Rabu, 14 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


USIM akan tubuh IQBraille

Posted:

USIM akan tubuh IQBraille

USIM akan tubuh IQBraille

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my


Muhamad Muda (tengah) memegang dokumen memorandum persefahaman bersama (dari kiri) Zamani Sulaiman, Zakaria Yahya, Roslan Abdul Rahman dan Muhammad Haizuan Rozali di Seremban, kelmarin. - BERNAMA


SEREMBAN 13 Mac - Institut Quran Braille (IQBraille) akan ditubuhkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan matlamat untuk muncul sebagai sebuah pusat kecemerlangan di universiti tersebut.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, IQBraille ditubuhkan atas rasa tanggungjawab USIM dalam memartabatkan pendidikan Islam bagi orang kurang upaya (OKU) terutama kepada mereka yang mengalami masalah penglihatan.

"Ini secara tidak langsung akan menggalakkan kerjasama semua pihak dalam melakukan penyelidikan dan perkhidmatan berasaskan tanggungjawab sosial masyarakat," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di sini semalam.

MOU itu bertujuan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan perkhidmatan kepada OKU Penglihatan dalam bidang pengajian Islam.

Ia ditandatangani antara USIM, Persatuan Orang-Orang Cacat Islam Malaysia (PERTIS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada majlis itu juga, USIM menyerahkan naskhah Iqra' versi braille kepada tiga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Penglihatan iaitu SKPK Jalan Batu, Kuala Lumpur, SKPK Princess Elizabeth, Johor dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, SKPK Seremban.

Turut hadir, Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Profesor Dr. Roslan Abdul Rahman; Yang Dipertua PERTIS, Zakaria Yahya dan Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Datuk Zamani Sulaiman yang juga Penasihat PERTIS.

Dr. Muhamad berkata, PERTIS merupakan badan yang bertanggungjawab memperkenalkan penulisan al-Quran braille berkomputer, di samping melatih pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM menyampaikan kandungan pengajaran al-Quran dalam bentuk tulisan braille.

Sementara itu, kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM adalah bertanggungjawab menghasilkan Panel al-Quran Braille Elektronik (eBraille al-Quran) bagi memudahkan pembacaan dan pengajaran kitab suci itu.

Beliau berkata, kebanyakan tenaga pengajar di IQBraille terdiri daripada pensyarah celik penglihatan dan mampu mengajar teknik eBraille al-Quran.

"USIM menawarkan kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian al-Quran dan Sunnah kepada mahasiswa FPQS bermula 2007," katanya.

Pelajar diingatkan jaga imej UiTM

Posted:

Pelajar diingatkan jaga imej UiTM

Pelajar diingatkan jaga imej UiTM

MELAKA 13 Mac - Kira-kira 400 pelajar baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya menerusi program Penerapan Ijazah Sarjana Muda kemasukan Mac-Julai 2012 diingatkan agar menjaga kualiti pencapaian akademik, akhlak, peradaban dan imej diri.

Rektornya, Profesor Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, etika itu perlu dipatuhi pelajar bagi memastikan imej UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terus disegani dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurutnya, reputasi buruk yang dibawa pelajar bukan sahaja boleh mencalarkan imej UiTM tetapi juga kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

"Saya percaya pelajar diterima masuk ke kampus ini memiliki norma dan budaya serta pengalaman berbeza di kampus masing-masing kerana mereka adalah pelajar bijak dan memiliki Himpunan Purata Mata Kredit (CGPA) 3.00 ke atas.

''Kampus ini adalah yang terbaik berdasarkan peningkatan CGPA 3.5 ke atas dan terbaik di antara kampus cawangan di seluruh sistem yang ada, selain pencapaian 35 pelajar menerima Anugerah Naib Canselor dan Dekan," katanya di sini baru-baru ini.

Mahasiswa berbasikal bersama Ali Rustam

Posted:

Mahasiswa berbasikal bersama Ali Rustam

Mahasiswa berbasikal bersama Ali Rustam

ALOR GAJAH 13 Mac - Kira-kira 500 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka menyertai Program Jom Kayuh Bersama Ketua Menteri sejauh tujuh kilometer sekitar pekan Lendu di sini kelmarin.

Program anjuran UiTM dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri dan beberapa agensi kerajaan itu turut disertai mahasiswa beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar negeri ini termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, program tersebut secara tidak langsung membina ruang kerjasama dalam kalangan mahasiswa terutama bagi menjayakan sesebuah program.

"Secara tidak langsung ia dapat membawa masa depan cemerlang kepada mereka kerana hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi kita akan mencapai Wawasan 2020, jadi mahasiswa juga harus berdaya maju.

"Apa yang diharapkan, mahasiswa dan mahasiswi mempunyai semangat yang kuat dan kental untuk membina modal insan bagi membanggakan keluarga," katanya ketika melancarkan Program Jom Kayuh Bersama Ketua Menteri di sini.

Turut hadir, Rektor UiTM cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam.

Menariknya pada program tersebut ialah ketibaan Mohd. Ali yang disambut meriah oleh lebih 100 mahasiswa yang melaungkan kata-kata semangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan