Ahad, 11 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Banjir di Sg. Kerawai, Selat Menggis

Posted:

Banjir di Sg. Kerawai, Selat Menggis

Banjir di Sg. Kerawai, Selat Menggis

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanutara@utusan.com.my


SEBAHAGIAN 350 penduduk di Kampung Sungai Kerawai dan Kampung Selat Menggis di sini terjejas selepas rumah mereka dinaiki air hingga ke paras pinggang malam tadi. - MINGGUAN/AINSAFRE BIDIN


TELUK INTAN 10 Mac- Lebih 350 penduduk di Kampung Sungai Kerawai dan Kampung Selat Menggis di sini terjejas selepas rumah mereka dinaiki air hingga ke paras pinggang malam tadi.

Menurut penduduk, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di dua kampung tersebut sejak 40 tahun lalu.

Seorang penduduk, Mat Manin Sawidin, 68, berkata, air mula naik sejak pukul 8 malam tadi ketika keluarganya sedang sibuk membuat persiapan untuk kenduri cukur jambul cucunya pada hari ini.

"Tiba-tiba saya terdengar deruan yang kuat dan dalam sekelip mata sahaja, air deras dari sungai berdekatan melimpah masuk ke dalam rumah.

"Habis barang-barang persiapan kenduri rosak akibat ditenggelami air dan kami terpaksa membeli barang yang baru hari ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mat Sanin, lebih membimbangkan apabila air banjir itu turut menghanyutkan seekor ular berbisa ke dalam rumahnya.

"Semasa sedang mengemaskan bilik tidur, saya terjumpa seekor ular besar. Saya cuba membunuhnya tetapi ular itu berjaya melarikan diri.

"Kami berharap ada petugas dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) datang membantu kerana tiada seorang pun datang sejak banjir melanda kampung kami malam tadi," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mat Nawi Ahmad, 66, berkata, banjir itu menyebabkan dia kerugian besar kerana ternakan kambing, lembu dan ayamnya dihanyutkan air deras.

"Hujan yang lebat sejak malam tadi menyebabkan air bertakung kerana air Sungai Batang Padang dan Sungai Tukang Sidin sudah penuh dan melimpah," ujarnya.

Sehingga tengah hari ini, banjir di dua kampung terbabit masih belum surut sepenuhnya dan penduduk sibuk membersihkan rumah yang dimasuki air.

Musa selar Guan Eng hina Presiden CAP

Posted:

Musa selar Guan Eng hina Presiden CAP

Musa selar Guan Eng hina Presiden CAP

PULAU PINANG 10 Mac - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) membidas Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang seolah-olah menyifatkan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris sebagai orang tua nyanyuk.

Menurutnya, Guan Eng tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian kerana ia merupakan satu penghinaan.

Beliau menambah, ketika S.M. Mohamed mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, Guan Eng tidak pernah membantah sebaliknya menyokong Presiden CAP itu.

"Dulu masa CAP tegur BN, dia (Guan Eng) sokong, tapi hari ini bila CAP komen pasal dia, dia kata S.M. Mohamed sebagai orang tua yang pelupa. Ini satu penghinaan.

"Dia patut cermin diri dulu. Hari ini, dia pula yang melatah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, S.M Mohamed yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tidak menyediakan maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, masalah kurangnya rundingan awam tidak sepatutnya berlaku kerana projek bernilai berbilion ringgit itu membabitkan dana umum dan berkait rapat dengan hak rakyat.

Bagaimanapun, kritikan CAP itu disangkal Guan Eng dengan mendakwa ia bukan pertama kali S.M. Mohamed membuat kesilapan sedemikian.

Guan Eng menjelaskan, beliau tidak mahu mengungkit kesilapan lalu memandangkan S.M. Mohamed sudah tua dan merupakan tokoh disegani.

Tawan semula Sanglang, Simpang Empat - Md. Isa

Posted:

Tawan semula Sanglang, Simpang Empat - Md. Isa

Tawan semula Sanglang, Simpang Empat - Md. Isa

KANGAR 10 Mac - UMNO Perlis perlu menawan kembali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sanglang dan Simpang Empat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti supaya dapat mencatat kemenangan mutlak di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, untuk tujuan itu jentera parti perlu digerakkan dari sekarang agar kedua-dua kerusi itu kembali menjadi milik UMNO.

"Jangan biarkan dua kawasan ini terus menjadi milik pembangkang. Selain itu, pastikan juga 13 DUN lagi terus kekal di bawah Barisan Nasional (BN)," katanya pada majlis penyerahan kenderaan UMNO kepada tiga kawasan Parlimen di Perlis di Kompleks Dewan Warisan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Md. Isa menerima replika kunci van daripada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Tiga van 'Skuad Penyayang' milik Badan Perhubungan UMNO Perlis itu adalah untuk kegunaan Wanita UMNO di tiga kawasan Parlimen di Perlis iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.

Md. Isa berkata, kenderaan itu akan membolehkan ahli-ahli Wanita UMNO lebih mudah bergerak untuk menyampaikan wadah kerajaan.

"Kita faham kesukaran mereka sebab tidak mempunyai kenderaan. Selepas ini Wanita UMNO boleh bergerak lebih mudah khususnya untuk masuk ke kampung-kampung," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan