Isnin, 12 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Keputusan Shahrizat tepat dan betul - PM

Posted:

Keputusan Shahrizat tepat dan betul - PM

Keputusan Shahrizat tepat dan betul - PM

PEKAN 11 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebaik sahaja tempoh beliau sebagai Ahli Dewan Negara tamat 8 April depan sebagai tepat dan betul.

Menurut Perdana Menteri, keputusan Shahrizat itu merupakan satu pengorbanan demi kepentingan kerajaan dan parti yang semua pihak dalam kerajaan amat menghargai tindakan tersebut.

''Walaupun setakat ini tidak ada bukti beliau telah melakukan kesalahan dari segi undang-undang, oleh kerana isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) telah mengundang banyak pertikaian dan kontroversi, maka Datuk Seri Shahrizat telah membuat keputusan untuk tidak membebankan kerajaan dan parti dan dengan itu beliau sanggup tidak meneruskan khidmat dalam kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri Majlis Tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Shahrizat pada sidang akhbar di ibu negara hari ini memaklumkan akan melepaskan jawatan Kabinet sebaik sahaja tempoh sebagai Ahli Dewan Negara berakhir 8 April ini.

Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Shahrizat kerana telah membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai menteri sebaik sahaja tempoh beliau sebagai Ahli Dewan Negara tamat bulan depan.

''Saya juga ingin menyarankan kepada semua ahli parti terutama Pergerakan Wanita UMNO untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya kepada Shahrizat kerana beliau telah memberikan komitmen untuk terus memimpin Wanita UMNO dan menjadikan Pergerakan Wanita sebagai anggota yang amat penting untuk menggerakkan jentera Barisan Nasional (BN)," jelasnya.

Ditanya sama ada tindakan Shahrizat yang tidak melepaskan jawatan Ketua Wanita UMNO akan menyebabkan pembangkang terus membangkitkan isu itu, Najib berkata, apa yang penting di sini ialah jawatan kerajaan.

''Jawatan Ketua Wanita adalah jawatan yang dipilih oleh parti manakala jawatan kerajaan yang boleh mengundang pelbagai pertikaian dan kontroversi," tegasnya.

Berhubung calon yang bakal menggantikan Shahrizat bagi mengisi jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Najib berkata, perkara itu akan diputuskan apabila tiba masanya kelak termasuk sama ada terus kekal disandang pemimpin Wanita UMNO atau tidak.

''Itu kemudian, masih ada masa dan jawatan tak habis sehingga 8 April," katanya.

Salur bantuan jika kerajaan diurus secara berhemah

Posted:

Salur bantuan jika kerajaan diurus secara berhemah

Salur bantuan jika kerajaan diurus secara berhemah

PEKAN 11 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sumbangan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak mungkin dapat disalurkan secara berterusan jika urus tadbir negara tidak dijalankan dengan baik dan berhemah.

Menurut Perdana Menteri, niat baik dalam membantu rakyat sahaja tidak memadai jika ia tidak disusuli dengan pentadbiran yang cekap dan bijak.

Katanya, kelangsungan bantuan yang diberikan pasti tidak dapat dilakukan secara mapan jika kerajaan yang memerintah tidak mampu mencari sumber kewangan dan keuntungan.

"Kalau niat baik sahaja tidak cukup, kita mesti pandai tadbir. Kalau ada kelebihan bukan setakat bersyarah sahaja atau gantung 'bulan' paling tinggi.

"Tetapi kelebihan urus tadbir negara dan agensi yang baik baru boleh jana kekayaan dan bila dah dapat kita wajib membantu rakyat dan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Vitamin 1Malaysia Peringkat Kebangsaan dan Penyampaian Angpau Tahun Baru Cina di Dataran Pekan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi Yayasan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. merangkap pengarah program, Datuk Dr. Shamsul Anuar Sulaiman.

PM sertai tahlil Allahyarham Tun Razak

Posted:

PM sertai tahlil Allahyarham Tun Razak

PM sertai tahlil Allahyarham Tun Razak

PEKAN 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini.

Majlis tahlil dan bacaan Yasin itu diketuai oleh Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman selepas solat maghrib.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Majlis itu turut dihadiri lebih 1,000 penduduk di sekitar Pekan.

Selain tahlil dan bacaan yasin, turut diadakan tazkirah yang disampaikan oleh Abdul Rahman.

Allahyarham Tun Razak adalah Perdana Menteri kedua dan digelar "Bapa Pembangunan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan