Ahad, 11 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lenyap di laman rumah

Posted: 10 Mar 2012 01:03 PM PST

PETALING JAYA: Seorang lagi kanak-kanak dilaporkan hilang, kelmarin, 11 hari selepas kehilangan Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang disyaki diculik selepas keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Johor Bahru masih belum dapat dikesan.

Mangsa terbaru, Wan Hazim Mohd Khaidir, 7, murid tahun satu Sekolah Rendah Islam Pintar Al-Amin, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat bermain sendirian di halaman rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah, di sini, petang kelmarin.


Sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan menonton televisyen di ruang tamu rumahnya jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof bersama adik bongsunya keluar untuk ke kedai milik mereka di Shah Alam.

Menurut Wan Nor Azma, 33, yang juga peniaga barangan kemas, ketika keluar rumah, Hazim baru selesai makan tengah hari sebelum menonton televisyen, manakala anak sulungnya yang berusia lapan tahun pula di tingkat atas rumah mereka bersama pembantu rumah.


"Sebelum keluar ke kedai kami, saya menutup rapat pintu rumah tapi tidak menguncinya kerana percaya Hazim tidak akan keluar rumah bersendirian, tambahan pula pembantu rumah juga ada di rumah.


"Menurut pembantu rumah, dia turun ke tingkat bawah jam 1 tengah hari tapi tidak melihat Hazim di ruang tamu, menyebabkan dia beranggapan anak kedua saya mengikut saya ke kedai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, kehilangan Hazim hanya disedari apabila dia pulang ke rumah pada jam 6.30 petang selepas ditanya pembantu rumahnya.


Wan Nor Azma berkata, terperanjat dengan pertanyaan pembantu rumahnya, dia terus menghubungi suaminya, Mohd Khaidir Hassan sebelum mereka mencari di sekitar kawasan perumahan itu, selain bertanya jiran.

"Mungkin Hazim membuka pintu dan keluar bersendirian selepas menyedari tiada orang di rumah. Saya buntu memikirkan keadaan anak saya dan di mana dia tidur malam tadi (semalam).


"Hazim susah nak bergaul dengan orang dan sebelum ini dia lebih selesa berada di rumah serta jarang bermain di luar. Namun saya yakin dia keluar dari rumah kerana jiran sebelah memberitahu ada melihatnya bermain di halaman rumah sebelum waktu solat Jumaat," katanya.


Menurutnya, selepas beberapa jam gagal menemui anaknya, dia bersama suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.


"Saya harap sesiapa menemui Hazim yang kali terakhir memakai baju-T kelabu dan jeans biru dapat menghubungi kami di talian 012-3400034 atau menyerahkannya ke balai polis berhampiran.


"Hati ibu mana yang tidak bimbang apabila anaknya hilang. Kami hanya mampu berdoa dan meneruskan usaha mencari Hazim selain mengharapkan dia dalam keadaan selamat," katanya.



Bapa Dirang ditahan

Posted: 10 Mar 2012 01:01 PM PST

PASIR GUDANG: Polis menahan bapa kandung Nur Nadirah Abdullah, 5, bagi membantu siasatan kehilangan kanak-kanak perempuan itu sejak 11 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, bapa kandung Nur Nadirah atau Dirang ditahan di sekitar bandar Seri Alam di sini, Khamis lalu, bagi membantu siasatan.


"Sebelum ini, kami menahan tiga suspek berusia 20-an hingga 30-an pada hari Dirang hilang pada 1 Mac lalu.

"Hasil soal siasat, kami menahan bapa kandung Dirang di sekitar bandar Seri Alam, di sini, pada jam 7 malam Khamis lalu, bagi membantu siasatan.


"Kini, jumlah keseluruhan tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan ialah empat individu.


"Berikutan itu, sesiapa ada maklumat berhubung kehilangan Dirang diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung tangkapan bapa Dirang.

Bapa kanak-kanak itu sudah bercerai dengan ibu Dirang, Roselyn Alan.


Roslan berkata, kerjasama masyarakat diperlukan kerana polis mahu kanak-kanak itu ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat.

"Polis memuji usaha pihak swasta seperti RHB Bank yang turut membantu mengesan Nur Nadirah. Saya harap lebih ramai pihak tampil membantu mencari kanak-kanak itu," katanya.


Sementara itu, Roselyn, 25, berkata usaha mengesan anaknya terus dijalankan anggota keluarga dibantu penduduk setempat.


"Selain di sekitar Masai dan Johor Bahru, keluarga kami di Kuala Lumpur dan Sabah turut berusaha mengesan Dirang dengan mengadakan solat hajat memohon kesejahteraan dan keselamatan Dirang.


"Saya juga menjemput penduduk Flat Seri Delima sama-sama membaca yasin dan melakukan solat hajat sebagai ikhtiar," katanya.


Jiran, Razali Husin, 36, berkata penduduk masih bimbang dengan kejadian itu dan mengehadkan aktiviti harian, terutama pada waktu malam.


"Saya juga bimbangkan keselamatan lima anak saya berusia antara dua hingga 14 tahun dengan memantau setiap aktiviti mereka setiap hari," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan