Isnin, 12 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


6,000 sertai Komuniti 1Malaysia PMS

Posted:

6,000 sertai Komuniti 1Malaysia PMS

6,000 sertai Komuniti 1Malaysia PMS

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


Dr. Rais Yatim menurunkan tandatangan pada belon besar sebagai tanda perasmian Program Komuniti 1Malaysia PMS sambil diperhatikan oleh Adnan Abdullah (kiri) di Sungai Petani,


SUNGAI PETANI 11 Mac – Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) merupakan acara di bawah seliaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan dilaksanakan sebaik sahaja Kabinet memutuskannya pada 26 Januari 2005.

Sejak itu, usaha memartabatkan seni budaya dan warisan negara terus dipergiatkan dengan harapan ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Acara terbabit diperluaskan ke setiap kawasan Parlimen dengan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum. Menerusi PMS juga, unsur seni dan budaya masyarakat dapat diketengahkan dan diterima baik oleh khalayak.

Kini, program tersebut ditambah baik menerusi pengisian dan gabungan bersepadu semua pihak selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu dapat dilihat menerusi penganjuran PMS secara besar-besaran di padang bersebelahan Pasar Raya Besar Giant, Jalan Lencongan Barat, di sini kelmarin.

Bertemakan 'Senyum dan Ucap Terima Kasih', acara yang dikenali sebagai Program Komuniti 1Malaysia PMS itu berjaya menarik kehadiran lebih 6,000 penduduk sekitar Sungai Petani, Merbok, Baling, Sik, Pendang dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Lebih membanggakan, keadaan hujan agak lebat dan tidak mematahkan semangat orang ramai untuk hadir menyaksikan acara seni budaya yang dipersembahkan sempena program itu.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Seni Warisan 1Malaysia, Adnan Abdullah Sabil yang merupakan penganjur bersama berkata, program itu merupakan manifestasi semangat perpaduan yang terjalin antara masyarakat pelbagai kaum di negeri Kedah khususnya kawasan Sungai Petani.

"Penganjuran program ini bertitik-tolak daripada kejayaan kita menghimpunkan lebih 100 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan kaum Melayu, Cina, India dan Siam menerusi satu gabungan tidak lama dulu.

"Kini semua pihak bersatu hati bersama-sama dengan kementerian menjayakan PMS dan ia memberikan gambaran bahawa Gagasan 1Malaysia semakin hari diterima baik oleh masyarakat berbilang kaum," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia pada acara tersebut mendapati, masyarakat pelbagai kaum yang hadir begitu gembira dengan penganjuran berkenaan.

Pelbagai acara disediakan termasuk persembahan kumpulan gendang melibatkan 60 orang daripada kaum Melayu, Cina, India dan Siam serta 100 lagi peserta Komuniti 1Malaysia.

Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan, tarian dan manifestasi adat persandingan kaum.

Bagi pasangan Melayu misalnya, jemputan kenamaan dan orang ramai akan melakukan upacara merenjis sementara pasangan mempelai Cina pula mempersembahkan adat minum teh.

Sementara pengantin India, para tetamu akan mengalung bunga malai pada pasangan dan masyarakat Siam dipersembahkan dengan adat mencalit bedak sejuk serta menjirus air mawar ke atas tangan mempelai.

Di samping itu, terdapat juga pertandingan yang dianjurkan khusus untuk pengunjung iaitu pertandingan mewarna kanak-kanak, dam aji gergasi, tarik tali, demonstrasi permainan batu seremban, congkak, sepak bulu ayam dan sepak raga tuju.

Kesemua acara yang disediakan itu bukan sekadar menghiburkan tetapi turut bermatlamat menyemarakkan lagi aktiviti seni agar ia terus dihayati serta diamalkan masyarakat.

Justeru, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika merasmikan program itu menegaskan, ia adalah platform terbaik bagi mendedahkan kepada masyarakat umum tentang kepentingan memelihara seni dan budaya rakyat negara ini.

"Program PMS digandingkan dengan aspirasi Gagasan 1Malaysia. Saya dapati gabungannya yang melibatkan masyarakat pelbagai suku kaum sangat berkesan.

"Lebih penting lagi, Gasasan 1Malaysia dan transformasi yang dibawa Perdana Menteri kini didapati makin tersemat di hati segenap lapisan masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, kementerian akan meneruskan lagi program seumpama itu dan berharap ia boleh diperluaskan ke semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Lima keluarga enggan berpindah

Posted:

Lima keluarga enggan berpindah

Lima keluarga enggan berpindah

Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my


Sebahagian penduduk membantah tindakan pemaju merobohkan lima rumah keluarga Tionghua di Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang kelmarin.


BUTTERWORTH 11 Mac - Kerja-kerja merobohkan lima rumah keluarga Tionghua yang mendiami Kampung Benggali di sini hari ini gagal disempurnakan pihak berkuasa ekoran mendapat bantahan penduduk.

Mereka enggan berpindah walaupun notis yang meminta pengosongan rumah yang dikeluarkan sebulan lalu oleh Mahkamah Butterworth ditunjukkan kepada lima keluarga terbabit.

Keengganan mereka berpindah kerana pemaju tidak memenuhi permintaan untuk menanggung kos pengangkutan mereka sebelum berpindah.

Sebelum ini, 25 keluarga lain yang mendiami kampung itu telah berpindah selepas pemaju menyelesaikan pampasan dengan membenarkan pihak berkuasa merobohkan rumah masing-masing.

Kawasan rumah yang bakal dirobohkan itu akan dimajukan dengan projek perumahan.

Seorang penduduk, Lim Khoo Ean, 53, berkata, sebelum ini pemaju berjanji membayar kos pengangkutan membuatkan mereka bersetuju berpindah.

"Kami semua tertipu apabila pemaju hanya membayar wang pampasan sahaja dan tidak menunaikan janji untuk menanggung kos pengangkutan.

"Kami tidak berniat hendak melawan perintah mahkamah, tetapi sepatutnya pemaju menunaikan janji mereka kerana kos yang dikenakan syarikat pengangkutan untuk membawa barang berpindah mencecah hampir RM3,000," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Phuah Siew Hoon, 80, berkata, dia menetap lebih 20 tahun di atas tanah ini dan hanya sedia berpindah sekiranya pemaju menjelaskan bayaran itu.

Katanya, mereka menerima duit pampasan daripada pemaju tetapi mereka tidak mengotakan janji untuk membayar kos pengangkutan sebelum mereka bersetuju berpindah.

"Jika kami berpindah sekarang, pemaju akan lepas tangan dan tidak menunaikan janji mereka," katanya.

Komuniti 1Malaysia bantu mangsa ribut

Posted:

Komuniti 1Malaysia bantu mangsa ribut

Komuniti 1Malaysia bantu mangsa ribut


Shah Headan Ayoob Shah (kiri) bertanya khabar kepada mangsa ribut selepas menyampaikan bantuan di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang, Pulau Pinang, baru-baru ini.


TELUK BAHANG 11 Mac - Sebanyak 74 keluarga dari beberapa kampung di sini yang menjadi mangsa ribut baru-baru ini mendapat perhatian Komuniti 1Malaysia.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut tampil menghulurkan bantuan keperluan asas makanan kepada penduduk yang terlibat dalam bencana itu.

Yang Dipertua Komuniti 1Malaysia Daerah Barat Daya, Shah Headan Ayoob Shah berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mereka.

"Ada beberapa pihak datang memberi bantuan kepada penduduk sebelum ini.

"Justeru, hari ini kami menyumbang dalam bentuk keperluan asas bagi meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Awak, di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, pihaknya juga akan menyalurkan keperluan asas lain seperti tilam dan bantal.

Seorang mangsa, Che Sum Saurmydin, 54, memberitahu, sebahagian bumbung rumahnya rosak dalam kejadian tersebut.

Selain itu, jelasnya, beberapa barangan seperti perkakas elektrik dan perabot miliknya turut rosak.

Seorang lagi mangsa, Ismail Mohamad, 64, melahirkan kesyukuran dengan sumbangan yang dihulurkan Komuniti 1Malaysia.

Menurutnya, bantuan seperti itu amat bermakna kepadanya memandangkan banyak wang perlu digunakan bagi menggantikan barangan yang rosak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan