Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Bantu cegah curi meter air

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

GEORGE TOWN 30 Jun - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) yang merekodkan lebih 1,000 kes kecurian meter air dalam tempoh enam bulan tahun ini, akan meminta bantuan polis dalam bagi membendung kejadian itu.

Pengurus Besarnya, Ir Jaseni Maidinsa kelmarin berkata, PBAPP akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan polis, pada 9 Julai bagi mengatasi masalah itu.

Menjelas lanjut kecurian meter air itu, beliau berkata Seberang Perai Tengah merupakan lokasi panas membabitkan 844 kes kecurian meter air.

"Apabila sebuah meter dicuri, kita kehilangan kira-kira RM100 dari segi kos meter, kehilangan air dan kos pembaikan. Kecurian itu merupakan beban bukan sahaja kepada kita, tetapi juga pelanggan kerana kami mempunyai lebih 500,000 pengguna di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau menggesa orang ramai supaya melaporkan kecurian meter air menerusi pusat panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-5096509.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, gangguan bekalan yang berlaku dari 19 hingga 25 Jun lepas di Taman Gamelan Indah, Sungai Bakap telah pulih dua hari lepas.

Katanya, PBAPP akan reka bentuk semula sistem penyeliratan dalaman pada semua unit flat di kawasan berkenaan bagi memastikan tekanan mencukupi, di masa depan.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat sehingga 70 peratus daripada 180 unit di situ dihuni kira-kira 1,000 pekerja asing, malah terdapt unit dihuni 13 orang.

Katanya, sistem penyeliratan dalaman sedia ada di unit berkenaan tidak direka untuk menampung permintaan air yang begitu tinggi.

"Sebab lain berlaku gangguan bekalan air itu, kerana stesen pam kami di Bukit Minyak yang mengepam air ke selatan beroperasi dalam prestasi rendah berikutan permintaan tinggi," katanya. - BERNAMA

7,000 hadir majlis kesyukuran BN Jerlun

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

JERLUN 30 Jun - Kira-kira 7,000 penduduk hadir dalam majlis jamuan kesyukuran sempena kemenangan Datuk Othman Aziz di kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berlangsung di Kompleks Sarang Burung di sini semalam.

Pada majlis itu, sebuah pusat khidmat di Parlimen tersebut turut dibuka secara rasmi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyampaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

Perasmian pusat khidmat berkenaan disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hasan Sarif sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Othman berkata, penganjuran majlis itu antara lain sebagai tanda terima kasih penduduk di Parlimen itu yang memilih beliau sebagai wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat.

Katanya, beliau menyembelih empat ekor lembu selain menyediakan pelbagai hidangan lain untuk majlis itu yang bermula pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

Beliau berkata, program berkenaan juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan baik pemimpin serta anggota masyarakat setempat.

"Insya-Allah saya akan membalas kepercayaan pengundi dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum. Ini azam saya," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Dalam pada itu Othman berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) menawan semula Parlimen Jerlun membolehkan pelbagai perubahan dilakukan bagi membangunkan kawasan berkenaan setanding dengan daerah maju lain di negeri ini.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan berkenaan ialah jentera BN bahagian Jerlun di semua peringkat melakukan persiapan awal dan bergiat cergas selain statusnya sebagai anak tempatan membolehkan pengundi menerima baik pencalonannya selain penerimaan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, beliau berkata, pembukaannya bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan pejabat beliau.

"Sebagai wakil rakyat yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat, saya berpegang kepada prinsip dan pendekatan mesra rakyat. Pembukaan pusat khidmat ini diharap memberi manfaat kepada semua pihak di kawasan ini," katanya.

Badan berkanun boleh bantu lahir atlet berkualiti - Raja Muda Perlis

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menandatangani plak Pemasyhuran Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail sambil diperhatikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) di Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Persatuan Badan-Badan Berkanun (SUKANUN) Malaysia Ke-8 di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, Universiti Malaysia Perlis (UniMaP) Pauh, kelmarin. Turut hadir Prof. Dr. Kamaruddin Hussin (kiri).

ARAU 30 Jun - Agensi tertentu termasuk badan-badan berkanun boleh membantu negara melahirkan atlet bertaraf juara di peringkat Asia Tenggara atau Asia sekiranya memberi penekanan terhadap beberapa aspek termasuk pemberian insentif, kejurulatihan, prasarana dan penganjuran sukan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sekiranya aspek tersebut boleh dilakukan oleh agensi terbabit, tidak mustahil hasrat tersebut dapat dijayakan.

"Bayangkan sekiranya setiap agensi memiliki sekurang-kurangnya seorang ahli sukan bertaraf Asia Tenggara atau Asia, secara tidak langsung ia mengharumkan nama negara.

"Ia tidak mustahil dapat dilakukan jika agensi terbabit berikhtiar memberi insentif bersesuaian kepada atlet dan jurulatih sebagai motivasi, mengambil jurulatih bijak, berdedikasi dan berpengalaman atau menghantar jurulatih sedia ada untuk menimba pengalaman ke tahap paling tinggi, menaik taraf prasarana sukan sedia ada termasuk di luar bandar dan menganjurkan lebih banyak kejohanan di segenap peringkat untuk mencari bakat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sukan Badan-Badan Berkanun (Sukanan) Ke-8 dan Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra-Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induk universiti berkenaan di Pauh Putra di sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Selain itu titah baginda, penyertaan atlet dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan lebih kerap untuk mendapatkan pendedahan cukup penting dalam menjayakan matlamat tersebut.

"Penyertaan secara berterusan dapat membentuk persefahaman mantap yang tidak boleh didapati dalam waktu singkat atau ketika latihan menjelang saat-saat akhir sesuatu kejohanan," tegas baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dengan lahirnya lebih banyak ahli sukan bertaraf tinggi, secara tidak langsung mutu sukan negara pasti menunjukkan peningkatan.

"Sekali gus negara kita Malaysia akan lebih dikenali dan digeruni dalam bidang sukan seterusnya semangat patriotisme rakyat terhadap negara secara automatik akan semakin terserlah," titah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan