Rabu, 14 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kekasih Zara ditahan

Posted: 13 Mar 2012 11:52 AM PDT

SERDANG: Seorang lelaki dan rakannya ditahan untuk siasatan berhubung misteri kematian seorang pensyarah kolej swasta, Zara Eleena Omar Peter, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, yang ditemui dalam bilik berasingan di rumah mereka di Taman Kinrara 1, Puchong, petang kelmarin.

Seorang daripada mereka dipercayai teman lelaki yang juga bekas pelajar pensyarah malang itu ditahan bersama rakan serumahnya di kediaman mereka di Pandan Indah, Ampang, kira-kira jam 5 petang.


Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, suspek yang berusia 18 dan 20-an itu kini direman seminggu bermula semalam dan kes masih diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan sehingga kini, kami masih lagi mengumpulkan lebih banyak maklumat bagi mencari motif dan sebab utama kejadian pembunuhan ini berlaku, namun polis masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian ini bermotifkan dendam, cemburu atau samun.


"Polis juga masih menunggu hasil laporan bedah siasat Jabatan Kimia dan patalogi yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas melawat semula lokasi kejadian bersama Unit Forensik Selangor, petang semalam.


Menurutnya, siasatan kes pembunuhan dua beranak itu turut diperluaskan ke kampung halaman ibu mangsa di Kampung Gelang Cincin, Segamat, Johor bagi mendapatkan gambaran dan maklumat secara menyeluruh selain merujuk fakta serta bahan bukti yang diperoleh di tempat kejadian.

"Setakat ini, telefon bimbit milik kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan kami juga masih mengesan kereta Perodua Kenari milik pensyarah berkenaan. "Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian dan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Nazir Max di talian 013-3007705 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya.



Ditipu ‘ejen’ kastam

Posted: 13 Mar 2012 11:29 AM PDT

PETALING JAYA: Gara-gara percayakan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai orang tengah untuk mendapatkan barang rampasan kastam dengan harga murah, tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diperdaya menyebabkan kerugian ribuan ringgit termasuk kereta seorang daripada mangsa dilarikan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, tiga mangsa berusia 20-an itu kehilangan pelbagai dokumen penting termasuk kad pengenalan, buku bank, enam telefon bimbit, satu iPad dan sebuah kereta Perodua Kancil.


Menurut sumber, mangsa mengenali lelaki berusia 20 hingga 30-an selepas dia memperkenalkan diri sebagai ejen yang dilantik kastam. Malah, mangsa pernah berurusan membeli barangan rampasan pihak berkuasa berkenaan sebelum ini.

"Lelaki terbabit yang berjaya mendapat kepercayaan mangsa kemudian sekali lagi menawarkan barangan rampasan seperti gajet elektronik untuk dijual.


"Ketiga-tiga mangsa berminat membeli barangan itu sebelum mereka membuat tempahan," katanya.


Katanya, lelaki itu kemudian meminta ketiga-tiga mangsa menemuinya di pintu masuk Kompleks Kastam di Kelana Jaya bagi mengambil barangan yang ditempah.

"Ini kerana, lelaki berkenaan mendakwa barangan yang ditempah masih lagi berada dalam simpanan pihak kastam dan pembeli dikehendaki menunggu di premis berkenaan sebelum barangan boleh dilepaskan.


"Bagaimanapun, lelaki terbabit meminta mangsa menyerahkan dompet dan telefon bimbit kerana mendakwa ia adalah prosedur pihak berkuasa itu yang melarang barangan peribadi dibawa masuk ke dalam," katanya.

Sumber berkata, percaya dengan kata-kata itu menyebabkan mangsa menyerahkan dompet dan telefon bimbit termasuk wang bagi membeli barangan berkenaan sebanyak RM3,900.


"Malah, lelaki itu juga berjaya meyakinkan seorang mangsa bagi meminjamkan keretanya untuk mengambil barangan yang ditempah itu dan meminta mereka menunggu di depan pintu masuk.


"Selepas menunggu kira-kira dua jam setengah, lelaki terbabit masih tidak muncul menyebabkan mangsa mula curiga dan masuk ke dalam kompleks berkenaan dan bertanya kepada seorang kakitangan mengenai urusan jual beli berkenaan," katanya.


Katanya, mangsa terkejut apabila diberitahu tidak mengenali lelaki terbabit yang mendakwa sebagai orang tengah untuk mendapatkan barang rampasan kastam, malah semakan mendapati tiada rekod mengenai lelaki itu yang dilantik sebagai ejen pihak berkuasa berkenaan.


"Ketiga-tiga mangsa yang menyedari ditipu lelaki terbabit kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.


"Mereka mendakwa tidak menyangka akan ditipu lelaki terbabit kerana tiada masalah ketika berurusan buat kali pertama," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan