Selasa, 13 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Taat, kukuhkan perpaduan

Posted:

Taat, kukuhkan perpaduan

Taat, kukuhkan perpaduan


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menerima watikah ucapan daripada Najib Tun Razak pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Parlimen ke-12 di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF


KUALA LUMPUR 12 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu semua rakyat di negara ini memperkukuhkan perpaduan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara.

Seri Paduka juga menyeru kepada semua rakyat supaya memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara dan sentiasa memelihara, melindungi serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Tuanku Abdul Halim turut meminta generasi muda khususnya berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara yang merupakan hasil pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan selain mengingatkan jangan ada pihak yang cuba menidakkan pengorbanan mereka.

Kepada semua ahli Parlimen pula, Yang di-Pertuan Agong berpesan agar sentiasa menjaga kehormatan dan kemuliaan dewan.

''Perbahasan hendaklah berlandaskan keikhlasan serta semangat untuk memajukan kehidupan rakyat. Semoga iltizam ahli-ahli Yang Berhormat akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada dewan ini," titah Seri Paduka pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Tuanku Abdul Halim bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di Dataran Parlimen kira-kira pukul 10 pagi dan selepas lagu Negaraku berkumandang, Seri Paduka berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi di sini diketuai Mejar Amriza Mohd Ashaari.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan-timbalan Yang Dipertua Dewan.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Parlimen serta wakil kedutaan asing.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong juga mahu generasi muda sentiasa menghargai kebebasan yang dikecapi ketika ini.

Menyentuh lebih lanjut mengenai soal perpaduan, Tuanku Abdul Halim mengharapkan para pemimpin di setiap peringkat, para cendekiawan, media massa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai kepentingan perpaduan nasional.

Tidak ketinggalan Seri Paduka mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang responsif kepada seruan kerajaan dengan bersama-sama memainkan peranan dalam agenda pembangunan demi melakar masa hadapan negara yang lebih cerah selain memahami niat jujur kerajaan melakukan yang terbaik meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

''Beta menyeru agar rakyat terus memberi sokongan dan sumbangan untuk memastikan segala perancangan agenda pembangunan dapat direalisasikan," titah Tuanku Abdul Halim.

Selain itu, Seri Paduka turut menghargai sumbangan sektor swasta yang selama ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan berharap kerjasama pihak swasta serta kerajaan terus dipertingkatkan pada masa hadapan.

Mengenai Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar, Seri Paduka bertitah ia telah mula membuahkan hasil untuk dinikmati oleh rakyat.

''Kerajaan beta akan terus melaksanakan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) dengan memberi tumpuan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan bermanfaat kepada rakyat.

''Sesungguhnya usaha-usaha ini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun, berkat usaha gigih kerajaan dan sokongan rakyat, negara kekal makmur walaupun dunia bergelut dengan krisis kewangan, kemelut politik dan ketidaktentuan persekitaran," titah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim bertitah, perjalanan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 bukan sahaja memerlukan transformasi ekonomi malah turut menuntut keseimbangan antara kepentingan individu dan kumpulan berasaskan kepentingan negara .

''Oleh itu, di bawah kepimpinan kerajaan hari ini, pelbagai usaha transformasi sosio politik telah dan sedang dilaksanakan antaranya termasuk penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambah baik sistem pilihan raya serta memastikan hak dan kebebasan hak asasi rakyat berlandaskan Perlembagaan terjamin.

''Ini termasuklah memansuhkan akta-akta yang dianggap mengehadkan kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 di samping menggubal dan meminda undang-undang dan peraturan-peraturan untuk menjamin keselamatan negara serta mencegah keganasan dan ekstremisme," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah, ini semua merupakan keputusan besar kerajaan untuk memperkukuhkan kebebasan sivil dan melaksanakan transformasi politik.

Undang-undang ganti ISA di peringkat draf

Posted:

Undang-undang ganti ISA di peringkat draf

Undang-undang ganti ISA di peringkat draf

KUALA LUMPUR 12 Mac - Akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih di peringkat draf oleh Jabatan Peguam Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaik selesai proses draf, ia kemudiannya akan dibawa ke Kabinet dan kerajaan komited dalam memastikan wujudnya satu akta selepas pemansuhan ISA.

''Segala butiran ada dengan Peguam Negara (Tan Sri Gani Patail). Saya sendiri belum melihat draf itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-12 di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, bagi menggantikan ISA, terdapat beberapa elemen baru yang ditekankan dalam akta baru itu nanti.

Elemen-elemen itu ujarnya, berkaitan tempoh tahanan, layanan terhadap mereka yang ditahan, hubungan dengan keluarga mereka yang ditahan dan proses untuk membuat rayuan dalam masa tertentu.

''Itu semua akan diambil kira. Saya percaya semuanya akan berjalan lancar jika tidak ada pihak yang mempolitikkannya," kata beliau.

Sementara itu, mengulas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Hishamuddin berkata, pencapaian negara khususnya dalam menurunkan kadar jenayah adalah berhubung kait dengan program transformasi dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, angka-angka yang menunjukkan penurunan itu bukanlah indeks yang direka-reka sebaliknya merupakan kajian pihak antarabangsa.

''Bagi kementerian dan Polis Diraja Malaysia, kita bukan sahaja dapat mengurangkan indeks jenayah tetapi cara kita melakukannya melalui transformasi dan pendekatan 'luar kotak' menggunakan Strategi Laut Biru yang merentasi kementerian serta agensi dan melibatkan semua pihak.

''Ini tidak dapat dilihat di mana-mana negara lain. Seri Paduka juga menekankan betapa seriusnya ancaman jenayah merentasi sempadan iaitu jenayah-jenayah dalam konteks dunia tanpa sempadan dan globalisasi, keganasan serta perjalanan manusia, maklumat, kewangan dan sindiket-sindiket antarabangsa.

''Ia fenomena globalisasi yang perlu ditangani secara serius. Akta-akta keselamatan sama ada pindaan kepada ISA atau akta-akta lain mesti mengimbangi hak kebebasan dan tuntutan semasa dengan kepentingan negara dan kepentingan nasional supaya ketenteraman awam tidak membenarkan sindiket-sindiket dan kumpulan militan bermaharajalela untuk menghuru-harakan negara," katanya.

Beri perhatian serius titah Yang di-Pertuan Agong

Posted:

Beri perhatian serius titah Yang di-Pertuan Agong

Beri perhatian serius titah Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR 12 Mac - Ahli-ahli Parlimen diingatkan supaya memberi perhatian serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong agar perbahasan diadakan dengan berlandaskan keikhlasan dan semangat memajukan kehidupan rakyat selain menjaga kehormatan serta kemuliaan Parlimen.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, persidangan lalu seharusnya dijadikan iktibar kerana ramai dalam kalangan ahli-ahli Parlimen tidak boleh mengawal emosi dan membuat tuduhan liar.

''Tindakan mereka sebenarnya cuba meraih populariti dan dilihat sebagai hero sehingga berbahas secara emosi," katanya.

Justeru Ahli Parlimen Batu Pahat itu mengingatkan semua ahli Parlimen agar tidak beranggapan Parlimen sebagai tempat untuk mereka dilihat sebagai pejuang sedangkan yang dilakukan tidak mendatangkan sebarang faedah.

''Saya berharap titah ini diberi perhatian oleh ahli Parlimen kerana kita sudah masuk penggal kelima persidangan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berharap persidangan kali ini dapat meletakkan Parlimen Malaysia dalam kelas dunia melalui sikap profesional ahli-ahli Parlimen selain mengekalkan sistem demokrasi dan raja berperlembagaan.

''Saya harap Parlimen Malaysia akan membuktikan ia semakin matang dan semakin menarik perhatian masyarakat untuk mendengar dan mengikuti setiap perbahasan yang berlaku terutama sebelum menjelang pilihan raya ini," katanya.

Beliau juga berkata, titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan projek mengikut jadual dan memenuhi keperluan sasaran juga merupakan ingatan yang penting.

Namun katanya, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional telah melakukan transformasi dan melaksanakan projek yang memenuhi sasaran seperti pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang majoriti rakyat telah menerimanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan