Selasa, 13 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Telok Mas syurga ikan bakar

Posted:

Telok Mas syurga ikan bakar

Telok Mas syurga ikan bakar

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


PENIAGA memanggang ikan di Medan Ikan Bakar Pengkalan Pernu di muara Sungai Umbai, Melaka.


MELAKA 12 Mac - Telok Mas mendapat namanya menerusi kisah seorang nelayan yang menemui rantai emas sewaktu mengangkat jaring yang menjadi rentetan sebuah kampung diberi nama Kampung Telok Mas.

Peristiwa itu berdasarkan cerita orang tua zaman dahulu kala yang turut dikaitkan dengan kisah pahlawan Melayu seperti pendekar Raja Haji yang pernah berjuang menentang penjajahan Inggeris berasal dari kampung itu.

Telok Mas yang terletak kira-kira 20 minit dari bandar raya ini, cukup terkenal dengan ikan bakar.

Siapa yang tidak mengenali Alai, Medan Ikan Bakar Pernu di muara Sungai Umbai, Muara Sungai Duyung dan Crystal Bay yang berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas kerana ia menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk menikmati juadah ikan bakar segar dan menyelerakan.

Menikmati hidangan ikan bakar di beberapa gerai di Telok Mas cukup unik kerana hidangannya cukup ringkas iaitu ikan bakar disajikan dengan nasi lemak selain sambal kicap yang menjadikannya cukup menyelerakan.

Anda boleh memilih sama ada ikan jenahak, siakap, gerut-gerut, pari, kembung, merah, udang, sotong, kupang, kerang, lala dan sebagainya untuk dijadikan hidangan menyelerakan.

Daripada sebuah kampung terpencil, Telok Mas semakin berkembang pesat dengan kebanyakan penduduk di sini adalah terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Penduduk Telok Mas terkenal dengan sikap mesra, bersopan-santun dan berbudi-bahasa selain bersikap tolak-ansur antara penduduk yang wujud menjadi pegangan bagi memelihara perpaduan.

Seperti kata pepatah 'Hidup bermuafakat membawa berkat' secara tidak langsung amalan ini mewujudkan suasana aman dan harmoni kepada penduduk kampung di sini.

Di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008, Telok Mas pesat membangun dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Kemudahan asas cukup lengkap dengan prasarana yang telah dibangunkan oleh kerajaan negeri dan ditadbir oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Kemudahan yang sedia ada di bawah Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) seperti kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, masjid, surau dan sekolah.

Turut disediakan ialah dewan serba guna, balai raya, pejabat pos, masjid dan surau.

Kini terdapat empat buah sekolah menengah, tujuh sekolah rendah dan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) selain Sekolah Menengah Agama Sharifah Rodziah dan Sekolah Menengah Telok Mas yang dijadikan sebagai sekolah Bistari.

Kemudahan yang disediakan dinikmati penduduk di Pernu, kampung Telok Mas, Bukit Punggor, Alai, Permatang Pasir, Tambak Sebelong, Padang Temu, Bukit Pegoh/Bukit Larang dan Ujong Pasir.

Dari sektor pelancongan pula, Pulau Besar dipercayai oleh sesetengah orang sebagai pulau keramat menjadi mercu tanda tarikan orang ramai ke Telok Mas.

Banyak legenda yang dikaitkan dengan Pulau Besar menjadikan ia tarikan pelancong tempatan dan luar negara khususnya pelancong berketurunan India Muslim, Malaysia dan Singapura.

Untuk sampai ke pulau berkenaan orang ramai perlu menaiki bot dari jeti Sungai Umbai.

Ia memakan masa perjalanan meredah laut Selat Melaka selama 30 hingga 40 minit untuk sampai ke pulau yang dahulunya dikunjungi ribuan manusia untuk meraikan bulan Safar.

Dari segi ekonomi penduduk di DUN Telok Mas pula dijana daripada pelbagai bidang industri seperti pertanian, keusahawanan, pelancongan, perkilangan dan perikanan.

Pembinaan Bazar Telok Mas membolehkan penduduk di sini membuka perniagaan seperti kedai kraf tangan dan kedai kuih-kuih tradisional seperti dodol, inang-inang dan sebagainya.

Pekan Telok Mas pula menempatkan para peniaga dan usahawan kecil di bawah program Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Terdapat beberapa buah kilang dijadikan sebagai tempat pemprosesan produk-produk penduduk Telok Mas seperti tilam, sabun, sos dan sebagainya.

Secara tidak langsung kilang itu membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda dan belia untuk menjana pendapatan mereka.

Industri perikanan turut menjadi tunjang utama ekonomi penduduk setempat dengan terbinanya Hab Perikanan Kecil Sungai Duyong bernilai RM38 juta yang dijangka siap sepenuhnya April ini.

Hab berkenaan menempatkan kemudahan meletak bot buat lebih 120 nelayan di muara Sungai Duyong di samping tempat pendaratan hasil tangkapan.

Selain hab perikanan di sungai Duyong, tiga lagi jeti nelayan yang sedang dinaik taraf ialah Pangkalan Pernu, Kuala Sungai Pungor, Alai dan Tanjung Nibong.

Kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan ialah kemudahan jeti lebih sempurna untuk nelayan meletakkan bot, pondok rehat, tempat memunggah tangkapan ikan dan sebagainya.

5 penjawat awam berdepan tindakan

Posted:

5 penjawat awam berdepan tindakan

5 penjawat awam berdepan tindakan

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com

MELAKA 12 Mac - Lima penjawat awam yang ditahan polis ketika leka bermain judi komputer baru-baru ini bakal dikenakan tindakan disiplin termasuk berdepan hukuman buang kerja jika didapati bersalah.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Omar Kaseh berkata, mereka yang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana berjudi tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin kerana melanggar peraturan

Menurutnya, penglibatan penjawat awam dalam kegiatan itu dipandang serius kerana ia secara tidak langsung menjejaskan imej kerajaan negeri.

''Penahanan lima kakitangan kerajaan negeri yang leka bermain judi berkomputer baru-baru ini cukup memalukan dan mereka akan berdepan tindakan disiplin," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan lima penjawat awam itu oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman minggu lalu.

Semua mereka ditahan ketika sedang leka bermain judi komputer.

Sehubungan itu Omar mengingatkan kira-kira 4,000 penjawat awam di negeri ini agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan judi.

''Mereka harus ingat jika mereka ditangkap ketika berjudi, soal masa depan dan rumah tangga akan terjejas, oleh itu saya harap mereka tidak terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral," katanya.

Peneroka disaran urus penebangan pokok

Posted:

Peneroka disaran urus penebangan pokok

Peneroka disaran urus penebangan pokok

KUALA PILAH 12 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan peneroka Felda diberi peluang menguruskan penebangan dan penjualan kayu getah di kawasan mereka, sementara pengurusan Felda bertindak sebagai pemudahcara.

Katanya, pihak peneroka pula hendaklah menguruskannya melalui koperasi yang diwujudkan supaya tidak berlaku kekalutan, di mana segala proses berkenaan dapat dipantau oleh Felda, bagi mengelak berlakunya penganiayaan terhadap peneroka terlibat.

''Sejak saya menjadi Menteri Besar pada 2004, apabila ada rancangan untuk penanaman semula terutamanya getah, banyak masalah timbul kerana hasil yang diperoleh peneroka tidak sekata.

''Oleh kerana saya tidak mahu isu itu diperhangatkan pihak tidak bertanggungjawab, maka saya mencadangkan urusan menguruskan penebangan serta hasilnya dibuat oleh koperasi peneroka.

''Felda akan terus menjaga kepentingannya dan boleh memanggil mereka yang membeli kayu getah itu. Jadi kita akan lihat cara yang lebih baik pengurusannya dengan peneroka mendapat hasil yang setimpal tanpa ada penipuan pihak berkepentingan," katanya di Felda Kepis dekat sini hari ini.

Mohamad ditemui pemberita selepas menyerahkan surat hak milik tanah kepada 340 peneroka Felda Kepis dekat sini sempena lawatan kerja sehari di kawasan Kuala Pilah.

Katanya, Felda masih bergelar big brother dengan menjaga urusan di sini kerana apa yang mahu dilihat ialah wujudnya transformasi ekonomi di kawasan Felda, di mana koperasi dapat menambah pendapatan dengan menguruskan penjualan kayu dan sebagainya.

''Ini akan merancakkan ekonomi tempatan dan dapat mencapai hasrat kerajaan untuk menambah nilai pendapatan peneroka.

''Saya berharap cadangan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya pihak Felda. Saya bimbang setiap kali hendak menanam semula, cerita ini akan berbangkit dan bagi saya, perlu ada satu mekanisme untuk mengatasinya," ujar Mohamad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan