Sabtu, 10 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kejar penyamun berpisau Rambo

Posted: 09 Mar 2012 12:04 PM PST

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah kehilangan telefon bimbit dan barang kemas, seorang lelaki berusia 40-an bertindak nekad mengejar seorang lelaki berjaket hitam yang menyamunnya dan beberapa pelanggan lain bersenjatakan pisau Rambo di sebuah farmasi di Lucky Garden, Bangsar, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Chen, 49, baru masuk ke kedai berkenaan bersama isterinya.


Katanya, saya dan isteri terpaksa menyerahkan semua barangan bernilai RM2,000 sebelum diarah masuk ke dalam stor.

"Ketika itu ada lima pelanggan dan tiga pekerja farmasi sudah dikurung dalam stor itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Mangsa yang geram kerana kehilangan banyak barangan termasuk barang kemas dan telefon bimbit ditambah hanya dia lelaki di dalam stor berkenaan, Chen mengejar lelaki itu yang kemudian menaiki motosikal ditunggang rakan yang menunggu di luar kedai.


Katanya, dia mengejar hingga ke jalan utama, bagaimanapun dua lelaki itu berjaya melarikan diri.

Sementara itu, juruwang farmasi berkenaan, Suhana Suria, 19, berkata suspek masuk ke kedai berkenaan dengan memakai topi keledar bertutup dan jaket hitam.


Katanya, sebaik masuk, dia meletakkan pisau Rambo di kaunter pembayaran sebelum mengarahkannya mengeluarkan semua wang.

"Lelaki itu tahu selok-belok dalam kedai ini, malah mengetahui kedudukan peti simpanan wang di belakang kedai.


"Berdasarkan percakapannya, saya yakin dia rakyat tempatan dan kami kehilangan barang kemas dan wang tunai lebih RM15,000," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan sebuah pasukan peronda bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai.


Katanya, siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian berkenaan.



Beg tangan bongkar rahsia GRO sembunyi

Posted: 09 Mar 2012 12:01 PM PST

MELAKA: Tanda tanya beg tangan wanita yang ditinggalkan bersepah di pusat karaoke terbongkar apabila sekumpulan sembilan wanita warga China ditemui bersembunyi di sebuah bilik rahsia dalam serbuan di Batu Berendam, dekat sini.

Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Melaka, Mohd Yusof Hashim bermula jam 10 malam hingga 4 pagi itu, sembilan suspek disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di situ.


Pengarah Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail berkata, intipan dijalankan lebih seminggu berdasarkan maklumat awam mengenai kehadiran warga asing sebelum premis terletak di Batu Berendam diserbu dengan kekuatan 17 anggota dan pegawai.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, didapati premis itu berkunci dan pemiliknya enggan bekerjasama apabila diarahkan membukanya bagi tujuan pemeriksaan.


"Selepas lebih 10 minit menunggu, pemiliknya masih berdegil biarpun pegawai mengarahkan membuka pintu.


"Kami terpaksa memecahkan kunci untuk membuka pintu sebelum mendapati ramai pelanggan lelaki berada di dalam premis berkenaan.

"Semua pelanggan diarah keluar sebelum kami menemui beberapa beg tangan wanita mengandungi pasport asing ditinggalkan di situ," katanya, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Salmah Omar.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan