangkan kedudukannya berhampiran dengan KLCC dan Menara Kuala Lumpur yang merupakan antara bandar siber di Lembah Klang.

"Selain itu, kedudukannya yang dikelilingi oleh institusi pengajian tinggi mampu melonjakkan kawasan ini untuk muncul sebagai hub pendidikan dalam negeri dan antarabangsa yang tersohor," katanya.

Tambahnya, antara aspek yang diberi fokus untuk membangunkan Kampung Baru termasuklah dari segi ekonomi, struktur, persekitaran, imej dan urus tadbir.

Pengusaha loji simen perlu patuhi peraturan

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kesemua pengusaha loji simen diarahkan mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan dalam menangani isu tumpahan simen konkrit di jalan raya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya memberi tempoh tertentu bagi pihak berkenaan mengemukakan permohonan tersebut dan jika didapati ingkar, loji-loji terbabit akan diarahkan ditutup.

"Terdapat loji-loji yang tidak mendapat kelulusan daripada DBKL jadi kita akan bagi peluang dan tempoh kepada mereka untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk di Menara Kuala Lumpur di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Menara Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Halim Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini yang meminta DBKL mengadakan perjumpaan dengan pengusaha lori simen dan syarikat pembekal konkrit siap tuang (ready mix concrete) bagi menyelesaikan masalah tumpahan simen konkrit yang merosakkan jalan raya di ibu negara.

Ahmad Phesal menambah, pengusaha loji simen juga perlu diberi peluang untuk beroperasi berikutan pembangunan di ibu kota semakin hari bertambah pesat selain memenuhi keperluan permintaan simen konkrit yang tinggi.

"Kita memberi peluang kepada mereka untuk membuat permohonan secara rasmi terutama melibatkan operasi loji di Jalan Chan Sow Lin, Cheras.

"Di situ, lebih daripada 11 loji yang beroperasi dan kita mahu mereka diberikan permit tetapi mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan,"jelasnya.

Katanya, spesifikasi lori pengangkut simen juga perlu dikaji berikutan takungan yang menampung tumpahan simen itu berkemungkinan tidak cukup besar.

"Melalui perbincangan di peringkat DBKL, kita akan memanggil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi cadangan membenarkan takungan itu dibesarkan,"katanya.

Beri tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

SHAH ALAM 30 Jun - Kerajaan negeri diingatkan supaya tidak membazirkan masa membincangkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan pembangunan negeri dan rakyat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Isnin ini.

Peringatan itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd. Shamsudin Lias selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Pertama DUN Selangor Ke-13, Jumaat lalu.

Menurutnya, ketika istiadat tersebut, Sultan Selangor telah menitahkan semua pihak di negeri ini menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan undang-undang negara serta akur dengan setiap peruntukan yang termaktub dalam undang-undang berkenaan.

"Titah baginda itu dilihat sebagai satu ingatan kepada semua pihak supaya tidak memanipulasi peruntukan undang-undang yang ada untuk kepentingan peribadi serta politik masing-masing apatah lagi untuk mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Seharusnya apabila DUN Selangor mula bersidang, isu Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lagi dibangkitkan kerana perkara itu sudah berlalu. Di Selangor sendiri Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sudah menang dengan selesa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Selangor yang mahu semua pihak khususnya rakyat di negeri ini menghormati dan akur sepenuhnya peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan undang-undang negara.

Malah, baginda turut mengingatkan supaya jangan ada pihak yang menyalah tafsir peruntukan undang-undang tersebut ke arah kepentingan dan manfaat sesuatu golongan tertentu sahaja.

Mohd. Shamsudin berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan kepada cara untuk menyelesaikan kesulitan yang dihadapi rakyat seperti penurunan rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air yang dilaporkan berada pada tahap yang sangat membimbangkan ketika ini dan antara kawasan yang dijangka terjejas teruk ialah Hulu Langat, Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam dan Gombak.

"Jika keadaan ini berterusan sudah tentu akan memberi kesan buruk kepada rakyat yang terpaksa berhadapan dengan risiko gangguan bekalan air atau kemungkinan bekalan tersebut terpaksa dicatu.

"Jadi kerajaan negeri perlu berbuat sesuatu untuk menangani masalah ini bukannya memikirkan soal politik semata-mata selain tak sudah-sudah mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Saya melihat mekanisme penyelesaian masalah ini telah dibuat oleh Kerajaan Pusat seperti menyiapkan Loji Rawatan Air Langat 2. Namun, sebelum ini kerajaan negeri menghalang ia diteruskan. Sepatutnya mereka perlu bersama-sama berusaha memastikan projek ini diteruskan untuk kepentingan awam," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan