Jumaat, 9 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ambil dadah keluar meragut

Posted: 08 Mar 2012 01:01 PM PST

PUCHONG: Enam lelaki anggota kumpulan samun dan ragut bermotosikal dikenali Geng LC yang ditumpaskan polis beberapa hari lalu dikesan menagih dadah jenis heroin dipercayai bagi meningkatkan stamina ketika melakukan jenayah berkenaan di bandar ini sejak enam bulan lalu.

Kumpulan terbabit tumpas selepas polis memberkas ketuanya berusia 27 tahun ketika suspek cuba menyamun seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di pusat bandar Sabtu lalu sebelum dia mendedahkan baki anggota kumpulannya. Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, kejadian samun di tempat letak kereta itu disedari dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah yang ternampak suspek menarik beg tangan mangsa seorang pembantu peribadi swasta berusia 33 tahun.


Menurutnya, mangsa melawan dengan menarik semula beg tangannya menyebabkan suspek jatuh daripada motosikalnya, namun suspek bangkit dan mengeluarkan parang ke arah mangsa.

"Melihat kejadian itu, dua anggota polis berkenaan menangkap mangsa dan berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota cedera di tangan kanan terkena parang.


"Suspek juga dipercayai khayal ketika melakukan jenayah itu dan semakan lanjut mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi, manakala nombor pendaftaran motosikal digunakannya juga palsu serta dilaporkan hilang di USJ 8, Subang Jaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat POlis Daerah (IPD) Serdang, di sini, semalam.


Abdul Razak berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Bersatu, di sini, sebelum polis menahan seorang lelaki yang juga anggota kumpulan itu berusia 33 tahun.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai senjata yang digunakan untuk menyamun dan peralatan mencuri motosikal serta beberapa barangan dipercayai milik mangsa mereka.


"Suspek kedua juga mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, curi, dan pecah rumah termasuk dua langkah pencegahan khas di Terengganu," katanya.

Beliau berkata, suspek kedua kemudian membawa polis ke Kampung Kenangan, di sini, sebelum menahan empat lagi lelaki berusia 20-an hingga 50-an yang turut memiliki rekod jenayah lampau.


"Siasatan lanjut mendapati, semua suspek bekerja dalam satu kumpulan dan bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan dengan tangkapan ini polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut dan 13 kes curi motosikal di Puchong," katanya.



Berkas lelaki 10 kes ragut

Posted: 08 Mar 2012 12:59 PM PST

SUBANG JAYA: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes ragut dan samun bersenjata di Subang Jaya dengan penangkapan seorang lelaki yang berasal dari Sabah, di sebuah apartmen di Subang Perdana Court, di sini, 3 Mac lalu.

Tangkapan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat diberikan mangsa dalam kejadian ragut 2 Mac lalu di SS 18, di sini, yang mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal dinaiki penjenayah terbabit ketika melarikan diri.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya mengesan pemilik motosikal yang digunakan suspek.

"Motosikal itu dipinjam pada hari kejadian oleh suspek dan hasil maklumat itu, kami menangkap seorang lelaki berusia 31 tahun di Shah Alam jam 1 tengah hari, 3 Mac lalu," katanya.


Yahaya berkata, suspek direman hingga esok dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).


Dalam satu kes berasingan, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di Shah Alam selepas polis menjumpai sepucuk pistol Revolver .38 Special Colt berisi lima peluru di rumah yang disewa bersama adik lelakinya di Subang Mas, di sini, kelmarin.

Menurutnya, polis menerima maklumat berkenaan seorang lelaki memiliki senjata api tanpa lesen dan membuat serbuan di rumah sewanya sebelum menemui senjata berbahaya itu disembunyikan di bawah sofa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan