Selasa, 13 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiada pilihan huni rumah

Posted: 12 Mar 2012 11:05 AM PDT

KLANG: Kejadian mendapan hingga menyebabkan lapan premis tenggelam dibawa arus muara sungai di Jeti Kampung Nelayan Telok Gong, kelmarin, turut membongkar mengenai kehidupan nelayan yang menetap di kediaman uzur di situ, berisiko berhadapan kejadian serupa.

Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat rumah yang uzur termasuk lantai dan tiang reput menunggu masa untuk 'disedut bumi' dan nelayan ditemui mengakui mereka tiada pilihan lain selain tinggal di rumah itu walaupun mengundang bahaya disebabkan kekangan kewangan dihadapi.


Nelayan, Abu Chot, 69, yang menetap di situ sejak 1970 ketika ditemui berkata, dia amat berharap pihak berkaitan membantu penduduk berikutan bimbang rumah diduduki mungkin mendap dan roboh.

"Saya tak berdaya nak pindah mana-mana sebab hanya rumah ini saja yang termampu untuk menetap. Walaupun rumah sudah uzur dan tiang turut rosak hanya tunggu masa rebah, namun saya tak mampu berpindah biarpun ingin dipindahkan ke tempat lebih selamat.


"Saya jadi nelayan tradisi sejak umur 12 tahun mengikut ayah. Pendapatan sebagai nelayan umpama laut yang ada pasang surut.


"Kadang-kadang turun ke laut seminggu pun tak dapat ikan. Sejak dulu hutang keliling pinggang memang lumrah untuk memastikan makanan di rumah bagi isteri dan anak sentiasa ada," katanya.

Ketika ini, Abu yang tua dan sering sakit itu menyatakan dia sudah jarang turun ke laut dan pendapatan sekarang sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) melakukan rondaan dengan elaun RM4 sejam.


Katanya, pendapatan diperolehi sebagai anggota Rela antara RM400 hingga RM700 sebulan.



LKIM periksa jeti

Posted: 12 Mar 2012 11:04 AM PDT

KLANG: Satu tiang menyokong premis yang patah di dasar sungai mungkin punca tiga kedai makan, empat stor dan sebuah kedai nelayan di Jeti Kampung Nelayan Telok Gong di sini, dihanyutkan air deras dalam satu kejadian tebing runtuh, petang kelmarin.

Jurucakap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor, bagaimanapun berkata, kakitangan bahagian teknikal lembaga itu masih menunggu air surut bagi memeriksa kemungkinan berkenaan.


Selain itu, katanya pemeriksaan menyeluruh dilakukan di jeti berkenaan bagi memastikan sama ada ia masih selamat digunakan atau sebaliknya.

"Dulu kejadian air pasang besar seperti ini berlaku setiap 10 tahun sekali, tetapi akhir-akhir ini ia berlaku dua kali setahun, menunjukkan keadaan cuaca luar biasa.


"LKIM akan memastikan struktur jeti masih kukuh dan selamat digunakan. Jika tidak, nelayan akan dilarang menggunakannya dan LKIM akan mencari dana untuk membina semula jeti baru," katanya ketika dihubungi, semalam.


Jurucakap itu berkata, berikutan keadaan tanah yang lembut, kos sekurang-kurangnya RM200,000 diperlukan bagi membina sebuah jeti baru.

Sebelum kejadian, kira-kira 30 nelayan menggunakan jeti berkenaan untuk mendaratkan ikan yang ditangkap di perairan itu.


Difahamkan jeti di situ dibina pada 2007, iaitu sebelum jeti LKIM dibina sendiri agensi berkenaan dengan menggunakan dana yang disalurkan Kerajaan Pusat bermula 2008.

Dalam kejadian 2.10 petang itu, kedai makan, stor dan kedai nelayan lenyap satu persatu apabila tebing yang menempatkan tiang tapak premis berkenaan terhakis sebelum runtuh ke dalam muara Sungai Klang. Turut tenggelam ialah sembilan bot nelayan. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian petang semalam mendapati sebuah lagi kedai sudah senget menunggu masa tenggelam.


Selain itu, jelas kelihatan tebing tanah tempat premis didirikan rebak sedikit demi sedikit.


Sementara itu, Umno bahagian Klang menyampaikan bantuan RM1,000 kepada setiap mangsa yang disampaikan pegawai khas kepada Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Klang, Datuk Mazlynoor Abdul Latif, Mokhtar Padli, pagi semalam.


Mokhtar berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan Mazlynoor kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, untuk tindakan lanjut.


Ketua Pangkalan, Badli Salleh berkata, beliau bersyukur dengan bantuan berkenaan kerana sehingga tengah hari semalam, itu adalah bantuan pertama yang diterima mangsa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan