Rabu, 14 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Transformasi basmi kemiskinan

Posted:

Transformasi basmi kemiskinan

Transformasi basmi kemiskinan

Oleh HELMI MOHD. FOAD dan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 13 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi membasmi kemiskinan di negeri ini menghadapi kekangan besar apabila banyak perkara yang dirancang belum dapat dilaksanakan ekoran halangan daripada Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk perancangan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk membangunkan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah sebelum ini menghadapi masalah setelah kerajaan negeri merampas tanah milik yayasan tersebut.

Justeru, beliau mengulangi penegasannya bahawa, sebarang masalah yang dihadapi termasuk dalam konteks masa depan YBK adalah bergantung kepada Barisan Nasional (BN) yang perlu kembali berkuasa di Selangor.

''Program yang sudah tentu memberi kesan amat besar tetapi kekangannya juga besar, yakni rancangan di atas tanah yang telah dirampas seluas 191 hektar dan 324 hektar telah dikaveat.

''Oleh itu, nampaknya pelan transformasi YBK bersifat bersyarat, kalau hendak menjadi kenyataan, maka YBK perlu mendapatkan semula tanah yang telah dirampas dan dikaveat tersebut. Ia bukan syarat yang normal, tetapi tidak mustahil kita akan dapat mencapainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Transformasi Lima Tahun 2012-2016 YBK di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Pelan Transformasi YBK 2012- 2016 antara lainnya akan memberikan peluang kepada 250 pelajar mendapat kemudahan Asrama Kasih YBK Gesir, di Asrama Kasih Serendah (1,250 pelajar), Asrama Kasih 1Malaysia (200 pelajar), Program Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (Kuntum) melibatkan 24,836 pelajar; Akademi Mutiara YBK (9,111 pelatih) dan Akademi Kemahiran YBK Gesir (1,303 pelatih).

Perdana Menteri berkata, sebenarnya seseorang itu 'tidak perlu menjadi saintis nuklear' bagi membuat kesimpulan mengapa kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang menghalang dan membantutkan rancangan YBK.

''Ia berpunca daripada hasrat Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) hendak menjadi Pengerusi YBK. Bila tidak kesampaian, maka tanah pun dirampas dan dikaveat. Kesimpulannya adalah pelan transformasi berkait rapat dengan transformasi politik di Selangor," kata beliau.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberikan jaminan program YBK tidak akan terbantut meskipun tidak dapat membangunkan tanah di Serendah.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Persekutuan tampil menjadi penyelamat apabila beliau telah meluluskan pembinaan kampus UiTM di Jasin, Melaka dan menyerahkan projek tersebut untuk dibangunkan oleh YBK.

''Tidak mengapalah walaupun yang untungnya orang Melaka, tetapi sekurang-kurangnya YBK dapat projek bagi menyuntik dana untuk menjalankan pelbagai program seperti yang telah digariskan," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, pihaknya memberikan sokongan kuat kepada YBK kerana yakin pertubuhan itu boleh menjadi rakan strategik kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan sama ada miskin tegar atau miskin relatif.

''Walaupun kemiskinan hampir terhapus mungkin ada timbul dari semasa ke semasa atas sebab tertentu yang mana mereka amat memerlukan bantuan dan dalam hal ini kalau melebihi paras kemiskinan dengan pendapatan RM720 sebulan dengan anak empat hingga lima orang tidak semestinya mereka tidak tergolong sebagai yang menghadapi kemiskinan.

''Kerana mereka yang tinggal di bandar jangan sebut pendapatan RM720 sebulan, yang pendapatan RM3,000 sebulan pun akan menghadapi kesulitan kewangan apabila hujung bulan," katanya.

Dalam hal ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha membasmi kemiskinan akan diteruskan dan ia mesti dilakukan dalam memastikan kejayaan meningkatkan kekayaan dan pendapatan negara tercapai.

''Kalau kita dapat menjana kekayaan seperti YBK yang ada suntikan modal, ia boleh melakukan pelbagai program dan kalau hendak beri apa juga jenis bantuan, kita perlu jana kekayaan.

''Caranya kita mesti tahu hendak urus tadbir negara dan ekonomi negara dengan bijak serta berhemat," kata beliau.

Katanya, ini dapat dilihat apabila Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menunjukkan kejayaan apabila tahun lalu, seramai 44,000 orang telah terkeluar daripada kelompok kemiskinan.

''Kita akan selongkar dan menyelusur serta berjalan ke seluruh negara untuk mencari mereka yang memerlukan bantuan. Saya percaya bahawa kalau kita berada di landasan yang benar, kalau nawaitu baik hendak menolong dan tidak menzalimi orang, Allah akan memberikan petunjuk dan rahmat kepada kita," kata beliau.

Peringati ulang tahun Dasar Pandang Ke Timur

Posted:

Peringati ulang tahun Dasar Pandang Ke Timur

Peringati ulang tahun Dasar Pandang Ke Timur

PUTRAJAYA 13 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda bertukar-tukar perutusan khas memperingati ulang tahun ke-30 Dasar Pandang Ke Timur.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua Perdana Menteri menegaskan, dasar tersebut adalah satu petanda tentang wujudnya ikatan persahabatan dan perkongsian akrab antara Malaysia dan Jepun.

"Kedua-dua pihak melahirkan harapan bahawa Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) yang ditubuhkan di Kuala Lumpur baru-baru ini, akan maju secara signifikan sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan kejuruteraan, tidak saja di Malaysia, tetapi juga untuk rantau ASEAN," katanya.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1982.

Dasar itu mempunyai matlamat utama bagi menimba pengetahuan teknologi, etika kerja dan nilai-nilai kerja baik yang dilihat sebagai satu daripada unsur penting bagi kejayaan negara-negara membangun di Asia Timur terutama Jepun.

Menerusi pelaksanaan dasar tersebut yang berjaya buat tiga dekad lalu, kira-kira 15,000 warga Malaysia telah mendapat manfaat menerusi pengajian dan latihan di universiti-universiti dan syarikat Jepun, terutama dalam sektor yang memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi serta penggunaan teknologi termaju. - BERNAMA

BR1M peruntuk RM1.92b kepada 3.8 juta isi rumah

Posted:

BR1M peruntuk RM1.92b kepada 3.8 juta isi rumah

BR1M peruntuk RM1.92b kepada 3.8 juta isi rumah

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.92 bilion sehingga 1 Mac lalu untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi manfaat kepada 3.8 juta atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 4.78 juta permohonan telah diterima dengan penerima yang berjaya adalah seramai 3.74 juta orang atau hampir 80 peratus daripada keseluruhan permohonan, manakala 972,000 pemohon atau 20 peratus lagi gagal.

"Antara alasan bagi yang tidak berjaya adalah permohonan yang bertindih atau wujud duplikasi, maklumat pemohon, pasangan dan tanggungan tidak lengkap, pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 dan pemohon atau pasangan termasuk dalam kategori pembayar cukai pendapatan.

"Namun, daripada lebih 200,000 rayuan yang diterima setakat ini, hampir 92 peratus sudah diluluskan kerana pemohon telah mengemukakan maklumat lengkap," katanya menjawab soalan asal Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Kinabatangan) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib berkata, Selangor mencatatkan jumlah penerima tertinggi BR1M iaitu 13 peratus daripada keseluruhan penerima manakala dari segi peratusan isi rumah, Kelantan adalah penerima tertinggi iaitu 84 peratus daripada keseluruhan isi rumah.

"BR1M diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik dan tidak wujud soal pilih kasih," tegas beliau.

Katanya, peruntukan BR1M adalah menggunakan perbelanjaan mengurus B11 Perkhidmatan Awam Perbendaharaan, butiran 020500 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat.

Jelasnya, perbelanjaan mengurus kerajaan adalah ditampung melalui kutipan hasil dan bukan daripada sumber pinjaman yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan