Jumaat, 9 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Hutang PSH berjaya dikurangkan

Posted:

Hutang PSH berjaya dikurangkan

Hutang PSH berjaya dikurangkan

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 8 Mac - Kerajaan negeri berjaya mengurangkan jumlah tanggungan hutang Hospital Pakar Putra (PSH) daripada RM60 juta kepada RM45 juta sejak mengambil alih hospital tersebut daripada sebuah syarikat swasta pada 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md. Amin (BN-Sungai Udang) berkata, ia hasil penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri melalui Putra Specialist Hospital Sdn. Bhd.

Menurut beliau, pada 2008, hospital itu menanggung hutang sebanyak RM60,074,158 dan berkurang menjadi RM59,816,069 pada tahun berikutnya.

"Pada 2010, angka hutang ini menyusut kepada RM47,147,277 dan semakin berkurang menjadi RM45,000,000 pada 2011.

"Semua kerugian terkumpul ini dialami kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran daripada Southern Hospital pada 2004 lagi," katanya pada hari keempat Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yaakub menjawab soalan lisan daripada Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) tentang kerugian terkumpul PSH sejak 2008 dan sebab serta langkah-langkah kerajaan negeri mengatasi kerugian itu.

Menurut Yaakub, antara langkah yang dilakukan oleh kerajaan negeri melalui Putra Specialist Hospital Sdn. Bhd. adalah dengan menambah bilangan doktor pakar daripada pelbagai bidang untuk berkhidmat di hospital itu.

"Kita juga mempertingkatkan promosi pemasaran di dalam dan luar negeri selain turut menyediakan prasarana perubatan selaras dengan perkembangan teknologi terkini.

"Selain itu, PSH turut melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menganjurkan kem kesihatan bagi mempromosi dan memperkenalkan hospital ini kepada penduduk luar bandar dari semasa ke semasa," katanya.

Kuala Pilah maju di bawah BN

Posted:

Kuala Pilah maju di bawah BN

Kuala Pilah maju di bawah BN

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusann9@utusan.com.my


Pekan Kuala Pilah pesat membangun serta dikenali sebagai laulan pedagang untuk ke utara dan selatan tanah air. - utusan/Abd. Razak Aid


KUALA PILAH 8 Mac - Limpahan pembangunan yang melanda Kuala Pilah hari ini adalah hasil kerja yang baik serta komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mensejahterakan rakyat.

Sebab itulah bandar ini kini dilihat sebagai 'jelmaan' Seremban, yang di dalamnya terhimpun landskap baru telah dan sedang dilaksanakan kerajaan BN termasuklah jajaran jalan raya, perumahan rakyat, peningkatan ekonomi, peluang niaga, pemulihan tanah terbiar serta banyak lagi.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek berkata, fasa mensejahterakan rakyat itu adalah keutamaan beliau apatah lagi di bawah Parlimen ini terdapat lima Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN iaitu Juasseh (Datuk Mohammad Razi Kail), Seri Menanti (Datuk Abd. Samad Ibrahim), Senaling (Datuk Ismail Lasim), Pilah (Adnan Abu Hassan) dan Johol (Allahyarham Datuk Roslan Md. Yusof).

"Saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melaksanakan kerja untuk rakyat. Limpahan pembangunan di Kuala Pilah ini adalah hadiah untuk rakyat yang setia menyokong kerajaan BN," katanya ketika ditemui di pejabat Parlimen Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Kata Hasan, antara yang paling terkesan adalah pembinaan jalan baru Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, di mana jaraknya sejauh 6.9 kilometer dan telah dinantikan penduduk sejak 40 tahun lalu.

Pembukaan jalan berharga RM109.5 juta yang terkenal dengan nama jolokan 'Laluan Sutera' itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Lebih unik kata Hasan, perasmian diadakan di atas jambatan ketiga yang mempunyai ketinggian 48 meter dari aras laut dan kedua tertinggi di negara ini.

"Ia telah memberi peluang kepada pelabur dan orang ramai berurusan di bahagian timur Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah, Bahau dan Jempol," katanya.

Ketika ini, projek naik taraf jalan dari Bukit Putus ke Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul sedang giat dilakukan dan pembinaannya awal 53 hari daripada jadual asal.

Selain itu, dalam aspek pendidikan pula, Kulliyah Al Azhar akan dibangunkan di kawasan Ulu Bendul selepas perjanjian dilaksanakan antara Yayasan Sofa dengan Universiti Al Azhar di Istana Besar Seri Menanti selain beberapa adanya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Turut telah dinaik taraf adalah Kolej Kejururawatan Kuala Pilah dengan kos RM52.3 juta dan ia boleh menempatkan 600 pelatih di mana Januari lalu telah pun menerima kemasukan 250 pelatih.

Katanya, beberapa lagi projek sedang dilakukan iaitu membina dan menyiapkan Klinik Kesihatan dan Kuarters Johol melibatkan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM24.3 juta dan dijangka siap Jun ini.

Begitu juga projek mengubah suai dan membina Pasar Baru Kuala Pilah dengan kos sebanyak RM2.8 juta dan siap pada hujung tahun ini.

Dalam konteks pertanian pula, projek tanaman cendawan kini giat diusahakan di Pusat Pertanian Ampang Tinggi; Ulu Jempol dan Kampung Kuala Rembang Panas, manakala tanaman padi pula melibatkan 25 lokasi di daerah ini dengan keluasan tanah 554 hektar, sekali gus menjadikan ia sebagai pengeluar padi terbesar di negeri ini.

"Bagi sayur-sayuran pula, kita perhebatkan penghasilan di mukim Johol dan Kampung Parit di situ dengan melibatkan kawasan 186 hektar dan keluaran hasilnya adalah yang terbanyak di daerah ini," ujar Hasan.

Ladang rakyat di Selaru (fasa 2) pula akan dimulakan tahun ini di mana usahawan belia bumiputera diberi peluang untuk mengusahakannya dengan lima plot disediakan untuk usahawan ini dengan setiap satu plot seluas 1.4 hektar.

Hasan berkata, tumpuan kepada miskin tegar di mana pendapatan di bawah RM420 akan diteruskan dengan memberi bantuan kewangan mahupun projek di bawah program peningkatan pendapatan.

Katanya, tiga projek Azam Tani bernilai RM720,000 akan dimulakan tahun ini iaitu projek cendawan tiram (RM200,000), lembu fidlot (RM200,000) dan tapak semaian getah dan sawit (RM320,000) dengan hasil keuntungannya diberikan kepada peserta miskin daerah Kuala Pilah.

"Banyak lagi program termasuklah pelancongan, rekreasi, penghayatan adat dan budaya serta penyediaan peluang pekerjaan telah pun disediakan oleh kerajaan BN dari semasa ke semasa, di mana kesemuanya untuk kepentingan rakyat," ujarnya.

Doa, ulang kaji resipi kejayaan Shafiah Nasrin

Posted:

Doa, ulang kaji resipi kejayaan Shafiah Nasrin

Doa, ulang kaji resipi kejayaan Shafiah Nasrin

SEREMBAN 8 Mac - Doa dan juga konsisten dalam mengulang kaji pelajaran adalah antara resipi kejayaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan King George V (KGV), Shafiah Nasrin Nasser Ali Khan, 20, apabila dia berjaya meraih semua A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan semalam.

Shafiah Nasrin yang juga antara pelajar cemerlang STPM negeri ini ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, kejayaan yang diraihnya adalah berkat kesabaran ketika mengulang kaji pelajaran selain memperbanyakkan amalan berdoa semasa memulakan sesi pembelajaran.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira pada hari ini kerana segala penat lelah akhirnya mendatangkan hasil yang cukup memberangsangkan.

"Kejayaan yang diukir hari ini adalah hasil dorongan semua pihak terutamanya guru-guru, rakan-rakan selain galakan secara berterusan ibu bapa saya," katanya yang ingin meneruskan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Universiti Malaya.

Sementara itu, seorang pelajar cemerlang yang turut meraih 4A, Clement Kwan Joon Kit, 20, berkata, meskipun dia mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya dalam peperiksaan ini, dia tidak mahu terlalu mengharap kerana takut akan kecewa.

"Saya sangat gembira dan teruja, apa yang saya impikan selama ini telah menjadi kenyataan.

"Saya bersyukur kerana ibu bapa sentiasa mengambil berat tentang pembelajaran dan membantu daripada segala segi." katanya semasa ditemui di sekolahnya, hari ini.

Menurutnya, dia tidak mengikuti kelas tambahan seperti pelajar lain, sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa menelaah pelajaran di rumah.

Sementara itu, rakannya Loh Kar Woon, 20, berkata, cara pembelajaran yang konsisten adalah kunci kejayaannya dalam mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan ini.

"Saya rasa sangat gembira kerana telah berjaya membuat ibu bapa bangga dan inilah cara untuk membalas jasa baik mereka," katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Singapura di Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan