Jumaat, 9 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kes Nurul Nadirah: Polis Johor tahan seorang lagi lelaki

Posted: 09 Mar 2012 03:59 AM PST

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lagi lelaki untuk membantu menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak perempuan Nurul NadirahAbdullah, 5, sejak 1 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Seri Alam pukul 4 petang semalam.

"Kita tahan lelaki tersebut untuk membantu siasatan," katanya ketika ditemui semasa perasmian Sekolah Agama Taman Molek oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Polis sebelum ini dilapor menahan reman dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 36 dan 40 tahun sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan.


Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilapor berkata berdasarkan bukti kukuh, polis percaya kanak-kanak itu masih hidup.


Nurul Nadirah yang dikenali sebagai Dirang didapati hilang selepas keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Jalan Suri, Bandar Seri Alam, kira-kira pukul 11 pagi. - BERNAMA



Lelaki berjumpa kawan ditemui mati terapung di laut

Posted: 09 Mar 2012 02:57 AM PST

GEORGETOWN: Polis Gerakan Marin menemui mayat lelaki yang sebelum itu dikatakan pergi menemui kawannya, terapung di perairan Pantai Macalum di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata mangsa dikenali Goh Peng Chong, 42, dari Bukit Mertajam dilaporkan hilang oleh keluarganya yang membuat aduan di Balai Polis Daerah SPT pukul 2 pagi semalam.

"Satu gerakan mencari dilancarkan selepas polis menerima laporan itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Azman berkata Goh yang lengkap berpakaian ditemui pukul 9.50 pagi tadi dipercayai terjun dari atas jambatan Pulau Pinang ekoran kereta miliknya tersadai atas jambatan kira-kira empat kilometer dari George Town.


Mangsa dikatakan datang ke George Town untuk berjumpa rakannya dan tidak pulang ke rumah sejak petang Rabu.


Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan