Sabtu, 10 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Chong Wei: Sasaran hatrik All England semakin hampir

Posted: 10 Mar 2012 06:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menghampiri sasaran hatrik kejuaraan All England apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir di Birmingham, England, malam ini.

Juara bertahan nyata cemerlang apabila mengalahkan pencabarnya dari Korea Selatan, Lee Hyun Il dengan 21-19 dan 21-18 dalam masa 45 minit pada pusingan separuh akhir.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, dijangka bertemu dengan musuh ketatnya dari China, Lin Dan atau perseorangan dari Jepun, Kenichi Tago dalam perlawanan akhir kejohanan berprestij itu pada malam esok.

Kemenangan Chong Wei itu juga mendapat sokongan padu dan sorakan gemuruh daripada rakyat Malaysia yang berada di National Indoor Arena, Birmingham.


Sementara itu, beregu campuran dari Denmark, Thomas Laybourn/Kamilla Rytter Juhl berjaya menumpaskan juara bertahan Xu Chen/Ma Jin dengan 'straight set' 21-16 dan 21-18 pada pusingan separuh akhir.


Thomas/Kamilla dijadualkan bertemu beregu campuran dari Malaysia, Goh Liu Ying/Chan Peng Soon atau beregu campuran Indonesia, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir pada pusingan akhir esok.

Goh/Chan dan Tontowi/Liliyana akan berentap malam ini bagi menempah slot ke final. - BERNAMA



Kanak-kanak hilang sejak Rabu ditemui mati lemas di Sungai Kinta

Posted: 10 Mar 2012 04:41 AM PST

IPOH: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang Rabu lepas ditemui mati lemas di Sungai Kinta, Tanjung Tualang hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mangsa Yushairiezal Judin ditemui terapung pada pukul 10.50 pagi tadi oleh orang awam kira-kira 45 km dari tempat mangsa terjatuh di longkang Kem Syed Putra, Tambun.

Polis yang dimaklumkan berhubung penemuan itu telah menghantar mayat mangsa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya petang ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambun, di sini.


Dalam kejadian pada Rabu lepas, ibu kanak-kanak itu, Mazlinah Rintan@Baki, 31, berkata anaknya keluar bermain bola sepak dengan rakan-rakannya pada pukul 3 petang dan tidak pulang ke rumah sehingga tengah malam pada hari tersebut.


Semasa kejadian mangsa bermain berhampiran dua longkang besar ketika hujan lebat.

Ibu mangsa hanya membuat laporan polis sehari selepas kehilangan itu, dan polis kemudian mengadakan operasi mencari dan hanya menemui seluar biru dipercayai milik mangsa yang tersangkut di ranting Sungai Pinji. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan