Jumaat, 9 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Padang Tembak dilanda banjir

Posted:

Padang Tembak dilanda banjir

Padang Tembak dilanda banjir

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my


SALAH satu keluarga menyelamatkan harta benda selepas rumah mereka di Taman Perumahan Awam Padang Tembak, Teluk Intan dilanda banjir, kelmarin.


TELUK INTAN 8 Mac - Hujan lebat berterusan sehingga lebih empat jam menyebabkan Taman Perumahan Awam Padang Tembak di sini yang didiami kira-kira 500 penduduk, dilanda banjir kilat semalam.

Hujan sejak kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan air dari sungai berhampiran melimpah keluar manakala longkang-longkang kecil yang dibina pula tidak mampu menampung aliran air deras.

Difahamkan, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di taman perumahan berkenaan.

Seorang penduduk, Kamal Baharin, 34, berkata, dia mula menyedari rumahnya dimasuki air sehingga ke paras lutut ketika sedang menunaikan solat.

"Saya terkejut kerana tiba-tiba sahaja kaki terasa sejuk. Rupa-rupanya rumah telah dimasuki air dan kami kelam-kabut menyelamatkan harta benda untuk dibawa keluar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norbee Mohd. Sharip, 68, memberitahu, banjir kilat kerap berlaku di daerah itu kerana sistem perparitan di kawasan tersebut tidak mampu menampung jumlah penduduk yang semakin ramai.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Perbandaran Teluk Intan sepatutnya membuat persiapan banjir kerana beberapa taman perumahan di daerah ini telah dinaiki air ekoran hujan lebat beberapa hari lalu.

"Longkang-longkang sempit dan parit yang tidak didalamkan menyebabkan air melimpah keluar kerana tidak mampu lagi menampung aliran air setiap kali hujan lebat.

"Jadi, kami minta agar tindakan segera dapat diambil dengan menjalankan kerja mendalamkan parit, membesarkan longkang dan membersihkan sampah yang tersumbat dalam longkang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.

Usahawan wanita Perlok Baru

Posted:

Usahawan wanita Perlok Baru

Usahawan wanita Perlok Baru

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my


AHLI-AHLI PWPK Gabungan Kampung Guntong sentiasa memberikan sokongan padu kepada Salwa Shaari (dua dari kanan) untuk menjadi usahawan cemerlang.


TANJUNG MALIM 8 Mac - Serunding daging seperti sudah menjadi menu wajib setiap kali sambutan Aidilfitri atau Aidiladha untuk dimakan bersama ketupat atau nasi himpit.

Namun begitu, bagi penduduk Kampung Perlok Baru di Sungkai, hidangan serunding ikan bilis yang cukup sinonim dengan penduduknya, lebih menjadi hidangan pilihan pada musim perayaan.

Malah, makanan tradisional itu juga menjadi antara juadah utama pada majlis-majlis perkahwinan di kampung tersebut atau dijadikan bekalan tambahan kepada penduduk yang mahu menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Salah seorang pengusaha serunding bilis di kampung itu, Salwa Shaari, 48, memberitahu, populariti makanan tersebut mendorong ramai usahawan kecil menjadikannya sebagai punca pendapatan sama ada secara tetap atau sambilan.

"Hendak masak sendiri serunding memang agak leceh, jadi ramai yang memilih untuk membelinya," kata Salwa ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Perlok Baru di sini baru-baru ini.

Salwa memberitahu, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan serunding pada 2006, tetapi menganggapnya tidak lebih daripada aktiviti 'suka-suka' bagi mengisi masa terluang selain dapat menambah pendapatan keluarga.

Bagaimanapun, sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang terdiri daripada jiran setempat membuat Salwa lebih bersemangat melangkah lebih jauh dalam perniagaan tersebut.

Semuanya bermula apabila Salwa menyertai Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) Gabungan Kampung Guntong yang membolehkan dia dan rakan-rakan mempelajari teknik menyediakan pelbagai hidangan tradisional termasuk serunding, mee udang dan kuih-muih.

"Dengan adanya bengkel PWPK di kampung ini, saya dan rakan-rakan menjadikannya pusat latihan serta tempat memproses produk perniagaan kampung yang kami usahakan," jelasnya.

Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu mengakui, kekurangan modal serta cetek ilmu perniagaan terutamanya dalam bidang pemasaran menyebabkan dia berdepan kekangan dalam mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, skop perniagaannya pula cukup terbatas dan hanya tertumpu pada pelanggan tetap di kampung-kampung selain memenuhi permintaan pada musim perayaan atau tempahan majlis perkahwinan.

"Bukan tidak ada cita-cita untuk meluaskan pasaran, cuma saya dan rakan-rakan berdepan masalah modal selain belum cukup menguasai selok-belok pemasaran produk," katanya yang bercadang membuat pinjaman perniagaan pada masa hadapan.

Pelarasan gaji pasti dimanupulasi pembangkang

Posted:

Pelarasan gaji pasti dimanupulasi pembangkang

Pelarasan gaji pasti dimanupulasi pembangkang

TAPAH Mac - Pengumuman pelarasan gaji sehingga 13 peratus bagi penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pasti akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang kononnya ia bertujuan untuk memancing undi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, memang tidak boleh dinafikan ada pihak yang akan sentiasa melihat apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan mempunyai motif tertentu atau ada udang di sebalik batu.

"Begitu juga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mereka (pembangkang) kata ia usaha memancing undi. Perkara paling penting bagi sebuah kerajaan yang prihatin, kita bukan hanya bercakap, menabur janji atau membuat buku itu dan buku ini, tetapi kita mengotakannya.

"Paling penting, kita tahu apa yang kita lakukan merupakan satu keputusan yang responsif terhadap kehendak dan masalah-masalah yang dihadapi rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Surau Kampung Sungai Kurung, di sini hari ini.

Menurut Zambry, pengumuman itu menunjukkan Perdana Menteri amat prihatin dengan masalah dan maklum balas yang diterima daripada rakyat, khususnya dalam perkhidmatan awam.

"Dalam hal ini, meskipun di peringkat awal ia merupakan satu skim perkhidmatan yang dinyatakan sebagai transformasi yang baik bagi perkhidmatan awam negara kita, namun, apabila sampai ke peringkat pelaksanaannya, Perdana Menteri mendapat maklum balas daripada rakyat dan merasakan ia perlu diperbaiki," ujarnya.

Beliau menyifatkan pengumuman pelarasan gaji itu sangat baik dan sememangnya amat ditunggu oleh 1.3 juta kakitangan awam dengan memberikan agihan pelarasan gaji yang adil kepada semua.

Terdahulu, dalam lawatan sehari ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning, Zambry meluluskan peruntukan RM130,000 iaitu RM50,000 bagi membaik pulih Surau Kampung SMTD Sungai Lesung, menurap jalan Kampung Sungai Kurung (RM30,000) dan masing-masing RM25,000 untuk membina pagar surau dan sekolah agama rakyat di Kampung Sungai Kurung.

Beliau turut menyelesaikan masalah 80 penduduk setinggan di Kampung Kassim apabila meluluskan sebidang tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas lapan hektar untuk menempatkan penduduk terbabit dan penduduk setinggan lain di sekitar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan