Isnin, 12 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


3 kedai rebah

Posted: 11 Mar 2012 12:50 PM PDT

KLANG: "Saya baru saja masuk kedai dan sedang tunggu air teh yang dipesan tiba-tiba dengar bunyi rebak sebelum disusuli anjung hadapan senget.

"Saya dan lapan lagi pelanggan lain kemudian terus keluar melarikan diri sebelum melihat kedai itu dan beberapa lagi kedai lain tenggelam sedikit demi sedikit," kata Kamaruddin Hanim, 31, nelayan Kampung Teluk Gong, di sini.


Dalam kejadian petang semalam, tiga kedai makan, empat stor penyimpanan barangan nelayan, sebuah kedai menjual peralatan nelayan dan sembilan bot nelayan tenggelam dihanyutkan air pasang, di Jeti Kampung Nelayan Telok Gong.

Menceritakan kembali kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, Kamaruddin berkata, dia lega dapat menyelamatkan diri walaupun masih terketar-ketar.


"Petang-petang jika tak turun ke laut atau baru balik menangkap ikan memang saya dan kawan-kawan minum di kedai di jeti.


"Semalam (kelmarin) memang sudah ada rebak sikit tetapi tak sangka kali ini tenggelam membabitkan kedai serta stor nelayan," katanya.

Seorang pemilik kedai makan tenggelam itu, Rahimah Sameon, 60, berkata kejadian itu dianggapnya dugaan baginya yang dijadualkan ke tanah suci Makkah menunaikan umrah hari ini.


"Apapun, saya tetap akan pergi umrah esok (hari ini). Ini saya anggap sebagai dugaan Tuhan untuk hamba-Nya.

"Saya bersyukur tidak ada sesiapa pun yang cedera dan tiada berlaku kemalangan jiwa dalam kejadian ini," katanya.


Sementara itu, Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.16 petang sebelum tujuh jentera bomba bergegas dan tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.


Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


"Sebaik tiba, pihak kami dapati beberapa kedai sudah tenggelam secara perlahan-lahan di muara itu.


"Secara keseluruhan setakat ini tiga kedai makan, empat stor penyimpanan barangan nelayan, satu kedai menjual peralatan nelayan dan sembilan bot nelayan tenggelam dan dihanyutkan.


"Kejadian dipercayai berlaku disebabkan arus air pasang menyebabkan hakisan di tebing tempat premis itu didirikan," katanya ketika ditemui di lokasi.



Mati peluk cucu

Posted: 11 Mar 2012 12:50 PM PDT

PARIT BUNTAR : Seorang datuk dan cucunya mati berpelukan di bahagian tempat duduk belakang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki, dirempuh dari belakang oleh sebuah MPV lain dalam kemalangan di kilometer 181.5 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, MPV dinaiki mangsa dipercayai berhenti di lorong kecemasan kerana pemandunya dikatakan mahu membuat panggilan telefon.


Mangsa Tang Ah Tee, 65, dan cucunya Tan Tei Yee, 13, yang duduk di belakang Toyota Estima itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Kemalangan itu itu turut menyebabkan 10 lagi cedera, termasuk pemandu dan penumpang Toyota Alphard.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Mat Nayan berkata pemandu MPV itu, Tan Bee Ling, 39, memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon apabila dirempuh sebuah MPV Toyota Alphard dari belakang.


"Kedua-dua MPV berkenaan datang dari arah Selatan dan akibat kemalangan itu, Toyota Alphard serta Toyota Estima melintang di tengah jalan akibat rempuhan kuat itu," katanya.


Menurutnya, ketika kejadian Toyota Estima berkenaan dinaiki satu keluarga dalam perjalanan dari Pontian, Johor, dipercayai mahu bercuti ke Pulau Pinang manakala Toyota Alphard dari Kuala Lumpur.

"Penumpang Toyota Alphard, Wan Azizah Husin, 62, dipercayai duduk di sebelah pemandu parah di kaki dan dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.


"Pemandunya, Mohsin Amran, 34, isterinya, Wan Fatah Ileyah Ramli, 32 serta tiga anaknya, Nur Isa Wafa, 7, Nur Basira Wafa, 5, dan Mohd Evan Mizari, setahun, cedera ringan," katanya.

Menurut Fauzi, Tan Ling bersama empat penumpangnya iaitu Tan Bok Tack, 31, Tan Yeok Leng, 30, Tan Foh Siong, 36 dan Tan Bee Ling, 39, hanya cedera ringan dan dimasukkan ke HPB untuk rawatan.


Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan