Sabtu, 10 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan cari jalan pengguna tidak dikenakan tol EDL

Posted:

Kerajaan cari jalan pengguna tidak dikenakan tol EDL

Kerajaan cari jalan pengguna tidak dikenakan tol EDL

JOHOR BAHRU 9 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mencari jalan terbaik supaya pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) di negeri ini tidak dikenakan tol.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan telah mendengar rungutan rakyat berhubung perkara itu, malah ia juga sudah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Perundingan Ekonomi Negara baru-baru ini.

"Sebelum ini, mengikut konsep asalnya mereka yang tidak menggunakan laluan EDL terpaksa membayar tol tetapi kerajaan mendengar keluhan rakyat itu.

"Kita akan cari jalan supaya masalah tersebut dapat diselesaikan. Pengumuman mengenai perincian perkara itu akan dibuat dalam tempoh dua minggu lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Sutera Mall, Skudai dekat sini malam ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

EDL sepanjang 8.1 kilometer itu dibangunkan oleh Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. (MLSSB) dengan kos RM977 juta.

Pembinaan lebuh raya itu memberi kemudahan kepada kira-kira 100,000 rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang-alik setiap hari, sekali gus menjimatkan masa dan mengatasi kesesakan lalu lintas terutama di Jalan Tebrau dan Pandan.

Isu EDL menjadi bualan hangat ekoran kadar yang bakal dikenakan ke atas pengguna jalan raya untuk pergi dan balik dari Singapura adalah RM15.30 apabila melalui tol Touch 'n Go di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

RM20 juta bina pasar baru Kg. Melayu Majidee

Posted:

RM20 juta bina pasar baru Kg. Melayu Majidee

RM20 juta bina pasar baru Kg. Melayu Majidee

JOHOR BAHRU 9 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pembinaan pasar baru di Kampung Melayu Majidee di sini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu bagi membolehkan pasar sedia ada digantikan dengan sebuah pasar yang lebih baik, selaras dengan keperluan semasa.

"Idea menggantikan pasar ini datang daripada Datuk Seri Shahrir Abdul Samad dan dia membawa saya untuk meninjau keadaan pasar ini.

"Sebelum ini ada bisik-bisik mahu menggantikan pasar ini tetapi selepas melihat sendiri, ternyata ia perlu diganti selepas lebih 20 tahun digunakan," katanya semasa mengadakan 'walkabout' di kawasan sekitar pekan kawasan berkenaan.\

Dalam ucapannya, Najib berharap kaum Melayu di kawasan tersebut terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) seperti yang diberikan sebelum ini.

Beliau yakin kawasan itu merupakan kubu kuat BN yang menyumbang kepada kemenangan besar parti itu di negeri ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee bersama lebih 3,000 penduduk kawasan berkenaan sebelum menyertai jamuan makan berdulang bersama rakyat di pekarangan masjid tersebut.

PM puji Johor jalin kerjasama dengan swasta

Posted:

PM puji Johor jalin kerjasama dengan swasta

PM puji Johor jalin kerjasama dengan swasta

JOHOR BAHRU 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji langkah kerajaan negeri Johor yang tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan Pusat semata-mata sebaliknya mencari alternatif lain bagi membangunkan sekolah agama negeri.

Beliau berkata, usaha kerajaan negeri Johor menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi membina dan membangunkan sekolah agama di negeri ini dilihat sebagai langkah yang bijak dan tepat.

Buktinya, sebanyak 121 buah sekolah agama mampu didirikan di negeri ini dalam tempoh hanya tiga tahun.

"Sekiranya menggunakan kaedah biasa, projek seumpama ini mengambil masa lebih tiga tahun apatah lagi dengan penambahan pelajar yang semakin meningkat.

"Justeru, langkah kerajaan negeri memilih satu kaedah yang lebih kreatif daripada kelaziman iaitu bekerjasama dengan pihak swasta membuatkan projek ini dapat direalisasikan," katanya semasa merasmikan Sekolah Agama Taman Molek, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sekolah agama bernilai RM2.2 juta itu merupakan sebahagian daripada 121 buah sekolah agama yang dibina secara berperingkat-peringkat melibatkan lima fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun depan.

Sebanyak 552 buah sekolah agama telah dibina di negeri ini dengan jumlah pelajar melebihi 210,000 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan