Isnin, 5 Mac 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Tujuh individu dicari bantu siasatan kes jenayah

Posted:

Tujuh individu dicari bantu siasatan kes jenayah

Tujuh individu dicari bantu siasatan kes jenayah

05/03/2012 8:44pm

KAMPAR — Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar sedang mengesan tujuh individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan pelbagai kes jenayah yang berlaku antara Oktober 2010 hingga 26 Feb. lepas.

Ketua Polis Daerah Supt. Abdul Aziz Salleh berkata, mereka ialah dua beradik iaitu Mohamad Firdaus Alias, 21, dan Ahmad Fauzi Alias, 22, yang beralamat terakhir di Kampung Redang Sawa, Kota Baharu dan Lai Chee Hang, 24, beralamat Sungai Durian, Tanjung Tualang, Batu Gajah.

Ketiga-tiga lelaki tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan kes rogol katanya, pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga sedang mengesan Fadzlina Ishak, 47, yang beralamat di Kawasan Perumahan Jibai Baru, Seremban, Negeri Sembilan dan M. Pathiban, 26, yang beralamat di Tingkat 3 Avenue Aston Settlement, Kampar, bagi membantu siasatan kes pecah rumah.

V. Premantharanpillai, 34, yang beralamat di pangsapuri kos rendah, Pandamaran, Klang dan Nurizzaty Ahmad Saffuan, 23, beralamat di Taman Lawan Kuda, Gopeng pula diminta tampil bagi membantu siasatan kes peras ugut dan samun, katanya.— BERNAMA

Jumlah kes baru HFMD di Sarawak menurun

Posted:

Jumlah kes baru HFMD di Sarawak menurun

Jumlah kes baru HFMD di Sarawak menurun

05/03/2012 6:59pm

KUCHING — Jumlah kes baru penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak turun ke 49 hari ini dari 63 kes semalam.

Kenyataan Jabatan Kesihatan Sarawak menjelaskan jumlah kes terkumpul ialah 1,976, namun tiada kematian akibat penyakit itu setakat ini.

Ia berkata, dua institusi, dengan pusat kemudahan pra-sekolah/penjagaan kanak-kanak, dari Sarikei diarah ditutup, menjadikan jumlah keseluruhan ditutup 33 dan yang ditutup secara sukarela tiga. Bahagian dengan jumlah kes tertinggi ialah Kuching sebanyak 20, diikuti Betong dan Sarikei (masing-masing enam), Samarahan (tiga) dan Bintulu (satu).

Jabatan itu juga menasihatkan orang ramai mengamalkan penjagaan tangan yang bersih, termasuk selalu mencuci tangan bagi mengelakkan penyakit itu merebak. — BERNAMA

Pergaduhan Kampung Medan: 7 gagal rayu

Posted:

Pergaduhan Kampung Medan: 7 gagal rayu

Pergaduhan Kampung Medan: 7 gagal rayu

05/03/2012 6:53pm

PUTRAJAYA — Tujuh individu yang cedera dalam pergaduhan di Kampung Medan 11 tahun lepas, gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman mereka terhadap polis dan kerajaan yang didakwa cuai serta melanggar kewajipan statutori.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria, sebulat suara menolak permohonan R.Suresh, A Anbalakan Aynan, A. Velappan, B. Janakan, P. Tamil Selbam, V.Subramaniam dan V.Muniandy, tanpa kos.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah.

Pada 12 Mei 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman yang difail tujuh perayu itu selepas mendapati mereka gagal membuktikan bahawa polis tidak memenuhi tanggungjawabnya mengikut Akta Polis 1967.

Perkara itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Nov tahun lepas.

Ketujuh-tujuh perayu, yang merupakan penduduk di kawasan berlakunya pergaduhan itu, memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Polis Petaling Jaya SAC Sheikh Mustafa Sheikh Ahmad, bekas Ketua Polis Selangor Datuk Nik Ismail Nik Yusof, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Mereka menuntut ganti rugi untuk kecuaian dan pelanggaran kewajipan statutori mengikut Akta Polis.

Dalam penyata tuntutan mereka, ketujuh-tujuh perayu berkata keempat-empat defendan itu gagal mengambil tindakan segera untuk mengawal keadaan kecoh, rusuhan dan keganasan di kawasan berkenaan dan oleh itu gagal menjamin keselamatan mereka. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan