Khamis, 8 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


LTAT catat prestasi kewangan cemerlang tahun lalu

Posted:

LTAT catat prestasi kewangan cemerlang tahun lalu

LTAT catat prestasi kewangan cemerlang tahun lalu

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kejayaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatatkan prestasi kewangan cemerlang bagi tahun 2011 merupakan hasil kesinambungan daripada barisan pengurusan yang cekap dan komited.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan LTAT itu adalah sesuatu yang membanggakan kerana berjaya meningkatkan aset terkumpul wang pencarum daripada RM27 juta pada tahun 1973 kepada hampir RM8 bilion pada akhir Disember 2011.

"Kita beruntung kerana mempunyai kepimpinan yang baik dan sebagaimana LTAT ditubuhkan pada era Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, kesinambungan itu diteruskan hari ini menerusi anak beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kesinambungan seperti ini yang mendorong kejayaan LTAT sehingga aset keseluruhan LTAT serta anak-anak syarikatnya kini berjumlah hampir RM70 bilion," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam LTAT 2012 di sini hari ini.

Dalam majlis yang juga dihadiri Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor itu, Zahid turut menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangan LTAT dan anak-anak syarikatnya.

Baru-baru ini, Zahid mengumumkan pemberian bonus dan dividen sebanyak 15 peratus kepada semua pencarum LTAT untuk tahun kewangan 2011.

Bagi tahun kewangan tersebut, LTAT berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM859.9 juta iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM751.5 juta pada tahun 2010.

Sementara itu, menurut Zahid yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Perajurit (YWP), yayasan berkenaan akan melancarkan program Biasiswa Menuju Destinasi Anak Bangsa (MDAB) untukanak-anak anggota tentera.

"Ini adalah satu lagi program kemasyarakatan dari YWP untuk membantu meringankan beban anak-anak tentera yang melanjutkan pengajian ke universiti dan kita akan beri tumpuan kepada pelajar-pelajar di luar bandar yang tidak berkemampuan," katanya.

KDN tidak puas hati kenyataan The Star

Posted:

KDN tidak puas hati kenyataan The Star

KDN tidak puas hati kenyataan The Star

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berpuas hati dengan penjelasan akhbar The Star berhubung penyiaran gambar artis luar negara, Erykah Badu yang tubuhnya tertera tatu kalimah Allah menerusi sisipan akhbar itu pada 27 Februari lalu.

Justeru, Ketua Setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam hari ini menuntut akhbar itu mengemukakan cadangan kepada kementerian tindakan yang lebih tegas bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang dan dapat dijadikan pengajaran pada masa depan.

"Susulan itu, KDN ingin menegaskan supaya media mengambil tindakan pencegahan, pembetulan dan berinformasi bagi mengelakkan sebarang paparan kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, KDN telah memanggil Pengarang Urusan, Ketua Pengarang Berita dan Pengarang Kanan The Star untuk memberi penjelasan mengenai tindakan akhbar itu menyiarkan gambar tersebut.

Ekoran penyiaran gambar yang menimbulkan kemarahan banyak pihak itu juga, konsert Erykah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Februari lalu dibatalkan kerana melanggar garis panduan Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Delegasi Keidanren kunjungi Najib

Posted:

Delegasi Keidanren kunjungi Najib

Delegasi Keidanren kunjungi Najib


Najib Tun Razak bersalaman dengan Hiromasa Yonekura sewaktu menerima kunjungan hormat delegasi Persekutuan Pertubuhan Ekonomi Jepun di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 7 Mac - Satu delegasi 15 anggota daripada Persekutuan Perniagaan Jepun (Keidanren) mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat beliau di sini, hari ini.

Delegasi itu, yang diketuai Pengerusi Keidanren, Hiromasa Yonekura, sedang dalam rangka lawatan ke negara anggota ASEAN.

Turut hadir pada pertemuan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Idris Jala serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura.

Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), memberi taklimat kepada delegasi itu tentang Program Transformasi Ekonomi (PTE).

Delegasi tersebut melawat Vietnam sebelum tiba dengan penerbangan ke Malaysia semalam dan dijadualkan berlepas ke Filipina esok. Tahun lepas, satu delegasi Keidanren mengunjungi Indonesia, Thailand dan Singapura.

Keidanren adalah sebuah organisasi ekonomi yang ditubuhkan pada Mei 2002 hasil daripada penggabungan Persekutuan Persatuan Ekonomi Jepun dan Persekutuan Persatuan Majikan Jepun. — BERNAMA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan