Ahad, 11 Mac 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Siri jelajah kumpul idea penambahbaikan sistem pendidikan: Muhyiddin

Posted: 11 Mar 2012 03:07 AM PDT

Mutakhir

ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran akan mengadakan siri jelajah bagi mengumpul idea dan cadangan berhubung penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Untuk itu, katanya, kementerian akan berdialog dengan semua pihak yang berkaitan dalam bidang pendidikan seperti guru, alumni, PIBG serta ibu bapa, dan mereka dialu-alukan memberi pandangan.

"Antara perkara yang agak utama yang kita akan tumpukan ialah bagaimana peranan masyarakat untuk mendokong institusi pendidikan kita. "Sebab itulah usaha yang kita adakan pada hari ini (golf amal) ialah satu inisiatif dengan sumbangan ibu bapa dan alumni, maka sekolah kita akan mencapai kejayaan yang lebih tinggi lagi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berucap pada majlis Golf Amal 1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar yang diadakan di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Muhyiddin berkata, penambahbaikan sistem pendidikan negara bukan kerana sistem sedia ada tidak berkualiti, tetapi ia bertujuan menjadikan masa depan negara lebih terjamin dengan melahirkan modal insan berkualiti.
Majlis amal golf itu bagi mengutip dana untuk pembelian sebuah bas bagi kegunaan sekolah tersebut.

Muhyiddin adalah alumni sekolah berkenaan. - BERNAMA

Pilih kerajaan yang mampu urus tadbir negara: Najib

Posted: 11 Mar 2012 03:01 AM PDT

Mutakhir

PEKAN: Rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang dilihat mampu untuk mengurus tadbir negara dengan cekap demi kelangsungan kesejahteraan dan kemakmuran, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, memilih sebuah kerajaan yang mampu mengurus tadbir negara adalah penting kerana rakyat pada akhirnya juga yang akan menerima manfaatnya.

"(Memilih kerajaan) Bukan setakat pandai bersyarah sahaja atau gantung 'bulan' paling tinggi, tetapi kelebihan urus tadbir negara dan agensi, baru boleh jana kekayaan, bila dah berjaya, wajib bantu rakyat dan orang ramai," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Vitamin 1Malaysia dan penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2012 di Dataran Pekan di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Program Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Dr Shamsul Anuar Sulaiman.

Najib berkata, ungkapan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan perlu diterjemahkan dalam bentuk realiti supaya boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat.

"Kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi dan kerajaan serta pentadbiran yang berasaskan kepada KPI (indeks prestasi utama) maka kita berjaya merangsang dan memacu ekonomi yang baik iaitu pada kadar pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu perlu dilihat sebagai satu pencapaian yang amat baik ketika negara dan dunia berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Kita juga telah dapat mengembangkan ekonomi sebanyak RM1.3 trilion pada tahun lepas, satu rekod yang belum pernah dicapai sebelum ini, juga pelaburan tambahan sebanyak RM1.5 bilion," katanya.

Perdana Menteri berkata, kesan tadbir urus yang cekap juga membolehkan pelbagai agensi kerajaan mendapat keuntungan sekaligus dapat mengagihkan keuntungan kepada rakyat yang memerlukan.

"Contohnya 1MDB, bila dapat untung kita bentuk yayasan dan kita bagi pada rakyat yang memerlukan bantuan, seperti nelayan, kita bagi bantuan menerusi program Ihsan Samudera.

"Belum pernah dalam sejarah kita bagi pelbagai bantuan seperti yang rakyat dapat dalam sebulan dua ini macam bantuan RM100 untuk pelajar sekolah, baucar buku RM200 dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), malah ada yang kata seumur hidup tak pernah pegang lima keping duit RM100.

"Justeru, ingatlah kerajaan ini untuk rakyat dan yang berbudi kepada rakyat dan kita tahu bila rakyat akan balas balik budi kepada kita," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan bantuan vitamin kepada 7,321 sekolah seluruh negara yang melibatkan 516,472 pelajar sekolah rendah yang terbabit dalam program Vitamin 1Malaysia.

Sumbangan vitamin yang diberikan itu bertujuan membantu meningkatkan tumbesaran dan kesihatan supaya dapat meningkatkan kecemerlangan pencapaian akademik murid-murid. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan