Selasa, 13 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kecederaan Chong Wei dijangka pulih sebelum Piala Thomas

Posted: 13 Mar 2012 03:41 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kecederaan bahu yang dialami jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dijangka pulih sepenuhnya dalam masa tiga hingga lima minggu sebelum Kejohanan Piala Thomas, Mei ini.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz berkata Chong Wei bagaimanapun masih perlu menjalani pemeriksaan lanjut apabila beliau pulang ke tanah air kelak.

Chong Wei dijangka pulang ke tanah air Jumaat ini.

"Masa untuk pulih, melihat situasi sekarang dijangka antara tiga hingga lima minggu. Gambaran yang lebih jelas (dapat diketahui) selepas imbasan dan pemeriksaan semula apabila beliau pulang," katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, hari ini.


Ahad lalu, pemain nombor satu dunia itu menarik diri daripada perlawanan akhir kejohanan All England kerana kesakitan di bahagian bahu.


Tindakan beliau telah memberi kemenangan kepada lawannya Lin Dan dari China yang juga merupakan musuh tradisi perseorangan negara itu.

Dr Ramlan berkata, Chong Wei yang kini berada di Switzerland, buat masa ini menjalani rawatan fisioterapi daripada pakar fisio ISN yng mengiringinya untuk mengurangkan kesakitan dan sedikit kekejangan.

Katanya beliau akan terus memantau kemajuan rawatan dan pemulihan atlet negara itu menjelang Kejohanan Piala Thomas pada 20 hingga 27 Mei ini di Wuhan, China.

"Apabila sampai masanya saya akan nasihatkan jurulatih mengenai keadaan beliau," katanya.

Sebagai pemain perseorangan Nombor Satu negara, Chong Wei dilihat sebagai teraju utama yang akan membantu pasukan Malaysia pada kejohanan berprestij itu. - BERNAMA



146 universiti China kini diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi

Posted: 13 Mar 2012 03:40 AM PDT

KUALA LUMPUR: Sebanyak 146 institusi pengajian tinggi di China menjadi kumpulan pertama yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari negara itu, dan senarainya diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata pengiktirafan itu adalah susulan Perjanjian Pengiktirafan Seiring (MRA) yang ditandatangani Malaysia dan China pada 28 April tahun lepas.

Pelaksanaan MRA antara Malaysia dan China melalui bidang pengajian tinggi akan memberi banyak manfaat terutamanya dalam mempertingkatkan kerjasama di peringkat institut pengajian tinggi, katanya pada sidang media, di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Syed Ahmad Hussein yang turut hadir, berkata senarai tersebut akan dikemas kini daripada semasa ke semasa.


"Pemilihan institut pengajian tinggi dari RRC (Republik Rakyat China) terbabit untuk kali permulaan ini adalah di bawah seliaan terus Agensi Pusat RRC.


"Jalinan bidang pengajian dengan RRC adalah yang pertama telah kami buat, dan kami sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan lagi hubungan dalam bidang pengajian tinggi bersama New Zealand dan Australia," katanya.

Antara universiti China yang diiktiraf ialah Universiti Anhui, Universiti Beihang, Universiti Fudan dan Universiti Donghua. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan