Isnin, 5 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kasut sukan tiruan berjenama bernilai RM250,000 dirampas

Posted: 05 Mar 2012 02:50 AM PST

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas kasut serta selipar tiruan berjenama bernilai RM250,000 dalam satu serbuan di sebuah gudang di Taman Tayton View, Cheras di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mokhtar Yeop berkata premis itu didapati menyimpan kasut serta selipar tiruan menggunakan jenama Nike, Adidas, Crocs dan Puma yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata ketika serbuan pada 1 tengah hari yang diketuai Timbalan Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Shahrudin Hamzah bersama lima anggota penguatkuasa, dua pekerja lelaki iaitu seorang warga tempatan berumur 38 tahun dan seorang warga Bangladesh, 26, sedang sibuk membungkus kasut serta selipar berkenaan manakala seorang lagi lelaki yang dipercayai penjaga premis sedang memerhatikan mereka.

"Menyedari kehadiran pegawai penguatkuasa, penjaga permis itu telah meloloskan diri menaiki sebuah van yang sarat dengan kasut dan selipar yang telah siap dibungkus.


"Van itu bagaimanapun ditinggalkan 500 meter dari premis tersebut tetapi lelaki itu telah menghilangkan diri," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.


Beliau berkata kedua-dua pekerja itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Mokhtar berkata premis itu dipercayai mula beroperasi setahun yang lalu dan berdasarkan pembungkusan, setiap barangan dipercayai buatan China.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pasang kasut atau penjara tidak melebihi 3 tahun bagi kesalahan individu.

Bagi syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap pasang kasut, katanya. -- BERNAMA



Projek penyambungan landasan aliran LRT dilancar

Posted: 05 Mar 2012 02:49 AM PST

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) hari ini melancarkan secara rasmi pelaksanaan Projek Penyambungan Landasan (LEP) Transit Aliran Ringan (LRT) berharga RM7 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar berkata penyambungan bagi Aliran Ampang melibatkan pembinaan landasan sepanjang 17.7km dan 12 stesen baru.

Bercakap pada satu sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata, sebagai satu daripada inisiatif utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), LEP akan memberi manfaat kepada 500,000 penumpang setiap hari kerana ia merentasi kawasan yang padat dengan penduduk dan sedang membangun.

Penyambungan Aliran Ampang bermula dari stesen Seri Petaling dan berakhir di stesen baru Putra Heights di Subang, manakala Penyambungan Aliran Kelana Jaya pula bermula dari stesen Kelana Jaya dan berakhir di Stesen Putra Heights juga.


"Kedua-duanya dijangka siap pada 2014," kata Shahril.


Beliau berkata LEP itu merupakan usaha utama kerajaan dalam mentransformasi perkhidmatan pengangkutan awam negara yang diamanahkan kepada Prasarana, termasuk menaik taraf stesen KL Monorail dan penambah koc serta menaik taraf perkhidmatan bas awam.

"LEP akan membawa perubahan terhadap kehidupan. Ia akan meningkatkan mobiliti penduduk Lembah Klang dan boleh meningkatkan produktiviti serta pendapatan orang ramai," katanya.

Beliau berkata sebagai projek kepentingan negara dan memberi manfaat kepada rakyat, ia akan mewujudkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan baru dan membuka peluang perniagaan kepada orang ramai.

"Ia memberi rangsangan besar kepada ekonomi negara, terutama dalam penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan sampingan," kata Shahril.

Bagaimanapun, katanya, Prasarana menghadapi banyak cabaran dalam menyiapkan projek itu bukan saja daripada segi pembinaannya tetapi juga daripada segi isu berkaitan sosial seperti pencemaran bunyi dan gangguan lalu lintas yang akan menyebabkan kesulitan terhadap penduduk di tempat tertentu.

"Untuk mewujudkan keadaan lebih baik pada masa akan datang, saya dengan rendah hati merayu persefahaman dan kerjasama anda. Tujuan kami ialah untuk mengurangkan kesulitan anda ke tahap minimum dan ketidakselesaan anda ke tahap paling singkat," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Datuk Dr Johari Basri berkata walaupun Prasarana menyasarkan untuk menyiapkan projek itu dengan secepat mungkin, ia perlu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan yang ditetapkan oleh jabatan itu.

"Kami akan memberi sokongan kepada Prasarana kerana mereka bekerjasama rapat dengan kami untuk memastikan semua syarat keselamatan dipatuhi sepenuhnya," kata beliau.

Johari berkata untuk memastikan pekerja dan kontraktor mematuhi semua prosedur keselamatan, sebuah pasukan bergerak akan ditempatkan di tapak projek itu sepanjang tempoh projek berkenaan dilaksanakan.

"Pasukan ini akan diketuai seorang pegawai keselamatan kesihatan yang berkelayakan dengan dibantu dua atau tiga penyelia untuk memantau dan memastikan kerja di tapak projek dilaksanakan secara selamat," katanya.-- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan