Isnin, 12 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Tiga premis di Dataran Segar diserbu dalam operasi di sekitar Lukut

Posted:

Tiga premis di Dataran Segar diserbu dalam operasi di sekitar Lukut

Tiga premis di Dataran Segar diserbu dalam operasi di sekitar Lukut

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com


SEBAHAGIAN kaki judi yang ditahan dalam operasi bersepadu di Dataran Segar, Lukut, Telok Kemang, semalam.


TELOK KEMANG 11 Mac - Pasukan penguat kuasa mematahkan kegiatan judi komputer yang beroperasi di sekitar Lukut di sini selepas menyerbu tiga buah premis di Dataran Segar dalam operasi bersepadu yang diadakan malam tadi.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Imigresen itu berjaya menahan seramai 26 kaki judi.

Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Yusharifuddin Mohd. Yusop memberitahu, ketiga-tiga premis itu diserbu pada pukul 9.30 malam selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan berkenaan.

"Dalam serbuan itu, seramai 26 lelaki iaitu 22 rakyat tempatan dan empat warga Indonesia yang sedang leka berjudi di premis itu.

"Selain mereka, turut ditahan adalah empat lelaki iaitu tiga warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan dipercayai penjaga premis itu," kata Yusharifuddin selepas mengetuai operasi itu malam tadi.

Yusharifuddin berkata, polis turut merampas wang tunai RM7,971 dan 90 unit komputer yang digunakan untuk kegiatan perjudian di tiga premis berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua premis terbabit beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan bagi tujuan keselamatan, pengusaha premis itu memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 27 hingga 45 tahun dan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Port Dickson untuk soal siasat," kata beliau.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Datuk Mustafa berkata, seramai 22 kaki judi beragama Islam yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 79 A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004.

Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sembilan rumah rosak dilanda ribut

Posted:

Sembilan rumah rosak dilanda ribut

Sembilan rumah rosak dilanda ribut


TIJAH Ali menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan ribut di Taman Seri Duyong, Melaka, kelmarin.


MELAKA 11 Mac - Dua keluarga melalui detik-detik mencemaskan apabila sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan ribut dan angin kencang di Taman Seri Duyung, Duyung di sini semalam.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku ketika salah seorang mangsa, Tijah Ali, 54, baru pulang dari menghadiri kenduri kahwin yang diadakan berhampiran rumahnya apabila hujan melanda.

Menurutnya, beberapa minit selepas itu, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat.

"Serentak dengan itu, saya melihat air mula memasuki dalam rumah melalui siling menyebabkan saya kelam-kabut mengelap air tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, dia hanya mengetahui punca limpahan air itu setelah jirannya, Umi Kassom Misndom, 50, memberitahu sebahagian bumbung rumahnya hilang diterbangkan angin.

Katanya, dia kemudian bergegas keluar untuk melihat sendiri bumbung rumahnya dan terkejut mendapati kira-kira lima keping atap genting di bahagian belakang rumah diterbangkan angin kencang.

Seorang lagi mangsa, Ann Theseira, 55, berkata, dia sedang menyidai baju di hadapan rumahnya ketika hujan lebat diikuti angin kencang melanda kawasan berkenaan.

"Tiba-tiba saya mendengar bunyi dentuman kuat sebelum suami, Charlie Sta Maria, 60, berlari ke arah saya sambil memberitahu, habislah... habislah.

"Suami kemudian meminta saya melihat bahagian dapur rumah dan saya terkejut apabila mendapati air memasuki dalam rumah melalui siling.

"Saya kemudian menarik katil ibu saya yang kurang upaya, Olga Frederiks, 79, yang ketika itu sedang makan di atas katilnya di dapur ke bahagian tengah rumah bagi mengelak dia terkena air hujan.

"Bagaimanapun, beberapa perabot dan tilam rosak akibat terkena air hujan yang melimpah masuk," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyung, Datuk Gan Tian Loo berkata, selain dua rumah berkenaan, tujuh rumah di taman sama dan dua lagi rumah di Desa Duyung turut rosak apabila sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin.

"Saya telah berjumpa dengan semua mangsa terbabit dan menasihatkan mereka melakukan laporan polis supaya bantuan bencana alam dapat diberikan kepada mereka.

"Semua mangsa telah menerima sumbangan peribadi daripada saya sebanyak RM200 setiap keluarga bagi meringankan beban mereka sebelum bantuan bencana alam daripada kerajaan negeri disampaikan," katanya.

Kawasan Telok Kemang sentiasa dibanjiri pengunjung

Posted:

Kawasan Telok Kemang sentiasa dibanjiri pengunjung

Kawasan Telok Kemang sentiasa dibanjiri pengunjung

utusanN9@utusan.com

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG 11 Mac - Pantai peranginan Port Dickson sering menjadi tumpuan pelancong yang datang mencari kawasan mandi awam yang selamat, cantik dan bebas daripada ombak besar, selain infrastruktur dan mempunyai tempat makan yang selesa.

Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berkata, jika itu pilihan pengunjung maka kawasan peranginan di Telok Kemang dekat Port Dickson adalah pilihan yang tepat.

''Pelancong selalu datang ke Dataran Seri Kemang dan pantai sekitar Telok Kemang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dekat sini.

Katanya, pelancong datang ke Port Dickson kerana merasakan ia cukup selesa dan tambahan pula ia dekat dengan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

''Pada musim cuti sekolah mahupun hujung minggu, Port Dickson akan menjadi sesak dengan pengunjung. Soal penginapan, tidak menjadi masalah kerana banyak hotel, resort, inap desa dan lain-lain yang menawarkan harga berpatutan dan mampu didiami semua golongan," katanya.

Selain itu, infrastruktur di Port Dickson juga sentiasa dipertingkatkan dan banyak gerai makan di sekitar pantai dibangunkan oleh kerajaan yang mampu memberi keselesaan kepada pengunjung.

Mohd. Isa memberitahu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dalam membangunkan kawasan Port Dickson termasuk sebagai Bandar Tentera Darat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September 2009.

Ini katanya, dapat dibuktikan dengan usaha kerajaan dalam mengindahkan laluan sekitar Pesiaran Pahlawan di Dataran Pahlawan berhampiran Dataran Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).

''Kalau kita lihat ketika ini, laluan di sana sudah berubah wajah. Malah Muzium Tentera Darat yang ada ketika ini adalah antara kawasan lokasi pilihan orang ramai kerana ia menyimpan pelbagai khazanah dan artifak mengenai ketenteraan satu ketika dahulu," katanya.

Pada masa yang sama, Mohd. Isa turut menjelaskan kerajaan terus komited dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi masyarakat termasuklah kemudahan jalan raya, keceriaan, kebersihan pantai dan kempen kesedaran lainnya.

''Masalah banjir di kawasan Si Rusa dan kawasan sekitar memang kita sedia maklum dan telah diambil tindakan sewajarnya. Malah isu mengenai laluan Pasir Panjang ke Linggi telahpun kita atasi dengan baik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan