Rabu, 14 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penjual kain didakwa cabul jurujual

Posted: 14 Mar 2012 02:13 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang penjual kain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual, tiga bulan lepas.

Zakeria Kader, 50, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita berumur 25 tahun itu di hadapan kaunter pembayaran The Beach Club Cafe, 97 Jalan P.Ramlee di sini pada pukul 11.55 malam, 24 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara,denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, namun peguam M.Mathavan yang mewakili Zakeria memohon jaminan dikurangkan.


Majistret Parvin Hameedah Natchiar membenarkan Zakeria diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mei depan untuk sebutan semula kes. - Bernama



Malaysia, Russia akan tandatangani perjanjian perjalanan tanpa visa tahun ini

Posted: 14 Mar 2012 12:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Russia bakal memperkenalkan perjalanan tanpa visa kepada rakyat Malaysia ke negara itu, sebagai timbal balas kepada kemudahan serupa diberikan kepada pelawat Russia ke Malaysia, kata Duta Besar Russia ke Malaysia Lyudmilla G. Vorobyeva.

Beliau berkata perjanjian perjalanan tanpa visa itu sedang diperincikan dan berharap perjanjian itu dapat ditandatangani tahun ini.

"Bagi rakyat Russia, kami tidak perlukan visa untuk datang ke Malaysia selama 30 hari, dalam sistem kami pula kami tidak boleh berikan kemudahan sama kepada rakan kami (Malaysia) begitu sahaja, kami perlu mempunyai perjanjian perjalanan tanpa visa dan kami sedang merumuskan perjanjian ini supaya rakyat Malaysia boleh pergi ke Russia tanpa visa selama 30 hari," kata duta berusia 47 tahun itu yang mula berkhidmat di sini pada Ogos 2010.

Beliau berharap perjalanan tanpa visa itu akan dapat meningkatkan lagi hubungan pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua negara.


"Pada pandangan saya penduduk di sini amat berminat untuk pergi ke Russia, semua orang tahu mengenai St Petersburg di Moscow dan ramai orang melawat destinasi pelancongan utama ini," kata Vorobyeva kepada Bernama semasa melakukan lawatan ke agensi berita itu di sini hari ini. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan