Selasa, 13 Mac 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Rogol, bunuh: Hukuman terhadap pekerja kilang ayam kekal

Posted: 13 Mar 2012 03:47 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang pekerja kilang ayam kerana membunuh seorang pencari kerja, Siti Zawiah Sudin, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim, yang dipengerusikan Datuk Sulaiman Daud, turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan terhadap Muhammad Rasid Hashim kerana merogol wanita berusia 23 tahun itu.

Siti Zawiah yang tiba di Kuala Lumpur 22 hari sebelum kejadian untuk mencari pekerjaan bagaimanapun berhasrat pulang ke kampung di Pasir Puteh, Kelantan jam 9 malam hari kejadian selepas1 gagal mendapat kerja. Mangsa ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan oleh dua rakan serumahnya dengan kecederaan kepala di atas lantai bilik tidur rumah tempat dia menumpang sebelum meninggalkan dunia di Hospital Selayang.

Panel hakim, yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azahar Mohamed, sebulat suara menolak rayuan Muhammad Rasid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas dua tuduhan itu.

Hakim Sulaiman berkata, mahkamah mendapati hakim perbicaraan tidak terkhilaf berhubung fakta kes dan sabitan terhadap Muhammad Rasid adalah selamat.

Pada 15 November 2009, Mahkamah Tinggi mendapati Muhammad Rasid, 31, dari Kampar, Perak, bersalah melakukan dua kesalahan itu di No 02-04, Blok Kekwa, Pangsapuri Dahlia, Jalan 5/2, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, antara antara 3 dan 6.20 petang, 9 Mac 2006.
Kes pendakwaan tersebut berdasarkan keterangan ikut keadaan, antara lain Muhammad Rasid merupakan orang terakhir dilihat bersama mangsa dan barangan peribadi mangsa, sebuah set kunci dan telefon bimbit dijumpai dalam simpannya.

Keterangan Asid Deoksiribonukleik (DNA) membuktikan air mani Muhammad Rasid ditemui di bahagian sulit mangsa.

Ahli patologi mengesahkan punca kematian Siti Zawiah adalah kerana kepala mangsa dihentak dengan benda keras serta dicekik.

Dalam keterangan tanpa sumpah, Muhammad Rasid menafikan dia merogol dan membunuh mangsa. - BERNAMA

1,623 permohonan Skim Rumah Pertamaku diterima sehingga Januari: Najib

Posted: 13 Mar 2012 03:34 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,623 permohonan bagi mendapatkan jaminan di bawah Skim Rumah Pertamaku telah diterima sehingga Januari tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 280 pinjaman diberikan jaminan dengan nilai RM41.1 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melaksanakan 56 projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana melibatkan 37,757 unit sehingga Januari lalu. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB menyiapkan 17,749 unit rumah di seluruh Malaysia, katanya kepada soalan Hee yang ingin tahu sejauh mana kejayaan pembinaan skim perumahan berkenaan dan rancangan kerajaan supaya rakyat berpendapatan rendah di bandar mampu memiliki rumah.

Najib berkata, bagi tempoh sama, 32,762 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 25 projek telah siap dibina dan 2,100 unit sedang dalam pembinaan di Kuala Lumpur bagi menampung kekurangan rumah kos rendah di kawasan Lembah Klang.

Perdana Menteri berkata, pembinaan rumah kos rendah oleh pemaju perumahan swasta mengikut kuota yang ditetapkan kerajaan negeri juga telah dapat membantu meningkatkan pemilikan rumah golongan berpendapatan rendah di bandar-bandar seluruh negara. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan